"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angan-angan Najib tak jadi kenyataan

SHIRZAD LIFEBOAT
D ALAM sejarah politik, lebih lazim dari tidak, mana-mana individu yang memasang angan-angan dan mimpi untuk menjadi pemimpin tertinggi paling hebat dan terpandai berbanding pemimpinpemimpin sebelumnya akan akhirnya tercatat dalam sejarah sebagai pemimpin terburuk.
Sebaliknya mereka yang diangkat menjadi pemimpin atas sebab perjuangan untuk negara dan bangsa lazimnya jauh lebih menyinar.

Pemimpin dalam kategori ini tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi, lebih mementingkan negara dan rakyat dari segala lain, tidak rasuah, membelanjakan wang awam dengan cukup berhemah dan secara total tidak membiarkan ahli keluarga turut serta dalam apa-apa proses membuat keputusan bersabit dasar dan pentadbiran kerajaan.
Dalam sejarah politik Malaysia mungin tidak keterlaluan jika dikatakan empat perdana menteri terdahulu dianggap tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri.

Kita sedia maklum bagaimana setiap seorang daripada mereka menjadi perdana menteri.

Tunku pada asalnya malah tidak mahu menjadi yang dipertua Umno. Begitu juga Tun Razak yang menolak jawatan sama ketika ditawarkan oleh Dato’ Onn sebelum pengasas Umno itu meletakkan jawatan berkenaan untuk kali kedua dan meninggalkan Umno untuk selama-lamanya.

Walaupun pernah menjadi ketua Pemuda Umno yang pertama namun kemudiannya hilang untuk beberapa dekad, Hussein Onn boleh dianggap seorang perdana menteri yang muncul entah dari mana-mana.

Dr Mahathir Mohamad pula diangkat ke kerusi tersebut disebabkan wawasan dan perjuangannya beliau yang diyakini oleh ahli-ahli Umno ketika itu dan bukan disebabkan awal-awal lagi telah berangan dan seterusnya melakukan segala usaha untuk menjadi perdana menteri.

Kecuali Tunku Abdul Rahman yang bercita-cita menjadi “perdana menteri paling gembira di dunia” (itupun setelah menjawat jawatan berkenaan) yang lainnya hanya bekerja dalam apa yang diyakini mereka sebagai usaha-usaha yang boleh memajukan negara (walaupun tidak semestinya apa yang dilakukan itu betul ataupun tanpa kesilapan).

Masalah kritis dan buruk yang melanda Malaysia bermula apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Tanpa dilengkapi dengan pelbagai pengetahuan dalam pelbagai bidang utama seperti ekonomi dan kewangan serta sebagainya, Abdullah mahu menunjukkan kepada dunia beliau sebenarnya lebih hebat dari perdana menteri lalu.

Akhirnya, hampir semuanya, termasuk keadaan parti Umno yang beliau pemimpin sendiri menjadi “kong-kalikong.”

Kemudian datang pula Najib Abdul Razak. Kata perumpamaan masa lalu, benih yang yang baik jika tercampak ke laut akan menjadi pulau. Malangnya, walaupun dia putera kepada seorang pemimpin dan perdana menteri terulung Malaysia, Najib tidak menjadi pulau tetapi sebaliknya menjadi sebuah paya bakau yang semak samun dan penuh dengan “buaya.”

Dengan pengalaman yang begitu lama dalam politik hal seperti demikian (seperti dilihat berlaku kini) tidak sepatutnya berlaku ke atas Najib.

Tidak pasti sama ada Najib memasang angan-angan mahu menjadi perdana menteri terhebat dalam sejarah berdasarkan asal-usul dan pengalamannya. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Tidaklah terlalu tepat jika dikatakan Najib tidak dilengkapi dengan pelbagai pengetahuan seperti Abdullah. Lagi pun katanya Najib memiliki ijazah ekonomi perindustrian dari sebuah universiti di United Kingdom walaupun ada pihak mempertikaikan bilakah beliau menghabiskan pengajiannya setelah dipanggil balik ke tanah air tatkala ayahndanya meninggal dunia.

Tetapi malangnya kemampuan Najib dilihat sebagai jauh lebih terhad dari Abdullah. Dari segi nasib pun, pendahulu Najib jauh lebih baik. Abdullah mula menduduki kerusi perdana menteri dengan imej bersih dan jolokan Mr Nice Guy sedangkan perlantikan Najib disambut dengan kemelut pembunuhan Altantuya.

Abdullah tidak sempat menamatkan dua penggal dan terpaksa akur kepada tekanan parti dan rakyat. Kini Najib pula bakal menerima nasib serupa sama ada berdasarkan kelemahan beliau sendiri dan juga faktor luaran yang tidak mungkin dapat dikawal beliau.

Prestasi buruk ekonomi negara, peningkatan tinggi hutang negara, masalah1MDB, peningkatan kos kehidupan rakyat (sekadar menyebut beberapa contoh) di samping banjir besar dan kejatuhan harga minyak dipasaran dunia yang bakal menghimpit lagi ekonomi Malaysia adalah bayangan jelas Najib terpaksa menghentikan angan-angan beliau lebih awal dari dijangkakan.

Tiada ulasan: