"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai pemimpin PAS tak puas hati hala tuju parti, kata Amiruddin

Looi Sue-Chern
Mungkin ramai akan tinggalkan parti, masa akan buktikan, kata Amiruddin Hamzah yang keluar PAS dan menyertai Bersatu Ahad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2017.

PEMIMPIN PAS termasuklah wakil rakyatnya di sekurang-kurangnya empat negeri tidak gembira dengan hala tuju diambil parti Islam itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Pembangkang Kedah Amiruddin Hamzah yang Ahad lepas keluar PAS dan masuk Bersatu.

Ketidakpuasan hati mereka sangat ketara dengan keputusan parti itu memecahkan pembangkang dengan membentuk blok politik ketiga, Gagasan Sejahtera.

“Mungkin ramai akan ikut dan tinggalkan parti,” kata Amiruddin, Adun Anak Bukit kepada The Malaysian Insight.

“Masa akan buktikan. Mungkin selepas Parlimen dibubarkan. Ada perwakilan PAS di Kedah, Selangor, Terengganu dan Kelantan yang tak berpuas hati.

“Kita akan lihat bila Parlimen dibubarkan. Riak arus akan jadi gelombang kecil dan kemudian akan jadi gelombang besar. Tetapi bila jadinya, saya tak tahu.”

Amiruddin adalah pemimpin terbaru meninggalkan PAS untuk menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang enggan disertai parti Islam itu kerana kemelut lamanya dengan DAP dan kehadiran parti serpihan PAS di dalamnya, Amanah.

Beliau tewas pada pemilihan parti pada Muktamar PAS 2015 yang menyaksikan kelompok progresif dalam parti itu dilumpuhkan dan kepimpinan parti diambil alih oleh kelompok ulama konservatif.

Muktamar tahun itu juga menyebabkan keruntuhan Pakatan Rakyat apabila PAS memutuskan ikatan dengan DAP.

PAS yang lain, semua jadi sukar

Menyedari yang beliau tidak boleh mematuhi dasar dan hala tuju baru PAS, Amiruddin menolak semua tawaran memegang jawatan parti pada 2015 sebelum meletak jawatan selaku ketua bahagian PAS Kuala Kedah tahun lepas.

Walaupun tidak keluar parti, beliau masih berdepan kesukaran kerana pendiriannya yang berbeza dengan PAS.

“Selaku pembangkang negeri, saya tak ada masalah. Saya masih ada rakan PAS, DAP, PKR saya dan malah (timbalan presiden Bersatu dan Adun Ayer Hitam) Mukriz Mahathir untuk datang mesyuarat pembangkang sebelum persidangan DUN berlangsung atau hadir ke sidang media.

“Tetapi selain itu, semua benda susah. Sampai saya letak jawatan sebagai ketua Kuala Kedah,” kata Amiruddin.

Selepas meletak jawatan, beliau mula hadir program anjuran DAP, Amanah, PKR dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyokong perubahan kerajaan di Putrajaya.

Amiruddin Hamzah menyertai Bersatu Ahad lalu selepas harapannya melihat PAS menyertai kembali gabungan pembangkang lain berkecai. Beliau menyifatkan keserasiaanya dengan Mukhriz Mahathir juga salah satu faktor menyertai Bersatu. – Gambar ehsan Bersatu, 29 November, 2017.
Amiruddin Hamzah menyertai Bersatu Ahad lalu selepas harapannya melihat PAS menyertai kembali gabungan pembangkang lain berkecai. Beliau menyifatkan keserasiaanya dengan Mukhriz Mahathir juga salah satu faktor menyertai Bersatu. – Gambar ehsan Bersatu, 29 November, 2017.
“Saya sampai isytihar secara terbuka sokongan kepada PH sehingga mengejutkan PAS. Tetapi parti tak ambil tindakan terhadap saya. Mereka tak cukup sebab untuk buat begitu,” katanya.

Harapan berkecai

Amiruddin terus bersama PAS, masih memendam harap yang kepimpinan pusat parti itu akan berubah fikiran dan kembali kepada pakatan pembangkang.

Tetapi, situasi jadi lebih sukar selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR awal tahun ini.

“Perpisahan dengan DAP memang dijangka kerana hubungan antara PAS dan DAP sentiasa dalam keadaan keruh. Tetapi keputusan PAS untuk putus hubungan dengan PKR tak pernah saya terfikir.

“Boleh kata yang itulah kemuncaknya yang buat saya terfikir…PAS tiada sesiapa lagi la,” katanya.

Amiruddin berkata perlu wujudnya usaha bersepadu dalam kalangan semua parti pembangkang jika mereka mahu menumbangkan Barisan Nasional.

“Kita ada Barisan Alternatif dan kemudiannya PR (Pakatan Rakyat). Itu adalah caranya untuk bergerak maju, bukannya memutuskan ikatan dengan rakan sekutu sendiri.

“Malah Dr Mahathir Mohamad yang memimpin kerajaan BN selama 22 tahun mengatakan bukanlah kerana BN itu kuat tetapi pembangkang yang berpecah belah menyebabkan BN terus berkuasa,” katanya.

Jumaat lalu, Amiruddin berusaha untuk kali terakhir, ketika bertemu Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi untuk menggesa parti Islam itu bekerjasama dengan PH dan memastikan wujudnya pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya umum akan datang, sekurang-kurangnya di peringkat negeri.

Tetapi beliau dimaklumkan yang PAS bertegas mahu bertanding sebagai blok politik ketiga.

“Saya dah luangkan masa mencukupi dengan harapan ada perubahan berlaku tetapi sampai sudah ia tidak berlaku. Jadi saya memutuskan untuk sertai Bersatu pada Ahad.

“Ada komen kasar diberi kepada saya selepas itu, kebanyakannya di media sosial. Saya dah siap sediakan mental untuk itu,” katanya.

Keserasian bersama Mukhriz

Amiruddin mengatakan dalam membuat keputusan menyertai Bersatu, beliau memikirkan matlamat politik untuk menyingkirkan “kerajaan kleptokrasi” dan bagaimana boleh beliau melakukan sumbangan paling besar kepada matlamat itu.

Katanya, keserasiannya dengan Mukhriz juga mempengaruhi keputusan itu, walaupun kedua-dua adalah “musuh” dalam kerajaan negeri sehinggalah Mukhriz disingkirkan sebagai menteri besar awal tahun lepas.

“Saya serasi dengan Mukhriz. Kami ahli Anak Sains Mara (Ansara).

“Dia berbincang dengan saya sebelum dia disingkirkan sebagai MB. Saya rasa kami boleh bekerjasama,” kata jurutera lulusan UK berusia 55 tahun itu.

Sentimen Kedah

Amiruddin berkata PH di Kedah mempunyai peluang baik untuk menakluk negeri itu dengan gabungan pelbagai faktor seperti jenteranya, sokongan pengundi dan isu terhadap BN seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, sentimen akar umbi tidak berapa bagus untuk BN kerana ada ahli dan penyokong Umno sendiri yang mentertawakan pemimpin mereka.

“Pergi ke kenduri kahwin, gerai teh tarik dan awak akan dengar orang Umno buat lawak tentang pemimpin mereka sendiri. Itu tak pernah berlaku sebelum ini.

“Rakyat bercakap tentang GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), 1MDB dan kos sara hidup,” katanya.

Tiada ulasan: