"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyokong tegar Zamihan dakwa Zamihan dianiaya konspirasi 'Wahabi'

Penyokong Aswaja pertahan Zamihan, dakwa dianiaya konspirasi Wahabi

Radzi Razak


PENYOKONG penceramah kontroversi Dr Zamihan Mat Zin menyifatkan guru agama itu teraniaya dan siasatan terhadapnya konspirasi golongan Wahabi untuk menyerang "seorang pejuang Islam" Penggerak Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Abu Syafiq Mohd Rasyiq Mohd Alwi malah menyifatkan golongan Wahabi yang membuat laporan polis terhadap Zamihan sebagai "jahiliah Quraisy yang bermesyuarat menentang seorang pejuang Islam".

Katanya, kelompok Wahabi ini sudah lama berdendam dengan Zamihan kerana tegas menegakkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ketegasan yang dimiliki beliau dalam menegakkan kebenaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia menjadikan puluhan ustaz-ustaz Wahabi tergolek merata tempat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada larangan tauliah mengajar agama kepada penceramah yang dianggap membawa fahaman Wahabi di Selangor dan Johor.

“Perkara ini membuatkan ramai kaum kaki membid'ahkan orang itu berkumpul baru-baru ini memikirkan bagaimana mahu 'mengenakan' DZ (Zamihan). Seperti kaum Jahiliyyah Quraisy yang bermesyuarat menyerang seorang pejuang Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Syafiq menambah kalau diteliti rakaman video ceramah Zamihan itu, tidak ada kenyataan yang menghina Sultan Johor atau hasutan dan perkauman.

"Tetapi yang jelas kita nampak di sana dendam kesumat Wahabi Takfiri sedang dimuntahkan ketika meneguk (sic) air yang keruh."

Abu Syafiq yang juga seorang pendakwah bebas berkata laporan polis terhadap Zamihan telah dibuat oleh beberapa pendakwah yang menentang Zamihan dan Aswaja seperti Dr Rozaime Ramle dan Abdul Naser Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Xifu Naser.

Aswaja, pertubuhan yang dipengerusikan oleh Zamihan kerap kali bertembung pendapat dengan mereka termasuk Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang telah dihalang untuk berceramah di Johor tahun lalu.

Abu Syafiq turut mempersoalkan mengapa Rozaime dan yang lain-lain tidak pernah membuat laporan polis terhadap kenyataan Mohd Asri sebelum ini, juga berkaitan titah Sultan Johor dalam isu kedai dobi untuk orang Islam.

“DZ (Zamihan) langsung tidak menyebut Sultan Johor tapi Mufti Perlis jelas sebut 'Sultan Johor Membunuh Pejuang Islam'. Pun begitu tiada siapa pun buat laporan polis kerana tahu dia bercakap atas dasar sejarah yang disangkanya.

“Maka di mana penghinaan DZ ke atas Sultan Johor dengan hanya menyebut 'Tidak Patut Sultan Cakap Begitu' berbanding tuduhan Mufti Perlis bahawa Sultan Johor membunuh,” kata beliau.

Beliau merujuk kepada kontroversi artikel Mohd Asri pada 4 Disember 2013 bertajuk Bangsawan Samseng yang mengkritik golongan diraja yang menggunakan kuasa untuk mendera rakyat biasa.

Bagaimanapun artikel Mohd Asri tidak merujuk mana-mana keluarga diraja yang melakukan demikian.

Artikel itu sebelum ini dijadikan oleh golongan lawan menuduh Mohd Asri menyindir sebilangan keluarga diraja negara ini.

Abu Syafiq turut menyatakan Zamihan tidak bersikap rasis sebaliknya hanya mementingkan kesucian yang menjadi sesuatu yang amat dipentingkan orang Islam lain.

Beliau menegaskan pendapat Zamihan itu turut dipersetujui Naib Perdana Menteri China, Wang Yang yang mengkritik kebersihan pendatang China.

“Naib Perdana Menteri Negara China Wang Yang kerap menyebut bahawa ramai di kalangan pelancong China apabila ke negara lain banyak membuat kekotoran dengan pelbagai cara. Walaupun kita semua tahu bukan semua orang China begitu namun hakikatnya ramai yang tahu. So (Jadi) rasislah Naib Perdana Menteri China ini kan?! Dengan hanya cakap begitu?!.

“Manakala DZ beliau membicarakan isu toharoh bersuci di sisi agama Islam yang mementingkan kesucian,” katanya lagi.

Zamihan ditahan polis selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam hasil sebuah laporan polis.

Zamihan mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu kedai dobi untuk orang Islam yang beroperasi di Muar, Johor.

Zamihan hari ini direman dua hari bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 4A Akta Hasutan.

Zamihan, seorang bekas penceramah jabatan agama kerajaan dan kini pegawai agama Jabatan Penjara bagaimanapun menafikan mengkritik Sultan Johor, mengatakan yang dia hanya memberikan pandangan peribadi tentang keperluan orang Islam mempunyai dobi berasingan bagi menjaga “kesucian mereka”.

Pada ceramah agama Ahad lalu di Shah Alam, Zamihan didakwa berkata tidak wajar Sultan Ibrahim menghalang dobi untuk orang Islam sahaja di negerinya.

Tiada ulasan: