SERANGAN di pejabat akhbar Charlie Hebdo Rabu lalu yang menyebabkan 12 orang terbunuh itu masih diselubungi dengan tanda tanya.
Motif serangan ke atas pejabat akhbar itu belum disahkan, namun umum mengetahui majalah mingguan itu sentiasa mengundang kemarahan umat Islam kerana kerap menerbitkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, di samping agama lain dan individu.
Sejak bertahun-tahun, Charlie Hebdo turut menjadikan ahli politik, selebriti serta pemimpin agama sebagai modal melariskan jualannya.
Mangsa terbaharu mereka adalah Presiden Perancis, Francois Hollande serta pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Bekas pemimpin Vatican, Pope Benedict XVI tidak pernah terkecuali.
Sebelum serangan Rabu lalu, majalah itu pernah menerbitkan karikatur dengan tajuk 'Masih belum ada serangan ke atas Perancis'.
Ia merujuk kepada serangan kumpulan pengganas di Sydney Australia yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), Disember lalu.
Pada 2006, Charlie Hebdo mencetuskan kontroversi apabila mencetak semula 12 kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW terbitan akhbar Denmark, Jyllands-Posten.
Tindakan majalah itu mencetuskan protes ganas di beberapa buah negara Islam.
Lima tahun selepas itu, Charlie Hebdo kembali mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menerbitkan pula karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai editor undangan bagi majalah tersebut.
Akibatnya, pejabat Charlie Hebdo dibom. Charlie Hebdo ternyata kebal kerana setiap kali menyiarkan karikatur kontroversi, mereka pasti terlepas daripada tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, nasib tidak selalu menyebelahi mereka. Setelah bertahun-tahun menjolok sarang tebuan, akhbar itu terpaksa membayar harga yang tinggi di atas keceluparan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan