"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masih sayang Dr Mahathir? Tanya orang Felda

Mohamad Fadli

KLUANG: Walaupun Pakatan Harapan (PH) yang antara lain dipimpin bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seakan-akan membuka peluang gabungan pembangkang 4 parti itu menembus kubu kuat Umno seperti di penempatan Felda, tinjauan mendapati kesetiaan penerokan skim itu kepada kerajaan terlalu utuh.

Ketua Kampung Felda Ayer Hitam, Abdul Halim A. Razak, 55, merupakan seorang penyokong tegar Dr Mahathir, tetapi peralihan bekas orang kuat Umno itu kepada pembangkang sudah cukup mengubah sentimen “sayang kepada tidak suka”.

“Dulu kita akui sayang dekat Dr Mahathir, tetapi sekarang tidak,” katanya ketika dikunjungi FMT baru-baru ini.

Felda Ayer Hitam, 15km dari bandar Kluang, sudah hampir 60 tahun ditubuhkan, dan merupakan penempatan antara paling awal di Johor. Dengan keluasan lebih 1,500 hektar dan tanah berpaya yang subur,ia kini mempunyai bilangan penduduk melebih 2,000 orang.

Halim berkata “faktor Mahathir” juga belum mampu memberikan sokongan kepada pembangkang, walaupun pemerhati politik menjangkakan ia dapat mengubah penyokong tegar kerajaan khususnya di kawasan Felda yang dijaga rapi petugas Barisan Nasional (BN) setiap kali kempen pilihan raya umum.

Sekurang-kurangnya di Johor, tempat lahir Umno dan kubu kuat parti Melayu itu, ia tidak akan berlaku, kata Halim.

“Kalau di Johor memang susah nak pengaruhi (orang Felda). Tetapi di Kedah, mungkin masih kuat.

“Orang Johor bukan mudah-mudah boleh terima Dr Mahathir kembali.”

Johor merupakan antara sasaran utama PH pada pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2018.

Bulan lalu, PH melancarkan jelajah dan trak kempen “Jom Bina Semula Negara”, menyasarkan sejumlah 50 kerusi termasuk di kawasan Felda, 15 daripadanya di Johor.

Halim berkata kemasukan Dr Mahathir ke dalam pembangkang hanya berupaya membongkar “banyak perkara buruk” yang dilakukannya dulu ketika di tampuk kuasa selama 22 tahun.

Persepsi yang dibawa Halim sudah cukup untuk menunjukkan betapa pembangkang perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati warga Felda, di mana sokongan mereka amat genting untuk sejumlah kerusi yang selama ini disandang BN walaupun ketika berdepan prestasi buruk 2008 dan 2013.

Daripada 52 kerusi Parlimen di kawasan Felda, 9 kerusi yang dimenangi BN adalah daripada sokongan peneroka.

Empat daripada kerusi itu – Bera, Bentong, Segamat dan Tanjung Malim – kini disandang oleh ahli Kabinet.

Data menunjukkan peneroka Felda mengundi teguh bersama BN sama ada di peringkat Parlimen atau DUN pada pilihan raya umum 2013, berdasarkan kajian Ilham Center awal tahun ini.

Malah, ia mendapati di Kelantan, di mana BN secara tradisi mempunyai sokongan paling rendah di kalangan penduduk luar bandar, gabungan itu masih menerima hampir 60% sokongan peneroka Felda.

Di negeri lain, tahap sokongan adalah pada 63% dan ke atas, termasuk di Pahang. Di Johor, hampir 90% undi peneroka Felda mengundi BN.

Halim mendakwa pengaruh PPBM di kalangan warga Felda di Johor tidak kuat, walaupun parti berteraskan Melayu itu diterima pada awalnya.

“Apa yang saya dapat maklumat daripada rakan-rakan di Felda, ramai yang dahulunya sertai PPBM, kini telah keluar daripada parti itu. Tetapi tidak pasti mereka masuk parti mana selepas keluar PPBM,” katanya.

Halim berkata mereka yang menyokong PPBM di kawasannya “boleh dikira dengan jari”, walaupun FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan itu pada masa laporan ini ditulis.

“Mungkin satu atau dua anak muda yang duduk di bandar. Kita boleh tahu dan kita ada senarai nama mereka,” tambah Halim.

Tinjauan rambang FMT bagaimanapun mendapati simpati terhadap Dr Mahathir masih wujud.

Contohnya, Pak Samad, yang tidak setuju dengan tindakan Umno mengungkit keturunan Dr Mahathir, dengan berkata jasa pengerusi PH itu perlu dikenang.

“Kita orang Islam, tetapi kenapa nak burukkan sesama kita, macam Dr Mahathir ini sampah dia buat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengundang kontroversi selepas mendakwa dimaklumkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Malaysia yang nama penuh Dr Mahathir seperti tertera pada kad pengenalan lama ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Pak Samad tidak menganggap ia sopan.

“Dulu masa dia jadi perdana menteri kenapa tak cakap? Apa maknanya macam itu,” soalnya.

Tiada ulasan: