KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan Islam tidak menyuruh orang Melayu menjadi Arab mahupun (mengikut budaya) Barat, sebaliknya apa yang disuruh adalah seperti Surah al-Hujurat iaitu 'kenal-mengenal antara satu sama lain'.
Katanya, sudah pasti suruhan itu antaranya adalah bertujuan supaya orang Islam khususnya mengambil manfaat dari budaya yang baik dan menghindari budaya yang tidak baik.
Bagaimanapun, jelas Dr Asri, tidak salah sekiranya sesetengah pihak menyatakan pandangan tentang ketidak setujuan terhadap orang Melayu yang mengikut budaya Arab, namun peliknya tidak pula mengkritik budaya Barat yang menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat.
“Isunya bukan Arab ataupun Barat, tapi menilai antara yang positif dan negatif.
“Namun, yang ganjilnya, jika kita tidak pernah pula mengkritik budaya Barat sehingga ia menjadi ikutan bukan sahaja dalam pakaian bahkan tingkah laku kita dalam semua perkara, baik dan buruk.
“Ada orang Melayu yang sudah tiada melayu lagi sekalipun pada upacara 'kemelayuan'.
“Hari diangkat menjadi 'ketua melayu' pun tiada pakaian melayu dan cara melayu. Budaya dan pakaian begitu Barat sekali. Tidak pula kita nilai dengan kritis.
“Tiada salahnya untuk kita kritik budaya yang tidak sesuai dengan identiti baik kita, tapi dengan sikap adil untuk setiap budaya bukan dengan mentaliti yang double-standard,” tulis Dr Asri dalam kemaskini terbaharu di laman Facebooknya.
Dr Asri juga menyatakan bahawa beliau menyedari ada pihak yang mengkritik Melayu yang meniru budaya Arab termasuk dalam penggunaan beberapa istilah seperti iftar (buka puasa), Eid al-Fit (Hari Raya) dan lain-lain.
“Ya, kita pun akui bahawa Islam pun tidak memerintahkan kita mengamalkan budaya atas dasar kearaban Arab. Islam itu bukan agama perkauman Arab.
“Namun perlu disedari bahawa sebahagian perkataan arab itu telah menjadi istilah yang dipakai dalam keilmuan Islam termasuk iftar, haji, masjid, sujud, rukuk dan seumpamanya.
“Tiada salahnya kita menggunakan istilah-istilah ini seperti mana banyak istilah Inggeris kita guna dalam bidang yang lain. Bahkan banyak istilah Arab itu lebih mendekati maksud syarak dalam kerangka istilah ilmu.
“Lebih daripada itu, al-Quran berbahasa Arab yang tidak boleh ditukar ganti dengan bahasa lain.
“Apa yang boleh, sekadar terjemahan maksud ayat-ayat al-Quran bagi yang gagal memahami teks Arabnya yang asal. Namun bacaan al-Quran kekal dalam bahasa Arab. Al-Quran bahasa Arab dan Nabi kita Muhammad s.a.w juga berbahasa Arab,” jelas Dr Asri lagi.
Selain penggunaan istilah dalam bahasa Arab, Dr Asri juga menyatakan bahawa Islam tidak memaksa atau mensyaratkan seseorang Muslim mesti memakai jubah.
“Tapi, tiada salah ataupun ganjil seseorang melayu memakai jubah. Apatah lagi di peringkat dunia, jubah telah sekian lama menjelma sebagai pakaian sarjana.
“Itu sebabnya, hasil dari tamadun ilmu yang umat Islam kembangkan di zaman kegemilangannya, sehingga hari ini, jubah telah menjadi pakaian graduan di seluruh dunia pada hari mereka menerima ijazah,” kata Dr Asri.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kurang senang terhadap segelintir masyarakat Melayu yang meminggirkan budaya mereka, selain cuba ‘menjadi seperti orang Arab’.
Sultan Johor bertitah bahawa baginda masih berpegang kepada adat dan tradisi orang Melayu kerana baginda dilahirkan sebagai orang Melayu.
"Jika ada sebahagian daripada anda mahu menjadi orang Arab dan mengamalkan budaya Arab, serta tidak mahu mengikut adat istiadat dan tradisi Melayu kita, itu terpulang kepada anda.
"Saya juga mengalu-alukan anda untuk tinggal di Arab Saudi,” titah baginda dipetik sebagai berkata.
- mD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan