"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dengarnya lebih dua Adun Perak sedang “berbulu” dengan Zambry

Shahbudin Husin
Walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan isu kemungkinan dua Adun dari negeri itu akan melompat parti merupakan hanya khabar angin dan mainan politik semata-mata, wajah beliau yang dilihat kurang ceria sejak kebelakangan ini mungkin menggambarkan hakikat sebenarnya gelora politik yang sedang berlaku di negeri itu.

Mulutnya mungkin berkata tiada apa-apa tetapi gambaran suram pada wajahnya yang disedari oleh ramai orang kebelakangan ini seperti menunjukkan kemungkinan itu ada kebenarannya.

Zambry ketika ini seperti sedang menghadapi tekanan daripada kelompok tertentu serta dalam misi menyelesaikan masalah yang jika gagal diselesaikan dengan baik, bakal menyebabkan kerajaan BN Perak tumbang dan digantikan dengan Pakatan Rakyat.

Beberapa maklumat yang diperolehi daripada Perak juga mengakui kejadian melompat parti oleh Adun BN Perak memang tidak mustahil kerana ketika ini semakin ramai yang tidak puas hati dan sedang "berbulu" dengan Menteri Besar Perak itu.

Dua hari lalu, dilaporkan melalui laman Twitter bahawa dua Adun BN Perak bakal melompat parti menyertai Pakatan Rakyat dan mereka berkenaan sudah pun mengadakan pertemuan dengan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Meskipun tidak disebut nama dua Adun berkenaan, adalah dilaporkan mereka itu adalah Adun senior di Perak.

Mereka dikatakan kecewa kerana tidak diberi kedudukan dan jawatan dalam kerajaan negeri, selain Zambry juga didakwa tidak lagi memberi perhatian dan semakin kurang meminta nasihat daripada pemimpin lama sama ada dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri mahu pun parti.

Sikap ini nyata berbeza ketika mula-mula menjadi Menteri Besar Perak dahulu di mana Zambry ketika itu sering meminta nasihat dan pandangan daripada mereka, tetapi selepas PRU 13 lalu perkara itu tidak lagi dilakukannya dan ini menyebabkan mereka rasa tidak lagi dihargai.

Zambry ketika mengulas mengenai isu itu hanya menyifatkannya sebagai khabar angin dan mainan politik semata-mata serta tidak perlu dilayan. "Macam-macam mainan sedang ditimbulkan, ada juga dakwaan mengatakan saya bertemu dengan Adun Pakatan Rakyat dan membawa mereka menyertai BN. Semua ini tak perlu dilayan," katanya.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN Perak memenangi 31 kerusi DUN manakala PR memenangi 28 kerusi. Sekiranya dua ADUN BN melompat kepada PR, ia akan menyebabkan kerajaan BN tumbang dan PR kembali menjadi kerajaan dengan kedudukan 30-29. Jika ini berlaku, ia akan mengulangi peristiwa tahun 2009 di mana kerajaan PR di Perak yang diketuai oleh Nizar Jamaluddin ketika itu tumbang berikutan tindakan tiga Adun mengisytiharkan diri mereka sebagai Adun Bebas yang menyokong BN.

Tidak dinafikan bahawa sejak akhir-akhir ini rungutan di kalangan ahli dan pemimpin Umno Perak terhadap kepimpinan Zambry semakin kuat kedengaran. Selain ada Adun yang kecewa dan kecil hati kerana tidak diberi tempat dan kedudukan dalam kerajaan, terdapat pemimpin lama dan senior pula berasa hati kerana mereka semakin dipinggirkan.

Sementara itu, terdapat juga pemimpin Umno yang kecewa dengan Zambry kerana beliau dikatakan semakin mengutamakan kroni berbanding memberi keutamaan kepada pemimpin Umno sendiri sejak kebelakangan ini.

Selain dua Adun yang dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan Anwar itu, maklumat lain pula memberitahu sebenarnya terdapat lebih daripada dua Adun BN di Perak yang berpotensi melompat parti dan meninggalkan BN sekarang ini.

Semuanya, kata maklumat itu, begitu kecewa dengan cara pentadbiran Zambry dan ingin bertindak demikian bagi memberi pengajaran kepada Menteri Besar Perak itu.

Beberapa hari sebelum isu lompat parti melibatkan dua Adun ini muncul, Zambry disedari kelihatan tidak ceria dan walaupun beliau mengatakan ia hanya khabar angin dan tidak perlu dilayan, hakikatnya ramai ahli dan pemimpin Umno serta rakyat Perak tahu pergolakan dan masalah yang sedang berlaku sekarang di negeri yang kaya dengan kayu balak itu.

Sama ada lompat parti ini akan berlaku atau tidak dan kerajaan negeri BN dapat dikekalkan atau sebaliknya, ia sebenarnya terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan Zambry menanganinya. Jika beliau terus keras hati, degil dan tidak mahu bertolak-ansur, kebarangkalian tumbangnya kerajaan negeri seperti mana yang berlaku pada 2009 lalu amat tinggi sekali.

Bagaimanapun, seorang pemimpin veteran Perak ketika ditanyakan isu lompat parti ini langsung tidak menunjukkan rasa terkejut dan hairan jika ia berlaku dalam waktu yang terdekat ini.

"Dah dapatnya cara haram, tumbangnya pun cara haram juga," katanya dengan sinis.
shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: