"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat Husam kepada Exco bakal berasap - MSO

Mohd Sayuti Omar

Bekas Exco kanan Kelantan Husam Musa (foto) telah menghantar surat kepada Exco Kelantan bagi menjawab tuduhan liar terhadapnya yang mendakwa beliau "makan" balak sekaligus menanyai beberapa persoalan yang bersifat pelik.

Surat Husam itu sudah tentu bakal menjadi satu keributan baharu di Kelantan dan membongkar satu lagi penyelewengan. Isu balak di Kelantan bukan sebesar isu 1MDB dialami Najib Razak, tetapi boleh membikin MB tidak nyenyak tidur.

Kenapa beliau berbuat begitu, mungkin sudah tidak tahan menanggung penghinaan dari mereka yang membencinya, yang malam siang menaburkan fitnah mentah untuk terus memburukkan reputasinya sebagai seorang ahli politik.

Sehingga kini isi kandungan surat itu belum dilepaskan lagi. Namun ia dapat dikesan menerusi satu carta yang dilepaskan dalam laman twiternya hari ini.

Carta berkenaan dinamakan "Surat Husam Pada Exco" menimbulkan enam persoalan berhubung dengan dakwaan ke atasnya dan mendedahkan isu baharu di Kelantan yang belum tersembur.
Carta surat Husam dari twiternya.
Persoalan dibangkitkan ialah mengenai kelulusan kawasan balak kepada syarikat Baldah, syarikat yang bertanggungjawab menguruskan projek pembinaan Lebuh Rakyat Rakyat Kelantan dimana beliau pernah menjadi pengerusinya sebelum kematian Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz semua jawatan dipegang Husam berkaitan kerajaan dilucutkan oleh Menteri Besar Ahmad Yaakub.

Perkembangan semasa dalam syarikat itu yang mungkin tidak diteliti oleh pembuat fitnah menyebabkan fitnahnya tersasar kepada pihak lain. Pihak tertentu cuba mengaitkan Husam dengan kelulusan kawasan balak kepada Baldah untuk tujuan pembinaan Lebuh Raya Rakyat (LRRK).

Apa yang dapat difahami daripada carta berkenaan syarikat Baldah telah mendapat kelulusan untuk menebang balak di kawasan melibatkan pembinaan lebuh raya berkenaan bagi membiayai projek berkenaan. Lesen itu diluluskan pada 27 Januari 2015 dengan tempoh sahnya hingga April hingga Oktober 2015. No lesen ialah DT 01(P)-16-15Tahun 2015).

Yang menjadi persoalan ketika lesen itu diluluskan Husam tidak lagi menjadi Exco Kelantan. Beliau tidak disambung perkhidmatan dalam lantikan semula selepas pilihan raya umum Mei 2013. Secara absah beliau tidak ada kaitan dan kuasa meluluskan lesen berkenaan.

Serentak itu juga ekoran peralihan kepimpinan kedudukannya sebagai Pengerusi Baldah juga tidak disambung lagi. Yang menghairankan kenapa kelulusan itu terus dikaitan dengan dirinya? Inilah faktor kenapa Husam terpaksa mengutuskan surat kepada Exco memberi penjelasan dan meminta beberapa penjelasan mengejutkan. Tuduhan dan fitnah terhadap Husam itu tidak ubah seperti kerja menjolok sarang tebuan yang sarangnya melentang mentari.

Misalnya mengenai penyitaan 1,000 tan balak oleh Pejabat Perhutanan di kawasan lebuh raya berkenaan. Dari penjelasan itu balak yang dirampas itu adalah milik Baldah. Ini memelikkan? Mengapa Pejabat Perhutanan boleh menyita balak milik agensi kerajaan?

Daripada carta surat berkenaan beliau menimbulkan enam persoalan berkaitan perkara itu.

1. Siapa yang memilih kontraktor pembalakan itu dan siapa mendapat keuntungan (komisyen) daripadanya.
2. Apa terma dan kriteria dan apakah ia tender terbuka atau tertutup? Benarkah syarikat yang mendapat tander itu syarikat Lucky Wong?
3. Kenapa Pejabat Perhutanan menyita balak yang dikeluarkan kepada Baldah sebanyak 1,000 tan?
4. Apakah Baldah yang membuat laporan berhubungan kegiatan pembalakan haram berhampiran dengan kawasan miliknya. Kalau ada, apakah laporan polis atau laporan ke Pejabat Perhutanan? Jika tidak kenapa?
5. Adakah pengerusi Baldah mengetahui siapa bertanggungjawab melakukan pembalakan haram berhampiran kawasannya? Jika tidak mengapa?
6. Adakan kawasan R n R yang direzebkan untuk lebuh raya itu juga hutannya ditebas tebang.

Enam persoalan dibangkitkan Husam itu perlu dijawab dan diberi penjelasan oleh Exco khasnya Menteri Besar Ahmad Yaakub dan timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah yang dianggap zuhud dan sangat adil dalam pemerintahannya.

Sudah pasti rakyat Kelantan ingin mengetahui kedudukan perkara itu. Bagi Husam pula beliau mahu membersihkan dirinya dari segala sangka buruk yang diterimanya tidak habis-habis selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sekiranya apa dibangkitkan oleh Husam itu belum ada dalam pengetahuan kerajaan negeri ia hendaklah disiasat secara serius dan tindakan kepada mereka terlibat hendaklah diambil. Jangan bersikap berat sebelah dan pilih kasih. Mereka yang memfitnah Husam juga perlu bertaubat.

Sehubungan itu juga mana-mana pihak di Kelantan, sama ada parti, badan NGO perlu membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat apa yang dipersoalkan Husam itu. Mereka bertanggungjawab "mentankedarah" harta rakyat wajib dihukum. Saya percaya sikap dan amalan bekas MB sebelum ini yang sedia disiasat diteruskan oleh MB kini.

Tiada ulasan: