Subky Latif
MUNGKIN kita rasa gila Dr. Aziz Bari sekonyong-konyong menyertai DAP, sebuah parti yang masih dianggap cauvinis oleh majoriti orang Melayu.
Tengku Aziz seorang yang dikira intelektual Melayu yang berfikiran terbuka menjangkau usia emas ketika terjun ke arena politik memilih DAP sebagai wadahnya. Banyaklah alasan yang dikiranya baik DAPlah parti yang bermaruah masa itu.
DAP menjadikan Timbalan Pengerusi dan senator. Tiba-tiba dengan kedudukan baik dalam DAP dia keluar parti dan menjadi anti tegar DAP. Padanya kini DAP itu buruk. Tanpa menghiraukan pengalaman dan pandangan Tengku Aziz, Aziz Bari yang sebahagian besar dari usianya dirasakan menjadi peminat PAS, memilih PKR sebagai wadah tetapi dua tahun selepas kalah dalam plihan raya keluar pula PKR dan menyertai DAP.
Tentulah ia mengelirukan cerdik pandai Melayu bagaimana seorang profesor UIA memilih DAP sedang DAP belum dapat diterima oleh orang Melayu. Jika orang Melayu juga pernah keliru dengan PAS yang bertahaluf dengan DAP, dan amat penat PAS menangkis cemuhan orang Melayu, tetapi penampilan PAS itu sekadar rakan kongsi politik selama ia serasi. PAS tidak jadi DAP. Tetapi Aziz jadi DAP.
Aziz ada perkiraannya. Di kalangan pembangkang sekarang DAPlah yang terkedepan. PAS masih menunggu masa dan PKR dirasakan payah menyaingi DAP. Ketika Pakatan Rakyat terumbang ambing hanya DAP yang terjamin kedudukannya dalam PRU akan datang. Besar kemungkinan jika Pakatan dapat bertahan di Selangor, maka parti terkanan rasanya DAP.
Tentulah giliran DAP pula untuk memimpin kerajaan. Masa masih mahukan orang Melayu menjadi Menteri Besar. DAP perlukan seorang Melayu. Jika DAP dapat memberi kawasan selamat kepada Aziz, maka dialah calon Menteri Besarnya.
Sementara itu UMNO amat mengharapkan PAS terus berpecah dan berpanjangan hingga ke PRU14. Tidak mustahil krisis dalam PAS sekarang adalah dalangan agen intelijen/CIA UMNO sebagai ikhtiar untuk merampas Kelantan.
Dengan mengguna strategi bukan untuk menumbangkan PAS tetapi untuk mengajar pemimpin-pemimpin PAS oleh orang-orang PAS, memungkin Kelantan dapat dirampas.
UMNO Kelantan pula, inilah masanya sejak kejatuhan Tengku Razaleigh 25 tahun beroleh seorang anak muda berpelajaran tinggi Islam dan berbakat iaitu Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Dia belum dikerenahkan dalam politik UMNO Kelantan tetapi dia sedang dipupuk dan dilatih di Kuala Lumpur dipercayai akan dihantar pulang ke Kelantan menjelang PRU nanti.
Menjadikannya Pengerusi Yayasan Dakwah – YADIM dan kini dinaikkan jadi Timbalan Menteri, telah ada projek di tangannya bagi membina dan membaiki masjid yang dilanda banjir di Kelantan. Ia tidak dilihat terserlah sebagai projek UMNO tetapi lebih kepada kegiatan NGO dan kebajikan, terpaksa dilihat sebagai memprojekkannya bagi menjadi Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya nanti.
Telah lama saya lihat Dr. Asyraf meneroka peluang mengambil Kelantan, dan peluangnya bagaikan terbuka apabila adalah di kalangan orang veteran PAS yang disokong oleh graduan muda bergerak untuk mengajar pemimpin PAS.
Apabila orang PAS sendiri mengira PAS dan pemimpinnya sudah tidak relevan, maka ia ada baja baik yang dinanti oleh UMNO.
Sebagai timbalan menteri Asyraf dipercayai akan banyak menumpu urusan politik Kelantan. Jika UMNO dapat memprojekkan Asyraf lebih tertonjol dari pemimpin PAS, maka Asyraf adalah calon terbaik UMNO untuk menawan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan