"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekumpulan penyokong PAS membuat kecoh di Wisma Tok Guru (Gambar)

Isu membabitkan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor, Kota Bharu semakin hangat apabila PAS 'menggempur' bangunan yang kini menjadi Pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, sebentar tadi.

Kira-kira 150 penyokong PAS berhimpun di lokasi kejadian diketuai Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dengan alasan untuk memasang bendera di sekitar bangunan tersebut.

Mereka berkumpul kira-kira jam 9 malam sambil mendengar ucapan disampaikan pimpinan pemuda termasuk Ahmad Fadhli.

Ahmad Fadhli dalam ucapannya berkata, acara memasang bendera PAS itu diadakan sebagai permulaan dan petanda awal bahawa tanah serta bangunan itu adalah hak milik PAS.

"PAS telah berikan notis sebulan kepada pihak yang menduduki bangunan ini untuk mengosongkannya selewat-lewatnya pada 14 November depan.

"Walaupun sudah menjadi hak kita, tetapi bagi mengelakkan perkara berlanjutan kita mengambil keputusan untuk tidak mengakses bangunan ini.

"Kita sekadar meletakkan bendera di bahagian luar sahaja sebagai penghargaan kepada penyokong yang menyumbang untuk kita mencipta sejarah melihat bangunan ini kembali menjadi milik PAS," katanya.

Disuraikan pihak polis

Seusai ucapan tersebut, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menggesa Ahmad Fadhli supaya memberi keizinan menggunakan pembesar suara atas alasan untuk meminta penyokongnya bersurai daripada lokasi.

Bagaimanapun, PAS tidak mengizinkan permintaan itu sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan antara kedua-kedua penyokong.

Sejurus selepas itu, pihak polis bertindak menyuraikan Hazmi dan meminta supaya kedua-kedua pihak bertenang.

Penyokong PAS kemudian meneruskan hasrat mereka dengan memasang kira-kira 10 hingga 15 bendera di bahagian luar pagar Wisma Tok Guru.

Sebelum bersurai, mereka turut menerima kehadiran Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tampil membaca doa penutup .

Keadaan kembali tenang apabila sebahagian besar penyokong PAS meninggalkan lokasi, manakala penyokong AMANAH Kelantan berkumpul dalam bangunan tersebut.

Pada 17 oktober lalu, Malaysiakini melaporkan AMANAH Kelantan menerima notis supaya mengosongkan Wisma Tok Guru yang dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan itu.

Wisma itu menempatkan pejabat ADUN Salor, Datuk Husam Musa dan dinamakan semula tahun lalu sempena memperingati nama bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain menempatkan pejabat Husam, bangunan yang terletak di Jalan Pendek, Salor itu juga menjadi markas AMANAH Kelantan hasil usaha Husam.

Isu tanah berkenaan sebelum ini ditimbulkan oleh PAS Kelantan menerusi ADUN Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa tapak berkenaan milik kerajaan negeri.

Mohd Nassuruddin mempertikaikan tindakan Husam yang juga Naib Presiden AMANAH kerana terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS.

Husam bagaimanapun berkata beliau akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah apabila menerima notis rasmi.

Sehingga keputusan muktamad dibuat oleh mahkamah, Husam berkata AMANAH Kelantan akan terus menggunakan premis berkenaan seperti biasa.
-malaysiakini

Tiada ulasan: