"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumber dana kos guaman Hadi mencurigakan, kata Pemuda AMANAH

HAZAYANI ZAKARIA
Tiadanya penjelasan berhubung kehadiran enam orang pegawai daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London di prosiding saman Pas terhadap Sarawak Report menimbulkan spekulasi umum bahawa Pas kini dikawal oleh Umno-BN, dakwa Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, kes fitnah sebegini adalah kes sivil yang melibatkan hak persendirian dan bukannya berkepentingan umum, dan kebiasaannya kerajaan Malaysia tiada apa-apa kepentingan.

"Ironinya, penjawat awam di sana ditugaskan untuk memantau kes persendirian sedangkan tugas mereka adalah menjaga kepentingan negara dan bukannya kepentingan mana-mana parti politik. Sehingga kini, tiada penjelasan berkenaan tujuan kehadiran enam orang pegawai tersebut," katanya.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April lalu mengemukakan saman fitnah RM90 juta apabila penulis artikel Sarawak Report mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan dana sebanyak RM90 juta kepada parti itu.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcatle-Brown di Mahkamah Tinggi di London.

Antara yang dikesan hadir di prosiding pada 2 Ogos lalu ialah konsular politik Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Mohd Hadrizammi Mustafa; pegawai media Kedutaan Malaysia di UK Wan Rosli Wan Osman dan timbalan ketua setiausaha hubungan dua hala Jesse Quiban serta tiga pegawai yang lain.

Pas menari ikut rentak Umno

Mengulas lanjut, Faiz berkata, spekulasi itu timbul kerana kerana Pas dilihat menari mengikut rentak irama yang diolah Umno terutama dalam isu 1MDB apabila tidak lagi bersuara terhadap penyelewengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya Pas menjadi 'hulubalang' di barisan hadapan membela Najib dan 1MDB dengan mendakwa wujud campur tangan asing berhubung tindakan undang-undang oleh negara luar seperti Amerika Syarikat dan Singapura.

Contoh yang paling jelas katanya apabila Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berpuas hati dengan penjelasan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai pelan rasionalisasi 1MDB selepas sidang meja bulat mengenai perkara itu Isnin lalu.

"Walaupun pada peringkat awal Tuan Ibrahim berpendirian suruhanjaya diraja perlu dibentuk bagi menyiasat skandal berskala mega ini, namun beliau boleh pula berpuas hati dengan penjelasan Arul berkenaan pelan rasionalisasi 1MDB.

"Amat menghairankan bagaimana pelan rasionalisasi 1MDB tersebut diterima baik oleh Tuan Ibrahim sedangkan umum mengetahui ia merugikan negara apabila 1MDB menjual aset kepada kuasa asing terutama China seperti yang berlaku kepada syarikat janakuasa tenaga Edra Global Energy Bhd yang dijual kepada China General Nuclear Power Corp penjualan aset kepada institut dana awam seperti Tabung Haji serta pemindahan hutang kepada kerajaan melalui MOF Inc," jelasnya.

Kutip dana RM200 ribu, kos guaman RM600 ribu

Mengulas mengenai kenyataan Tuan Ibrahim bahawa kos guaman Abdul Hadi dibayar menggunakan wang ahli Pas, Faiz berkata ia juga gagal menyangkal persepsi umum bahawa kos peguam ditaja oleh Umno kerana sebelum ini jumlah kutipan dana yang dikumpul Pas hanyalah sejumlah RM200,000 sedangkan kos peguam setakat ini dilaporkan sudah mencecah RM600,000.

"Masakan pokok boleh bergoyang jika tidak ditiup angin, sumber bayaran kos peguam tersebut sudah pasti menimbulkan pelbagai spekulasi umum.

"Kenyataan Tuan Ibrahim baru-baru ini yang berpuas hati dengan penjelasan Arul berhubung proses rasionalisasi 1MDB adalah sesuatu yang kebetulan (coincidence) dengan masa dakwaan Umno menaja kos peguam tersebut timbul.

"Penjelasan Tuan Ibrahim itu juga gagal menafikan dakwaan tersebut kerana pendirian Tuan Ibrahim sebelum ini yang sering berubah-rubah dan banyak melakukan u-turn dalam beberapa isu menunjukkan beliau tiada suara yang kuat dalam Pas.

"Pendirian Tuan Ibrahim dalam sesuatu isu sering berubah apabila disanggah presiden Pas yang dilihat mempunyai kuasa veto dalam parti," katanya.

Tiada ulasan: