"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran Bank Dunia: Ekonomi Malaysia semakin lemah

A Kadir Jasin
Dalam apa pun tindakan ketua-ketua Umno/Barisan Nasional dan jentera diayah mereka, yang termasuk laskar siber K9, unsur putar-belit sentiasa ada dan amat jelas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengherdik pembangkang dan pengkritik kononnya mensabotaj ekonomi negara.

Menteri Kewangan itu mendakwa ekonomi negara kukuh, berkembang pesat dan asasnya kuat.

Tiupan sumbang trompet beliau itu berlaku pada saat-saat kehidupan rakyat jelata semakin terhimpit dan petanda-petanda harian menunjukkan ekonomi negara semakin meruncing dan kewangan kerajaan semakin longlai.

Menteri kabinet beliau sendiri bercakap mengenai pembinaan hospital kerajaan “sakit”, bekalan ubat di hospital kerajaan yang sering terputus dan pesakit yang dulu mampu berubat di klinik dan hospital swasta kini berpusu-pusu ke klinik dan hospital awam.

Najib seronok umpama budak-budak dapat aiskrim apabila ekonomi negara pada suku kedua tahun ini tumbuh 5.8 peratus dan agensi-agensi penarafan memberi markah yang baik kepada ekonomi Malaysia.

Tetapi seperti Sang Kelembai yang celopar mulutnya, puja dan puji Najib segera bertukar menjadi mimpi ngeri. Bank Dunia yang baru-baru ini memuji Malaysia kini memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya semakin lemah.

Dijangka meruncing

Dalam laporan terbarunya Bank Dunia berkata, daripada 15 negara Asia yang ekonominya dianalisis, Malaysia adalah di antara beberapa buah negara yang ekonominya dijangka meruncing.

Ia meramalkan bahawa dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang, ekonomi Malaysia tahun hadapan (2018) dijangka berkembang pada kadar lima peratus sahaja dan akan menguncup menjadi 4.8 peratus pada tahun 2019.

Harga komoditi yang tidak menentu, ketidaktentuan dasar ekonomi negara besar dan ketegangan antarabangsa adalah antara faktor yang melemahkan ekonomi Malaysia.

Bank Dunia berkata, manakala ekonomi negara Asia yang lain berkembang pesat, ekonomi Malaysia merosot kerana ia gagal menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi dunia dan tempatan.

Laporan itu secara khusus menyebut mengenai masalah hutang isu rumah Malaysia yang terlalu tinggi, iaitu melebihi 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

Itulah realiti zaman Najib. Kerajaan berhutang kerana wang negara diboroskan. Rakyat jelata berhutang kerana pendapatan kais pagi makan pagi dimakan pula oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan inflasi.

Merata-rata kita dengar cerita hospital kerajaan ketiadaan atau kehabisan ubat. Rakyat jelata disuruh beli di luar dengan janji dibayar balik kemudian nanti.

Nampaknya kita sudah sampai ke peringkat di mana bukan sahaja kerajaan berhutang daripada China, tetapi juga daripada rakyat jelata.

Najib dan para pendiayah beliau akan terus membuat tipu-helah, tetapi sampai bila rakyat jelata akan terus menderita?

Kalau naratif daripada institusi bebas macam Bank Negara pun tidak konsisten lagi, sukarlah kita mempercayai bahawa perangkaan ekonomi kita adalah benar dan betul.

Hutang luar negara

Kita sering dimaklumkan oleh Bank Negara yang rizab antarabangsa kita tinggi sehingga mampu membiayai beberapa bulan import kekal.

Misalnya, sehingga 29 September lepas rizab antarabangsa Bank Negara naik kepada AS$101.2 bilion (bersamaan RM427.7 bilion). Jumlah ini mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan import kekal.

Selama ini kita membandingkan kadar rizab dengan jumlah import kita. Tetapi kini kita diberitahu yang rizab itu juga dikaitkan dengan hutang jangka pendek luar negara.

Walaupun kadar tukaran ringgit naik 5.8 peratus sehingga 3 Oktober tahun ini, laporan Bank Dunia itu berkata Malaysia terus terdedah kepada risiko mata wang yang lebih tinggi berbanding negara-negara membangun lain di Asia Timur dan Pasifik. Indonesia dan Thailand turut menghadapi risiko yang serupa, tetapi tidak seteruk Malaysia.

Berkenaan rizab antarabangsa, Bank Dunia mendapati syarikat dan bank di Malaysia mempunyai hutang luar yang besar, tetapi rizab antarabangsa nampaknya mencukupi untuk menampung hutang itu.

Jadi adakah ini bermakna rizab antarabangsa kita bukan sahaja untuk menampung kos import, tetapi juga untuk membayar hutang luar?

Mana lebih utama?

Kalau begitu, dalam suasana krisis di mana hutang menjadi masalah, yang mana akan lebih diutamakan kerajaan – mengimport barang-barang, khususnya makanan, atau membayar hutang luar?

Pengalaman negara-negara yang mengalami krisis kewangan mendapati pembayaran hutang luar lebih utama daripada pengimportan barang-barang.

Ambil Greece sebagai contoh. Ketika krisis ekonominya memuncak pada tahun 2013, sehingga 90 peratus rakyat miskinnya bergantung kepada bantuan makanan kerana Greeca tidak mampu mengimport manakan dan harganya melambung. Sampai hari ini pun jualan makanan masih merosot.

Hal yang sama terjadi kepada Indonesia ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98 apabila ia terpaksa berhutang daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan mengutamakan bayaran balik hutang luar daripada mengimport makanan.

Bagaimanapun kerajaan Umno/BN nampaknya tidak mampu dan tidak bersedia untuk berterus terang dengan rakyat jelata bahawa ekonomi negara sedang mengalami masalah sistemik.

Kejatuhan harga minyak mentah, ketidakpercayaan terhadap kerajaan akibat skandal 1MDB dan hutang negara yang melambung menyebabkan nilai ringgit jatuh.

Kejatuhan nilai ringgit secara automatik menyebabkan kos mengimport makanan dan ubat-ubatan naik. Ini menyebabkan harga makanan dan ubat-ubatan melambung.

Kalau ini tidak cukup membebankan, pengguna dikenakan pula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). GST dilaksanakan bagi menampung kekurangan hasil kerajaan akibat kejatuhan harga minyak mentah.

Putaran ganas ini akan berterusan selagi kepercayaan pelabur dan pengguna tidak dipulihkan. Malaysia bukan sahaja mengalami masalah defisit belanjawan yang serius tetapi juga defisit kebolehpercayaan terhadap kerajaan yang teruk.

DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: