"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rahsia jika mahu ‘wang turun dari langit’

Faridz Ridzwan
moneyDalam dunia masa kini yang mengamalkan pasaran bebas antara sempadan meliputi banyak negara, ramai umat manusia yang berebut untuk menjana kekayaan.
Hasilnya, rekod daripada banyak maklumat menunjukkan ada kira-kira 1,800 billionaire di seluruh dunia dengan jumlah kekayaaan sebanyak AS$7 trilion sehingga tahun lalu

Senarai siapa manusia paling kaya di Malaysia, kemudian Asia Tenggara dan akhir sekali, paling kaya di muka bumi yang diterbitkan pelbagai media terutama Forbes sering di tunggu-tunggu.

Semua orang mahu tahu siapakah insan berkenaan dan apakah sumber kekayaan mereka. Ada yang berpunca daripada perniagaan, harta warisan dan ada juga hasil menang berjudi.

Penyelidikan mendapati, hampir 80% individu dalam senarai orang paling kaya di dunia adalah datangnya daripada hasil aktiviti keusahawanan.

Buku bertajuk The Self Made Billionaire Effect tulisan Mitch Cohen dan John Sviokla yang diterbitkan pada tahun 2014, pernah mengupas kejayaan mengenai orang kaya berstatus billionaire ini.

Dikatakan, hampir semua orang kaya berkenaan bukanlah genius atau mempunyai daya reka cipta sesuatu produk yang membuatkan mereka kaya, namun mereka didapati bijak menyesuaikan model perniagaan lama dengan kehendak pengguna masa kini.

Kebanyakan orang yang kaya ini mula meraih pendapatan berbilion dolar dalam umur lingkungan 30-an dan 40-an, hasil usaha memberi nafas baharu kepada model perniagaan sedia ada.

Contohnya, pengusaha perabot yang mengasaskan IKEA, Ingvar Kamprad yang memang diketahui mewujudkan suasana baharu untuk perniagaan perabot yang sudah ribuan tahun usianya.

Begitu juga dengan khidmat Uber dan Grabcar, sehingga membuatkan usahawan teksi yang terikat dengan model lama perniagaan teksi, mogok di hadapan Pavilion, Kuala Lumpur, semalam.

Peluang untuk berniaga dan membuat duit lazimnya timbul apabila landskap sosio masyarakat dan ekonomi berubah dan daripada situlah idea keusahawanan boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, dalam usaha memastikan idea keusahawaan itu diterjemah supaya menjadi ‘wang turun dari langit’, usahawan terbabit perlulah sangat berdisiplin, banyak membaca, peka dan teliti, dan sangat fokus dengan apa yang disasarkan.

Pada masa sama, golongan orang kaya bilionaire ini sering berfikir perah otak, bersabar dengan evolusi pasaran dan sentiasa menguji idea keusahawanannya.
Bukan semua usahawan berkeupayaan melatih elemen yang disebutkan di atas itu ke dalam diri mereka dan inilah ujian terbesar sebenarnya.

Banyak juga yang kita dengar mengenai kes usahawan lupa diri apabila mereka ini hanya kaya sedikit sahaja dan mula bersikap boros.

Akibatnya, apabila berlaku perubahan landskap, misalnya kejatuhan harga komoditi, ada yang tidak mampu menyesuaikan diri dan akhirnya muflis.

Yang pasti, dunia perniagaan rentas sempadan masa kini sangat fleksibel dan sensitif kepada perubahan landskap masyarakat, menuntut orang yang mahu menceburi dunia perniagaan dan mahu kaya ini supaya ada kekuatan ‘boleh hidup walau campak di mana sahaja.’
-fmt-

Tiada ulasan: