"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas kritik Sultan, Zamihan mohon ampun, serang media ‘jahat’


FMT Reporters 
PETALING JAYA: Sehari selepas laporan mengenai kuliah agamanya mengkritik pendirian Sultan Johor mengenai dobi “mesra Islam” menjadi viral, Zamihan Mat Zin hari ini menyerang beberapa media sambil mendakwa difitnah, pada masa sama memohon ampun daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


Zamihan berkata kenyataan beliau atas kapasitinya sebagai presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) dan bukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sambil menambah beliau tidak menggunakan perkataan “kasar” terhadap Sultan Johor.

“Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku. Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati,” kata Zamihan dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, beliau sedia disiasat susulan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah.”

Dalam kuliahnya yang dirakam hujung minggu lalu dan dimuat naik di Youtube, Zamihan mempersoalkan kenyataan Sultan Johor bulan lalu yang mengecam pemilik sebuah dobi di Muar kerana enggan berurusan dengan pelanggan bukan Islam.

Sultan Ibrahim dipetik The Star pada 27 September lalu sebagai berkata dasar itu memalukan rakyat negeri Johor.

“Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, tindakan ini tidak boleh diterima langsung kerana bersifat ekstremis,” kata Sultan Ibrahim, sambil memberi amaran sebarang bentuk diskriminasi tidak ada tempat di negerinya.

Zamihan dalam kuliahnya berkata kenyataan Sultan itu “tidak patut”, dan mempertahankan dasar kedai dobi itu kerana pakaian orang bukan Islam masih tidak cukup bersih, malah menganggap orang bukan Islam tidak membersihkan diri selepas membuang air besar.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Menurut Zamihan, masyarakat Cina “sinonim” dengan babi dan arak, oleh itu pakaian umat Islam tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian mereka.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan, sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan termasuk sultan.

“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.

Kenyataan Zamihan itu mengundang kecaman beberapa pihak, termasuk bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mencabar pihak berkuasa mengambil tindakan kerana menghina raja.

Zamihan sebaliknya menyerang pengkritiknya, dan mendakwa ada usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah “republik”.

“Amat wajar juga disiasat gerakan ‘agenda republik’ untuk menghapuskan sistem Kesultanan oleh segelintir pendakwah Liberal Muslim di negara ini,” dakwa beliau.

Zamihan kemudian mengugut menyaman beberapa portal berita termasuk FMT, sambil menyerang FMT kerana mempunyai agenda “merosakkan hubungan antara kaum” dan memburukkan imej beliau.

“Ini bukanlah kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karekter saya,” katanya, yang turut mengecam portal Malay Mail Online kerana menerbitkan gambarnya “dalam keadaan menjelir lidah”.

Menurut Zamihan, FMT “bersikap anti Islam, memusuhi agensi agama Islam, khasnya Jakim dan dilihat tidak pernah mahu menghormati hak dan sensitiviti Muslim di negara ini”.

Tiada ulasan: