"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi jawab parti suci, gelaran selepas gagal pinda perlembagaan Pas

MALAYSIA DATELINE
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab secara khusus gelaran ‘parti suci’ yang selalu diberikan oleh ahli parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin terhadap partinya hari ini.

Namun, Hanipa ketika dihubungi enggan mengulasnya kenyataan Hadi itu dengan berkata, “Saya tidak mahu ambil port (kesah) kenyataan dia.”

Dalam tulisan panjangnya hari ini, Abdul Hadi berkata, ini bahasa yang baru diistilahkan dan digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang dengan ajaran Islam.

“Yang berdasarkan nas yang qati’e dan thabit di dalam Al-Quran dan Hadis seperti Pas, yang tidak mahu dihanyutkan atau menerima perubahan mengikut selera kumpulan yang dinamakan Islam Liberal dan yang bersekongkol dengannya atau totok bukan Islamnya,” tulis Hadi dalam Harakahdaily, lidah rasmi Pas.

Bagi beliau, mereka mahu menjadikan Islam seperti agama yang ada ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pilihan raya.

Hadi mendakwa, pihak berkenaan membuat dakwaan itu setelah gagal meminda undang-undang tubuh Pas.

“Setelah mereka gagal meminda Undang-undang Tubuh Pas (Perlembagaan) dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulamak sekadar menjadi penasihat yang tidak wajib dipatuhi, khususnya dalam perkara hukum yang thabit bercanggah dengan kemahuan akal fikiran manusia, demikian juga mereka termasuk yang menganggap dirinya sangat bijak,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada Hanipa yang kebetulan seorang peguan utama dalam Pas sebelum parti itu berpecah.

Kata Hadi juga, setelah mereka gagal dalam usaha meminda asas tersebut dan juga gagal mempengaruhi Muktamar Pas dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya, lalu bertindak keluar daripada Pas “dengan dukungan dan sokongan dalang-dalang di belakangnya.”

Dakwa Hadi, mereka juga gagal menolak Pas dari belakang supaya menyertai BN, di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan Pas menjadi tangganya kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan.

“BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka,”kata ahli parlimen Marang itu.

Bagi Hadi, sebenarnya Pas hendak dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu mereka dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini.

“Daripada gerakan BERSIH pada namanya dan Pas berundur kerana jenamanya yang diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan berbagai pendekatan dan jenama,” dakwa beliau.

Namun, katanya, setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan Pas yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka.

“Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris, kerana ditolak BN, ditolak Pas dan ada tanda-tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang, Insya Allah,” katanya lagi.

Menurut Hadi lagi, apabila mereka merasakan Pas menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan Pas menjadi kapak atau tukulnya.

“Maka Pas tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan, khususnya media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya, walaupun Pas bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka Pas sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan,” tambah beliau.

Hadi juga mendakwa, apabila peluru fitnah Pas mendapat duit Perdana Menteri sebanyak RM90 juta, yang mereka anggap boleh menembusi pengaruh Pas, namun katanya Pas terus mara, Insya Allah.

“Kini mereka menggunakan bahasa yang zahirnya pujian, tetapi hakikatnya perlian, tanpa mereka sedari betapa mereka buta Al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf,” katanya.

Hadi juga menyerang pihak yang melanggar baiah dalam Pas yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang meninggal Pas dan menyertai Bersatu baru-baru ini.

Katanya, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah (janji setianya), maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.

Katanya, amalan bai’ah dilakukan oleh para sahabat, tabi’en dan generasi yang menyambung perjuangan Islam yang bertali arus sehingga kini.

“Mereka yang berbaiah itu sangat takut di hadapan Allah, hanya dibatalkan baiah apabila ternyata pemimpinnya menentang hukum Allah yang nyata nasnya daripada Allah dan Rasul, bukan kerana berlainan pendapat dan pendekatannya sahaja kerana konsep ketaatan kepada berjamaah adalah wajib dengan syarat-syaratnya,” katanya.

Beliau juga berkata, Pas tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihan raya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat.

“Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan Allah apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayah-Nya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini.

“Maka Pas mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat,”katanya.

Tiada ulasan: