"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di kubu Shafie di Semporna, marah dibendung menanti pilihan raya

Desmond Davidson
HUJUNG minggu ini di kubu kuat Presiden Warisan, Shafie Apdal di Semporna sama saja seperti hujung-hujung minggu yang lain.

Penduduk di bandar kecil di pantai timur Sabah yang jadi pintu masuk ke Sipadan, Mabul, Kapalai, Mataking dan lain-lain, pulau-pulau berdekatan yang menjadi syurga bagi pencinta alam yang mahu melihat keindahan batu karang, sibuk dengan urusan masing-masing menagih rezeki daripada pelancong yang berbondong-bondong datang ke sini.

Tidak ada sebarang tanda yang tidak kena di bandar dengan lebih kurang 130,000 penduduk ini biarpun Shafie, orang yang cukup berjasa kepada sebahagian besar mereka, ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kota Kinabalu.

Shafie ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi projek rakyat di Sabah melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika beliau menjadi menterinya.

"Saudara tak akan nampak kemarahan yang terbuka di mana-mana pun," kata ahli perniagaan, Dato Hisham Fattah (gambar atas), sambil duduk-duduk minum kopi Tenom kegemarannya di sebuah warung kopi di lorong belakang.

"Tapi marahnya belum menggelegak," kata Hisham.

Shafie, wakil rakyat lima penggal sejak 1995 di Semporna ini, pada Jumaat lepas diperintah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan SPRM.

"Orang memang marah. Sangat marah walaupun mereka tahu, dan sudah diberitahu, hari ini akan tiba juga apabila dia keluar Umno dan tubuhkan Warisan.

"Mereka sudah diberitahu yang Umno akan kenakan Shafie dan cuba pecahkan sokongan yang ada padanya.

"Hari itu pun datang seperti yang Datuk Seri (Shafie) cakap," kata Hisham, yang juga timbalan ketua Penerangan Warisan Semporna.

Sokongan kepada Shafie di Semporna ini sangat luar biasa. Ketika beliau keluar Umno dan mengasaskan Warisan, 90% daripada 485 cawangan parti itu di Semporna bubar mengikut beliau. Ia menyebabkan Umno di bandar ini lumpuh.

"Orang di Semporna tidak menunjukkannya secara terbuka kerana mereka sudah diberitahu supaya simpan saja semuanya," kata Hisham.

"Masanya akan datang nanti.

"Kita tidak mahu pihak usik pihak berkuasa dengan mengadakan perhimpunan atau tunjuk perasaan. Mungkin itu yang orang Umno harapkan tetapi kami beritahu mereka (penyokong Shafie) supaya marah itu nanti dilepaskan di peti undi," tambahnya.

Seperti kebanyakan penyokong Shafie, Hisham juga percaya siasatan dan penangkapan ini adalah "penyiasatan berpilih".

Dia bertanya apa sudah jadi dengan kes pengubahan wang haram melibatkan Jabatan Air Sabah.

"Kenapa tidak ada sesiapa yang didakwa apabila kita dengar Datuk Seri (Shafie) mungkin didakwa paling cepat hari Isnin," kata Hisham, merujuk pada siasatan penyelewengan Jabatan Air Sabah oleh SPRM pada 2015 dan 2016.

Dua pegawai kanan jabatan itu ditahan atas dakwaan salah guna kuasa dan agensi anti rasuah itu merampas sejumlah RM52 juta tunai dari beberapa tempat, termasuk rumah seorang pegawai.

Ia turut menyita emas, barangan kemas, jam tangan mewah, beg tangan berjenama, kereta mewah dan beratus-ratus geran tanah.

"Bagaimana dengan kes-kes penyelewengan di kementerian lain yang SPRM siasat?

"Saya tak ada dengar pun menterinya ditangkap dan disiasat," kata Hisham.

"Kami marah tetapi kami tidak takut dengan apa yang mereka buat," kata Ghulam Miralam (gambar kanan), seorang Bajau seperti Shafie dan kebanyakan penduduk di bandar ini.

"Saya kenal Shafie sudah 30 tahun. Selama itu, dia selalu nasihat kami dalam banyak mesyuarat supaya jangan menyeleweng dan bagaimana hendak menjaga diri daripada menyeleweng.

"Itu sebabnya saya yakin Shafie tidak bersalah atas apa yang beliau sedang disiasat sekarang.

"Ini politik kotor," kata Ghulam.

Menurut Ghulam, Umno sangat takutkan kemampuan Shafie merentas garis kaum dan menyatukan rakyat Sabah untuk bangkit mendapatkan sebuah kerajaan yang bersih dan apa-apa yang terbaik untuk Sabah.

Shafie, bekas naib presiden Umno, tersingkir selepas berlaga angin dengan Perdana Menteri Najib Razak setelah beliau mempersoalkan penglibatan perdana menteri dalam skandal 1Malaysia Development Board (1MDB).

Najib kemudian menggugurkan beliau daripada Kabinet. Setahun kemudian, beliau digantung daripada parti. Dua minggu selepas digantung daripada Umno, Shafie keluar parti.

"Nampak sangat kenapa mereka buat begini pada Shafie," kata Mohd Jakarah Asmad (gambar kanan) dari Kampung Kubang Pinang, ketika ditemui di warung kopi.

"Mereka cuba menghancurkan kredibilitinya dengan menimbulkan persepsi kononnya beliau tidak bersih dan rasuah."

Jakarah, bekas kakitangan awam yang kini menjaga daerah mengundi untuk Warisan, berkata daripada mencemarkan imej Shafie, mereka hanya menyebabkan penyokong bekas menteri itu "lebih marah pada Umno atas apa yang mereka lakukan ini."

"Ia menjadikan kami lebih bersemangat, lebih bersungguh-sungguh mahu menyingkirkan Umno."

Tiada ulasan: