"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Orang Asli cerita detik pertemuan dengan Jaslinda

BERNAMA
PENDUDUK Orang Asli, Nazri Bah Eng yang menjumpai Jaslinda Saludin. FOTO Bernama.
PENDUDUK Orang Asli, Nazri Bah Eng yang menjumpai Jaslinda Saludin. FOTO Bernama.
Tapah: Seorang penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki Jaslinda Saludin, 49, petang tadi mendakwa wanita itu dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang bersama satu beg plastik berisi beberapa jenis tumbuhan termasuk cendawan.

Nazri a/l Bah Eng, 55, berkata dia menemui Jaslinda ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan sungai berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bersama dua ahli keluarganya.

"Kami kebetulan nak memancing di sungai berkenaan, secara tiba-tiba seorang daripada kami menjumpai Jaslinda dalam keadaan lemah dan menangis. Dia juga ada bawa satu beg plastik yang berisi cendawan.

"Dalam keadaan itu, saya terus bawa dia balik ke rumah tok batin di kampung berkenaan dan kami beri dia makan serta minum kerana keadaannya kelihatan terlalu letih," katanya ketika ditemui di Hospital Tapah, di sini hari ini.

Nazri berkata, selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, dia segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan penemuan berkenaan sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di lokasi.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi 23 Mei lepas, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.

Jaslinda cerita berpusing tempat sama, lindung dalam gua

FMT Reporters

Pendaki itu berkata dia berdepan cabaran muka bumi dengan tanah terlalu lembut dan berbukit-bukit hingga menyebabkan dia jatuh banyak kali.
Pendaki Jaslinda Saludin ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh selepas hampir dua minggu hilang di dalam hutan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pendaki Jaslinda Saludin yang ditemui selamat selepas hilang hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, Perak sempat menceritakan pengalamannya sepanjang dia berada di dalam hutan.

Dalam beberapa video tular yang dirakam ketika berada di perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh, Jaslinda berkata dia jatuh beberapa kali dan turut berlindung di dalam gua.

Jaslinda, 49, berkata selepas meneruskan perjalanan dari puncak gunung, dia mendapati dirinya tersasar dari laluan apabila berpusing-pusing di tempat yang sama.

“Dalam perjalanan, akak jatuh banyak kali. Akak berpusing-pusing di tempat yang sama dan keluar tempat sama.

“Jadi akak tukar belah ke kanan, itu yang jumpa bukit itu. Bukit itu ada dua, tapi sebelum itu akak dah naik gunung itu,” katanya.

Katanya, keadaan muka bumi yang berbukit dan tanah yang lembut menyukarkan dia untuk mencari jalan keluar.

“Macam nak mati sebab dia punya tanah terlalu lembik, turun naik turun naik (bukit). Ada air itu saya minum. Dia ada macam gua, kita masuklah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Bah Roslan Bah Sulpok, 51, memberitahu Sinar Harian dia nampak seorang wanita dalam keadaan lemah sedang menyeberangi jambatan berhampiran kampung tersebut.

Bah Roslan berkata dia kenal wanita itu adalah Jaslinda berdasarkan gambar yang dilihatnya di telefon bimbit.

“Saya terus jerit minta dia tunggu sahaja di situ. Bila saya pergi dekat dia, dia terus menangis dan cakap tolong saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaslinda juga dilaporkan sudah dibawa keluar dari perkampungan berkenaan dengan sebuah ambulans dan tiba di Hospital Tapah pada 9.20 malam tadi untuk pemeriksaan lanjut.

PRN NS: Siapo terpolanting, siapo melonting?

Mohsin Abdullah

PRN Negeri Sembilan kali ini bukan pilihan raya biasa-biasa. Ini bukan sekadar pasal pembangunan, prestasi kerajaan dan sebagainya.

Menurut laporan Malay Mail petang semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah terima notis pembubaran DUN Negeri Sembilan dan akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh PRN.

Bila mesyuarat khas itu diadakan akan diumum kelak, maknanya PRN akan diadakan. Ertinya bolehlah ketepikan drama pagi semalam di depan rumah Tunku Besar Tampin, dan ‘pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar yang ‘baharu’ untuk menggantikan Yang di-Pertuan Besar sedia ada, di sebuah hotel di Melaka.

Kerajaan persekutuan menegaskan ia kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ertinya pembubaran DUN dianggap sah setelah diperkenan baginda.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan perintah injuksi sementara untuk mengekalkan status quo di tengah tengah krisis di Negeri Sembilan. Namun Undang serta pemimpin adat membantah pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar Aminuddin Harun pada Khamis, dan memberi amaran akan kesan undang-undang berikutan langkah itu.

Jelas dan nyata krisis ini tidak nampak penyelesaian. Apa pun, saya ulangi, ketetapannya ialah PRN akan diadakan. Ini bukan pilihan raya biasa-biasa. This is an election never seen before.

Ini bukan sekadar pasal pembangunan, prestasi kerajaan dan sebagainya. Ini mengenai adat perpatih dan Yang di-Pertuan Besar yang memerintah. Sesungguhnya krisis institusi adat membawa kepada pmbuburan DUN.

Kata anak jati Negeri Sembilan, Kamarulzaman Zainal, yang juga bekas setiausaha akhbar kepada Abdullah Ahmad Badawi, “apabila adat dan politik bertembung di bumi bertuah ini undi rakyat bukan lagi sekadar memilih wakil rakyat tetapi menentukan neraca keabsahan antara istana dan balai undang”.

Bagi saya, yang akan menjadi isu pada PRN kali ini berkait secara langsung soal siapa derhaka, siapa setia, dan siapa pertahan adat. “Ini sudah pasti,” kata Kamarulzaman.

Katanya lagi, “Perikatan Nasional akan terus menggunakan isu ini terutama di kawasan-kawasan yang masih kuat berpegang pada adat”.

Menurut seorang pemerhati politik, juga anak jati Negeri Sembilan, Umno menangguk di air keruh, dan kemudian beberapa langkah yang diambil Undang yang empat menjadikan krisis lebih serius.

Menurut beliau, rakyat melihat isu ini dalam perspektif berbeza dan segalanya bersimpang siur. Bagi penyokong Umno, kata beliau, naratif kegagalan kerajaan negeri lebih ketara berbanding Pakatan Harapan yang melihat wujud campur tangan politik Umno dalam krisis ini.

“Di samping itu tampil beberapa figura Bersatu daripada tim Reset seperti Rais Yatim dan Chegu Bard yang mempertajamkan lagi pertembungan ini,” kata si pemerhati itu.

Bekas wartawan, Kalimullah Hassan, mengingatkan kita bahawa Rais pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan daripada 1978-1982, kemudian menjadi menteri Umno di peringkat pusat sehingga 1987. Beliau jadi sebahagian gerakan yang gagal menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, lalu dipecat.

Katanya, Rais waktu itu sudah bakar jambatan dengan Umno namun 12 tahun kemudian setelah tidak berjaya dalam Semangat 46 masuk semula Umno. Kemudian, kata Kalimullah, Abdullah Badawi semasa itu timbalan perdana menteri masuk campur dan membawa Rais ke dalam Kabinet.

Apabla Abdullah jadi perdana menteri pada 2003, Rais “continued to be a favoured minister,” kata Kalimullah. Bagaimanapun, apabila Pak Lah hilang majoriti 2/3 pada pilihan raya 2008, Rais antara orang pertama yang berpaling tadah terhadap Pak Lah, menurut Kalimullah.

Rais menyokong Najib Razak sebagai perdana menteri namun apabila Najib bersama Umno-BN tewas pilihan raya 2018, Rais masuk Bersatu pimpinan Mahathir.

Apabila Mahathir tumbang pada 2020, Rais terus setia dengan orang yang jatuhkan Mahathir iaitu Muhyiddin Yassin, kata Kalimullah. Kini apabila Muhyiddin berdepan masalah ahli keluar parti, Rais menyebelahi Hamzah Zainudin, musuh Muhyiddin.

“Wow,” kata Kalimullah.

Kata Kalimullah, sekarang Rais menjadi ‘penasihat Undang Negeri Sembilan dan Yamtuan yang baharu’. Giliran saya kata “wow“.

Berbalik kepada pemerhati politik tadi. Kata beliau, naratif yang mendominasi krisis ini “itulah yang akan mewarnai PRN nanti”.

Menurut beliau, kerajaan negeri yang bakal dipilih dan mendapat mandat baharu pula hanya berperanan sebagai mediator bagi membantu proses penyelesaian krisis — dalam konteks ini PRN lebih bertujuan untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri melalui kerajaan yang punya mandat rakyat yang jelas, punyai majoriti serta segar.

Buat masa ini kesimpulan beliau ialah: “parah krisis ini tercalar pusaka, hilang adat, rendah budaya, turun dan tabal tiada susila. Yang nak diturun tanpa sebab, yang ditabal seperti berharap, majlis menyalah adab.”

Kasimpulan Kamarulzaman pula: “Kito tengok undi nanti siapo yang terpolanting siapo yang melonting.”

Kesimpulan Kalimullah: “Rais dan rakan-rakanya, bekas Bersatu, bekas Umno, bekas apa sahaja, seharusnya tahu apa yang mereka lakukan. Politik boleh dan memang menghancurkan masyarakat dan negara. Sejarah penuh dengan contohnya.”

Kata pemerhati politik pula, PRN tidak akan menyelesaikan kemelut ini secara tuntas kerana kedudukan dan bidang kuasa institusi adat terletak bawah kebijakan luak masing-masing.

“Justeru penyelesaian sebenar memerlukan Yamtuan Besar dan para Undang kembali bermusyawarah serta mencapai persefahaman melalui meja rundingan,” kata beliau.

Tanya saya kepada diri sendiri, adakah itu akan berlaku? Bolehkah ia berlaku?

BN Negeri Sembilan tanding semua 36 kerusi DUN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di semua 36 kerusi DUN pada PRN akan datang, kata ketuanya Jalaluddin Alias.

Jalaluddin yang juga ketua Umno negeri berkata perkara itu juga sudah mendapat persetujuan presiden parti Zahid Hamidi, lapor Sinar Harian.

“Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tempoh hari telah memutuskan untuk bertanding di semua kerusi DUN, jadi kita juga akan mengambil langkah yang sama.

“Pembahagian kerusi turut melibatkan MCA dan MIC, manakala jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti akan diputuskan kemudian,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Pertang berkata senarai nama calon juga hampir selesai dan kini dalam proses saringan, sebelum dihantar kepada pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, 95% calon adalah muka lama dan ada beberapa perubahan yang akan dilakukan termasuk menampilkan muka baharu.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pada PRN 2023, PH menang 17 kerusi, BN meraih 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh lima kerusi.

Jaslinda: Nak tunggu lama di puncak takut gelap

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
TANGKAP layar video menunjukkan kaki kiri Jaslinda (dalam bulatan) yang agak bengkak selepas ditemui selamat di Pos Musoh hari ini.
TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh di sini hari ini membuat keputusan untuk turun sendiri dari puncak gunung itu sebelum kehilangannya pada 24 Mei lalu.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial hari ini, dia berkata, keputusan itu diambil kerana tidak mahu berada di puncak gunung tersebut terlalu lama.

Katanya, sebelum pendakiannya ke puncak gunung tersebut, dia telah memaklumkan kepada individu yang bersamanya dipercayai malim gunung bahawa dia mahu memulakan pendakian ke puncak.

“Akak cakap akak gerak dulu, jadi akak gerak dulu naik atas. Lepas itu kamera akak bateri semua dah habis. Jadi akak pun dah sampai atas.

“Jadi akak tunggu kejap. Nak tunggu lama (di puncak), takut malam itu, dia (Mohd. Hanafi Neikmad, 41) tak larat,” katanya dalam rakaman video berkenaan hari ini.

Dia juga didengari memberitahu penduduk kampung Orang Asli di kampung berkenaan bahawa dia jatuh berulang kali sewaktu dia sesat di Gunung Batu Putih.

Sejurus ditemui hari ini, Jaslinda diberi makan oleh penduduk kampung berkenaan, selain dia dilihat berada dalam keadaan sihat walaupun kakinya kelihatan bengkak.

Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO!

Pemuda PAS Bangi lulus usul putus hubungan dengan Bersatu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemuda PAS Bangi sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dalam mesyuarat agung tahunannya yang berlangsung hari ini.

Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, sayap pemuda PAS itu turut menggesa kepimpinan PAS dan Pemuda PAS pusat membuat keputusan yang sama.

“Pemuda PAS Bangi juga sebulat suara mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali terhadap presiden PAS dalam pelancaran jentera Bersatu di Melaka,” katanya.

Walaupun Pemuda PAS Bangi tidak memperincikan kenyataan Azmin yang dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan beliau yang menolak dakwaan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera akar umbi yang mencukupi, sambil menggesa pengkritik supaya jangan ‘pekak dan buka mata’.

Pada 22 Mei lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mendakwa Bersatu menuntut banyak kerusi dalam PRN dan PRK sebelum ini walaupun mempunyai jentera yang tidak mencukupi di peringkat akar umbi.

Menurut Hadi, PAS sering terpaksa menggerakkan jentera parti sendiri bagi menyokong usaha gabungan dalam pelbagai pilihan raya.

Keputusan Pemuda PAS Bangi itu dibuat ketika hubungan antara PAS dan Bersatu semakin tegang susulan krisis politik di Perlis, yang menyaksikan seorang Adun Bersatu menggantikan Adun PAS yang dipilih sebagai menteri besar.

Sejak itu, Hadi berkata PAS sedang menilai semula hubungannya dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional, termasuk kemungkinan menghadapi PRU akan datang tanpa parti yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu.

Jaslinda ditemukan selamat oleh Orang Asli petang tadi

Bernama 

Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah sejak 24 Mei lepas berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon, berkata mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, kira-kira jam 3 petang.

“Selepas menjumpai mangsa, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sayani berkata mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

“Setakat ini, orang hilang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua malim gunung perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki.

Bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

- Bernama

Mafia korporat: Ahli perniagaan dedah konspirasi ‘soldier boys’, diugut pistol

Farah Solhi

Pengasas sebuah syarikat yang didakwa menjadi sasaran “mafia korporat” memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini, dengan menceritakan dakwaan konspirasi yang didakwa dilakukan melalui kumpulan WhatsApp “soldier boys” — serta satu ugutan senjata api yang didakwanya berlaku terhadap dirinya di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Dalam keterangan saksi, pengasas GIIB Holdings Berhad (GHB), Tai Boon Wee, berkata dia diperkenalkan kepada defendan Yee Voon Hon dan Wong Weng Yew pada tahun 2020, pertemuan yang menurutnya mencetuskan pertikaian pegangan saham serta kempen untuk menekan harga saham GHB melalui liputan media yang dimanipulasi.

Tai mendakwa sekumpulan individu termasuk Yee dan Wong berpakat untuk mengambil alih syarikat tersebut, dengan perbincangan strategi dilakukan dalam kumpulan WhatsApp bernama “soldier boys”.

“Mesej WhatsApp tersebut termasuk perbincangan mengenai penggunaan dana haram dan tersembunyi, serta rancangan untuk merosakkan kredibiliti dan reputasi keluarga saya.

“(Ia juga membincangkan) tindakan melambatkan proses perbankan, manipulasi liputan media, serta pengumuman negatif bagi menurunkan harga saham GHB.

"Bukti WhatsApp menunjukkan adanya rancangan berterusan dan teratur oleh defendan untuk menjejaskan GHB dan mengambil alih syarikat awam itu,” katanya.

Dakwaan itu dibuat ketika Tai memberi keterangan sebagai saksi kelima bagi GHB dalam saman fitnah terhadap Wong, Yee dan lima individu lain.

Saman

GHB mendakwa Wong memfitnah syarikat melalui kenyataan pada tahun 2022 yang disiarkan di beberapa media termasuk The Edge Markets.

Wong sebelum ini merupakan ahli lembaga pengarah GHB sebelum ditamatkan perkhidmatan pada Mei 2022, manakala Yee ialah pemegang saham GIIB Healthcare Products Sdn Bhd.

Syarikat itu memohon injunksi mahkamah, permohonan maaf secara bertulis dan lisan daripada Wong, serta ganti rugi am, punitif dan teruk, selain kos perbicaraan.

Wong pula mendakwa dia digantung selepas membongkar beberapa transaksi “meragukan”, termasuk RM630,000 yang didakwanya disalah guna oleh Tai dan keluarganya.

Dia juga mendakwa Tai meminta dirinya meluluskan beberapa transaksi sehingga RM500,000 selepas penggantungannya, ketika dia masih merupakan penandatangan syarikat.

Wong dan Yee telah memfailkan tuntutan balas berasingan terhadap Tai serta beberapa individu lain, yang kesemuanya dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Quay Soon Chew.

Tai balas balik

Tai, 66, yang kini menjadi penasihat GHB, memberitahu mahkamah bahawa kenyataan Wong kepada media adalah “tuduhan yang direka” terhadapnya — palsu, berniat jahat dan sebahagian daripada konspirasi terancang untuk menjatuhkan dirinya serta syarikat.

Tai berkata Wong telah meninggalkan konteks penting bahawa transaksi tersebut sebenarnya untuk membayar gaji pekerja.

“Kenyataan itu palsu, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai pengerusi eksekutif dan CEO,” katanya.

Dia menambah bahawa tindakan itu telah memberi kesan kewangan yang buruk kepada syarikat serta operasi perniagaannya, selain menyebabkan tekanan, penderitaan dan memalukan dirinya di mata umum.

Tai juga mendakwa Wong sengaja menghalang transaksi kewangan syarikat sehingga dia terpaksa mendapatkan kelulusan secara langsung daripada Wong.

“Oleh itu, beliau tidak berhak menggunakan situasi yang beliau sendiri cipta untuk menuduh saya melanggar tadbir urus baik.

“Saya hanya bertindak demi kepentingan GHB, dan beliau mengetahuinya,” kata Tai.

Ugutan dan senjata api

Tai memberitahu mahkamah dia pernah menerima ugutan daripada dua individu berkaitan pertikaian pemilikan saham syarikat — daripada Chong Loong Men pada 2022 dan ahli perniagaan Andy Lim pada 2023, yang turut dikaitkan dengan “mafia korporat” dalam laporan Bloomberg.

Tai mendakwa ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2023, seorang pegawai mengarahkannya bertemu Lim di restoran The Social di Publika, Kuala Lumpur.

“Ketika saya masih memberi keterangan kepada SPRM, pegawai itu meminta saya pergi ke pertemuan (dengan Lim). Pada mulanya saya menafikan dan menegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang pertemuan. Namun beliau tetap mendesak saya pergi dan berkata ia adalah pertemuan yang sangat penting.

“Selepas saya meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, saya mengikuti arahan pegawai itu ke Publika, di mana saya bertemu dengan Chong Loong Men dan diperkenalkan kepada Lim,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Marcus Liew.

Tai berkata Lim telah membuat tuntutan berkaitan pegangan saham GHB dan apabila dia menolak, Lim didakwa menunjukkan sepucuk pistol dan mengugutnya.

Bagaimanapun, Tai tidak menyatakan ugutan senjata api itu dalam kenyataan saksinya mahupun dalam laporan polis, walaupun dia telah membuat laporan selepas pertemuan tersebut. Perkara itu menimbulkan persoalan oleh peguam pembela, Tharminder Singh.

Tai mengakui dia tidak memasukkan insiden itu dalam kenyataan saksi kerana ketika itu bimbang akan keselamatan dirinya. Hanya selepas laporan Bloomberg, dia berkata baru berasa selamat untuk mendedahkannya.

“Saya rasa ini sesuatu yang berlaku di Malaysia dan sudah diketahui umum, jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk saya memasukkannya,” katanya, sambil menafikan dakwaan pihak pembela bahawa dia hanya menumpang naratif laporan Bloomberg.

Perbicaraan dijadual bersambung pada 29 Julai.

Pencuri kabel bermaharalela: Selamba angkut kabel di tepi jalan

MOHD. FAHMI ISMAIL
Tangkap layar dipercayai kejadian curi kabel di Liberty ARC, Ampang Ukay pada 4 Jun lalu.
PETALING JAYA – Ketika kebanyakan orang sibuk bekerja, sekumpulan individu dipercayai mengambil kesempatan menjalankan kegiatan mencuri kabel di tepi jalan dalam kejadian yang dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di TikTok.

Menerusi rakaman yang dikongsikan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dilihat berhenti di bahu jalan sebelum beberapa individu keluar dan mengangkat objek dipercayai kabel ke dalam kenderaan tersebut.

Kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan Liberty Arc, Ampang pada 4 Jun lalu.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kejadian tersebut di ruangan komen.

“Tapi report (aduan) dekat TM pun macam tak ambik kisah pun kabel tu. Dua tiga hari baru mai tengok tempat kejadian.. tapi kawasan saya kerja la,” dakwa @srollNizam.

“Dulu pernah ikut tim jaga kabel TM ni biasanya ada penggera berbunyi bila kabel kena potong dan bunyi penggera di telefon petugas,” kata Nordin Selamat

“Pasti kereta tu dah tertunggak beberapa bulan tu macam sesak sangat cari duit pakai bayar,” tulis @Josephkey.

Kosmo! kini masih cuba mendapatkan pengesahan pihak polis berkenaan kes ini. – KOSMO!

Tragedi di Sahara: 49 maut akibat kehausan selepas lori rosak

Astro AWANI
Niger: 49 travelers found dead in desert near Algerian border At least 49 Nigerian nationals have been found dead in a desert area located more than 80 kilometres west of Assamaka in the Agadez region, near the border with Algeria and Mali, the Agadez Governorate said on Thursday, June 4, 2026.
Dalam insiden itu, hanya dua individu dilaporkan terselamat selepas berjalan kaki merentasi gurun untuk menuju ke Assamaka bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa. -Foto Facebook
NIAMEY: Sekurang-kurangnya 49 orang disahkan maut akibat kehausan di kawasan terpencil Gurun Sahara di utara Niger selepas lori yang membawa mereka mengalami kerosakan, lapor BBC.

Pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi kecemasan selepas kumpulan berkenaan dilaporkan terperangkap tanpa bekalan air pada jarak lebih 80 kilometer di barat Assamaka, pintu sempadan utama antara Niger dan Algeria.

Gabenor Wilayah Agadez mengesahkan kumpulan itu dalam perjalanan pulang dari Mali selepas menghadiri upacara keagamaan sebelum kenderaan mereka tersadai di tengah gurun.

“Para pengembara ini terperangkap dalam persekitaran ekstrem dengan suhu yang sangat tinggi serta ketiadaan sumber air, sekali gus menyukarkan mereka untuk terus hidup,” menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Siasatan awal mendapati lori berkenaan berlepas dari bandar Telhandek di Mali sebelum tersasar daripada laluan asal dan mengalami kerosakan mekanikal.

Pemandu dan penumpang dilaporkan cuba membaiki kenderaan tersebut selama beberapa hari, namun gagal, menyebabkan ramai daripada mereka maut akibat kehausan.

Dalam insiden itu, hanya dua individu dilaporkan terselamat selepas berjalan kaki merentasi gurun untuk menuju ke Assamaka bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Pelakon 'Top Gun: Maverick' James Handy maut ditikam

Astro AWANI
https://www.imdb.com/name/nm0359695/mediaviewer/rm2394335232/
Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan Handy (foto) dibunuh oleh anak lelaki kepada teman wanitanya yang tinggal bersama di kediaman berkenaan. -Gambar fail/IMDB
LOS ANGELES: Pelakon veteran Hollywood, James Handy, dilaporkan meninggal dunia akibat ditikam di kediamannya di Tarzana, di sini, dalam satu insiden pada pagi Rabu.

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan pelakon berusia 81 tahun itu dibunuh oleh anak lelaki kepada teman wanitanya yang tinggal bersama di kediaman berkenaan.

Polis memaklumkan menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) sebelum anggota tiba di lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan luka tikaman di bahagian dada.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Suspek, Michael Gledhill, 44, ditahan di lokasi kejadian selepas menyerah diri kepada polis dan kini direman atas pertuduhan membunuh dengan ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$2 juta (kira-kira RM8 juta).

Polis berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai insiden terpencil dan tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam.

Handy memulakan kerjaya lakonannya sejak 1970-an, termasuk penampilan dalam filem Jumanji (1995) serta Top Gun: Maverick (2022).

Beliau turut membintangi pelbagai siri televisyen popular seperti NYPD Blue, Law & Order dan NCIS: Los Angeles.

JPN lapor polis kes lelaki Myanmar mengaku ada MyKad

HARRITH HISHAM
Tangkap layar video tular seorang individu warga Myanmar mengaku memiliki MyKad.
PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis susulan dakwaan seorang individu disyaki warga Myanmar mengaku memiliki kad pengenalan negara ini (MyKad).

JPN dalam kenyataan berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi video tular yang dimuat naik di laman media sosial.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.

“JPN tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang atau menjalankan tindakan lanjut hanya berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial.

“Sehubungan itu, JPN telah memohon kerjasama polis serta agensi berkaitan untuk mengesan individu terbabit, mengenal pasti identitinya dan menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan fakta sebenar,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINEMajalah Kosmo

Terengganu: Wanita cedera parah nahas di LPT2

Rosli Ilham
Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di LPT2, dekat Paka yang menyebabkan seorang wanita putus kaki kiri – Foto JBPM
DUNGUN: Seorang wanita cedera parah selepas kaki kirinya terputus setelah kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, dekat sini, petang tadi.

Mangsa berusia 57 tahun dan menaiki Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Proton X70.

Sebelum kejadian, kenderaan terbabit yang dinaiki seorang lelaki dan empat lagi dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Hazamullah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, kira-kira jam 5.41 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan terbabit terbabas di lokasi kejadian.

“Mangsa yang putus kaki kiri dari paras lutut ke bawah itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Bahagian kaki yang terputus turut ditemukan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Nor Hazamullah berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Empat lagi mangsa di dalam kenderaan itu turut cedera dan dihantar ke Hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Lelaki agresif pecahkan cermin kereta diburu

KOSMO!
SEORANG lelaki bertindak memecahkan cermin hadapan sebuah kereta di Jalan Raja Ashman Shah, Ipoh yang tular di media sosial sejak semalam.
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar di Jalan Raja Ashman Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.26 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa membunyikan hon terhadap sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil dan hampir memasuki laluannya.

“Susulan itu, berlaku insiden yang menyebabkan suspek bertindak memecahkan cermin hadapan kereta mangsa menggunakan topi keledar. Tindakan suspek yang belum dikenal pasti itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1,500,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Katanya, usaha giat dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti suspek yang dianggarkan berusia lingkungan 30 tahun dan dipercayai menunggang motosikal jenis Honda Dash berwarna biru.

“Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh sedang dianalisis bagi membantu siasatan, namun nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau mengenali suspek diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak empat tahun lemas dalam kolam resort

BERNAMA

Port Dickson: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas ditemukan lemas di kolam renang sebuah resort hotel di Jalan Pantai, Batu 4, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib berkata, pihaknya menerima aduan daripada Hospital Port Dickson pada 7.26 malam, berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang, ketika mangsa bersama tiga adik-beradiknya turun mandi di kolam renang resort berkenaan ditemani ibu mereka.

"Keluarga ini datang dari Johor ke Port Dickson dan menginap selama dua hari satu malam di sebuah apartmen persendirian, di resort hotel berkenaan.

"Mangsa disedari terjatuh ke dalam kolam oleh abangnya sebelum diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital oleh ibunya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.31 malam pada hari yang sama dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah arah kekal status quo di Negeri Sembilan

Malaysiakini 

Mahkamah Tinggi Seremban memberikan perintah injunksi sementara untuk mengekalkan status quo di tengah-tengah krisis diraja di Negeri Sembilan.

Hakim Roz Mawar Rozain memberikan injunksi sementara yang dimohon oleh dua defendan pertama, iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin.

Injunksi tersebut, yang bertujuan untuk mengekalkan status quo sehingga mahkamah dapat mendengar dan memutuskan perkara tersebut, mengenakan sekatan ke atas plaintif - empat Undang bersama-sama Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Khususnya, plaintif, sama ada bertindak sendiri atau melalui wakil, telah dihalang daripada mengadakan mesyuarat, termasuk mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hari ini, menjadikan sebarang keputusan mengenai urusannya, atau mengambil sebarang langkah yang mengganggu status quo majlis seperti yang berlaku sebelum 21 Mei.

Plaintif juga telah diperintahkan untuk tidak menggantung, melucutkan jawatan, atau mengganggu tugas Raja Norazli sebagai setiausaha DKU.

Perintah itu dikeluarkan selepas empat Undang menggantung perkhidmatan Raja Norazli pada 29 Mei, susulan dakwaan kegagalan pegawai tersebut mematuhi arahan terdahulu untuk mengadakan sidang khas pada hari tersebut bagi membincangkan pertikaian diraja negeri yang semakin buruk.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Steven Thiru, yang mewakili DKU dan Raja Norazli, berkata perintah itu masih berkuat kuasa sementara menunggu pendengaran isu bidang kuasa mahkamah dan kewajaran, serta perintah mahkamah selanjutnya.

Dua defendan pertama juga diwakili oleh David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das, dan Gurjeevan Singh.

Penasihat undang-undang negeri Muzalmah Mustapha Kamal dan Aala’uddin Baharom mewakili kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan ketiga.

Plaintif diwakili oleh Awang Armadajaya, Rhiza Ghazi, dan Asmawi Ismail.

Pada 14 Mei, Steven mempersoalkan kuasa Mahkamah Tinggi Seremban untuk mendengar kes tersebut, dengan alasan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula kerana DKU merupakan pihak berkuasa tertinggi untuk mentadbir adat Melayu di Negeri Sembilan.

Dia memetik Perkara 16(3) perlembagaan Negeri Sembilan, yang menetapkan bahawa nasihat DKU berkaitan adat Melayu di negeri ini tidak boleh dicabar di mahkamah atas apa jua alasan, termasuk mengenai penggantian atau penyingkiran mana-mana Undang.

Plaintif pada 5 Mei telah memfailkan saman pemula di mahkamah yang memohon untuk memaksa kerajaan negeri dan DKU mengeluarkan minit mesyuarat pada 17 April.

Ini berkaitan dengan sidang khas majlis tersebut, di mana keputusan dikatakan dicapai sebulat suara untuk meluluskan pemecatan Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak.

Sidang pada 17 April menjadi tumpuan kepada pertikaian diraja yang sedang berlangsung, yang menyaksikan tindakan balas Undang dengan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bulan lalu.

Awal hari ini, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar baru pada majlis ringkas di Alor Gajah, Melaka, dikatakan sebagai menggantikan Tuanku Muhriz.

Pemasyhuran itu menyebabkan krisis diraja dan politik negeri semakin meruncing, dengan bekas menteri besar Negeri Sembilan Rais Yatim mempersoalkan kesahihan pembubaran DUN.

Kerajaan Persekutuan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Muhammad Yusri Muzamir

PUCHONG: Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.

Anwar turut mohon supaya sebarang pandangan lain mengenai isu berkenaan perlu dibuat mengikut saluran sah mengikut perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Ini kerana, katanya, menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi sangat besar terhadap negara dan keamanan tanah air.

“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.

“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.

“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel yang saya fikir juga tidak menjejaskan juga imej dan identiti Raja ditabalkan di pekarangan hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti di sini, hari ini.

Tunku Nadzaruddin dimasyhur sebagai Yang di-Pertuan Besar

Malaysiakini 
story-image
Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, sebentar tadi.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh  Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.

“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya ketika pengisytiharan itu.

Pengisytiharan itu kemudiannya disambut dengan penerima Tunku Nadzaruddin.

“Bahasanya beta Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” katanya.

Majlis itu disusuli dengan bacaan doa dan laungan “daulat tuanku” oleh hadirin.

Turut hadir ahli politik veteran Rais Yatim, yang juga pengkaji adat perpatih serta bekas menteri besar Negeri Sembilan lebih 40 tahun lalu.

Hangatkan krisis pertikaian takhta

Pemasyhuran itu hari ini dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta dengan dengan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Negeri Sembilan.

April lalu, empat undang, termasuk Mubarak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz  dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baru berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.

Drama sebelum pengisytiharan

Terdahulu Malaysiakini melaporkan berlaku kekecohan di pintu utama Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini apabila dua Undang dihalang pihak polis daripada memasuki premis tersebut.

Insiden sekitar jam 9 pagi itu berlaku apabila Undang Luak Johol dan Jelebu tiba untuk menghadiri satu sidang khas bersama pemimpin adat negeri yang lain, dikatakan bagi membincangkan dan menamatkan pertikaian diraja Negeri Sembilan yang berlarutan.

Kekecohan tersebut berlangsung kira-kira 10 minit sebelum Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus, datang ke pintu utama dan bercakap dengan Amiruddien.

Syed Razman memberitahu pegawai kanan itu bahawa dia telah bercakap dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, yang dikatakan mengarahkan polis tidak menghalang undang berkenaan masuk.

Undang Luak akhirnya dibenarkan memasuki premis tersebut, namun mereka terpaksa memendekkan perjumpaan berkenaan kerana ketiadaan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar yang dinamakan sebagai “Yang di-Pertuan Besar baru”.

Sehubungan itu majlis berkenaan ditukar ke hotel berkenaan yang pada awalnya turut menyaksikan Undang Yang Empat turut dihalang mengadakan pertemuan dengan Tunku Nadzaruddin.

NS: Kecoh pembesar adat tak dibenarkan masuk ke kediaman rasmi

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
Kecoh pembesar adat tak dibenarkan masuk ke kediaman rasmi. FOTO AMIN JALIL
Kecoh pembesar adat tak dibenarkan masuk ke kediaman rasmi. FOTO AMIN JALIL
Tampin: Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadualkan berlangsung di Balai Rasmi Kediaman Tunku Besar Tampin, di sini, pagi ini kecoh apabila pembesar adat dilarang masuk ke dalam kawasan kediaman rasmi terbabit oleh pihak berkuasa.

Kekecohan itu berlaku di luar pintu masuk utama kediaman terbabit sebaik pembesar adat itu tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.

Pembesar adat terbabit ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Abd Rahim Yassin dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Turut hadir, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Pengamal media juga dilarang memasuki kawasan kediaman rasmi berkenaan.

Situasi kekecohan itu bagaimanapun reda apabila Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri tampil ke pintu utama dan mengarahkan pintu pagar dibuka.

Berikutan itu, pihak berkuasa kemudian memberi kebenaran kepada pembesar adat terbabit untuk masuk ke dalam.

Bercakap di kawasan luar pagar kediaman rasmi, Muhammed berkata, pihaknya meminta kerjasama agar dibenarkan masuk.

"Dalam pagar (dalam kawasan mesyuarat) tanggungjawab saya kalau jadi apa-apa rusuhan. Tak puas hati, panggil saya ke balai. Saya minta kerjasama jangan malukan institusi adat. Kalau majlis raja-raja tuan-tuan boleh tahan ke, sama dengan DKU (Dewan Keadilan dan Undang) ini.

"Siapa pegang kunci, buka sekarang. Saya nak masuk. Arahan saya siapa nak ikut, saya Datuk Undang tau. Kamu harus hormat Datuk Undang. Sila buka kunci, buka sekarang. Saya faham ikut arahan. Arahan siapa nak ikut," katanya.

Sementara itu, Rais melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang melarang pembesar adat memasuki dewan mesyuarat.

"Apa kesalahan kami di sini. Ini pihak diraja Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili pembesar adat berkenaan ketika ditemui di pintu pagar utama, Muhamad Khairul Azam Abd Aziz berkata, mesyuarat DKU berjalan seperti dijadualkan bermula sekitar jam 9 dan selesai 9.52 pagi dipengerusikan Maarof.

Beliau berkata, lima ahli DKU hadir kecuali Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Pengerusi DKU.

Turut tidak hadir Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Undang Luak Sungei Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Dohak.

"Mesyuarat DKU selesai jam 9.52 tadi dan media diminta menunggu kerana ada satu perkara besar akan berlaku (pada penghujung majlis)," katanya, namun beliau tidak menyatakan perkara berkenaan.

Krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan mencuri tumpuan apabila Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Hadi sahkan PAS, Umno bertemu semalam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Hadi Awang mengesahkan pertemuan PAS dan Umno malam tadi di sebalik seruan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).
Namun, presiden PAS itu sekadar menyifatkan ia sebagai ‘pertemuan biasa’.

“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Marang.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dikatakan antara individu yang menghadiri mesyuarat itu di sebuah hotel, di Kuala Lumpur.

Biro Politik Umno juga mengadakan mesyuarat semalam, dilaporkan di hotel sama.

Dua hari lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa PAS dan Umno bekerjasama pada PRN Johor, sambil menyifatkannya sebagai masa yang sesuai untuk menghidupkan semula MN yang terbubar.

Perkara tersebut dibangkit ketika PAS sedang menilai semula hubungannya dengan sekutu Perikatan Nasional (PN), Bersatu.

Sebelum ini, Hadi ada memetik beberapa isu yang mengeruhkan hubungan dua parti berkenaan, termasuk tindakan Bersatu menjatuhkan menteri besar Perlis, dakwaan campur tangan dalam pelantikan tertentu di Kedah dan Kelantan, serta penentangan Bersatu terhadap kemasukan parti Melayu-Islam baharu dalam PN.

Pakatan MN antara Umno dan PAS dirasmikan pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan, namun runtuh selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu pada tahun berikutnya.

Dakwaan cabul, rogol di bilik jenazah, kes diserah kepada Jaim

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut kes membabitkan dakwaan cabul dan rogol di bilik jenazah di sebuah masjid di negeri itu selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu pada 9.12 pagi semalam daripada seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang mendakwa menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki berusia 48 tahun.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh telah dijalankan dan mendapati dakwaan berkaitan jenayah tersebut tidak berlaku.

“Keterangan yang diperoleh menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan, sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah berkenaan,” katanya menurut Bernama.

Dzulkhairi berkata, dakwaan berhubung kejadian itu turut tular dan menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata, kes berkenaan telah diserahkan kepada Jaim untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Status Bersatu bersama PAS diketahui lusa

Malaysiakini 

Keputusan sama ada PAS akan terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya dijangka akan diketahui Isnin ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sebelum ini Majlis Syura Ulama PAS sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.

Katanya hal tersebut – serta isu lain – akan dibincangkan oleh badan tersebut lusa.

“Isnin ini insya-Allah akan bincang semua,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha mingguan di Marang, Terengganu.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan yang Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan isu hala tuju PN dan konflik dalaman gabungan itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan.

Setiausaha badan itu, Nik Zawawi Salleh, berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju PN dalam membawa agenda penyatuan ummah.

"Dalam hal ini, Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.

"Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, "selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti," katanya.

Pendirian itu diambil selepas PAS dan Bersatu saling serang menyerang dengan lebih ketara akhir-akhir ini.

Antara lain ekoran kenyataan terbuka dibuat Abdul Hadi terkait kemelut yang melanda di Perlis, serta keberadaan jentera pilihan raya Bersatu.

PANAS!!! MB NS letak jawatan, DUN bubar, Yamtuan Besar baru diumum esok?

Malaysiakini

Menteri Besar Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkuat kuasa Jumaat ini pada satu sidang media tergempar pada jam 11 malam tadi.

Terdahulu, China Press melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di istana negeri malam ini, yang dipercayai turut berkaitan dengan pembubaran tersebut.

Dua minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberitahu konvensyen Pakatan Harapan bahawa Negeri Sembilan akan membubarkan DUN jika Johor berbuat demikian.

Pengumuman malam ini dibuat menjelang satu lagi acara yang dikatakan dijadual berlangsung esok pagi.

Jemputan yang tersebar mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru berkuat kuasa serta-merta.

Empat Undang Yang Memerintah negeri itu mengumumkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar seterusnya pada April lalu, selepas timbul pertikaian berhubung penyingkiran Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.

Dipercayai majlis penabalan itu dianjurkan oleh keempat-empat Undang Yang Memerintah bersama Tengku Besar Tampin.

Tren laluan Kelana Jaya berhenti secara serta-merta, lima cedera

Bernama 
Gambar tular memaparkan serpihan kaca di sebuah tren LRT._SINAR HARIAN
Gambar tular memaparkan serpihan kaca di sebuah tren LRT._SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR: Lima penumpang tren Laluan Kelana Jaya cedera apabila tren yang dinaiki berhenti secara serta-merta setelah sistem keselamatan automatik tren diaktifkan petang tadi.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan melibatkan tren bernombor 62 ketika berada berhampiran Stesen Dang Wangi pada 6.07 petang.

Kenyataan itu menyebut insiden berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen, menyebabkan tren berhenti secara serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.

Menurut Rapid KL, pengaktifan sistem itu adalah sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera.

“Susulan pemberhentian tren secara serta-merta, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk. Impak berkenaan menyebabkan panel kaca itu pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang yang duduk berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, lima penumpang mengalami kecederaan dengan dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala tiga lagi penumpang menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Menurut Rapid KL, penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

Kenyataan itu menyebut, sebagai langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard, tren terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.

Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pengendalian insiden berkenaan, namun terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren yang terlibat dibawa keluar daripada perkhidmatan.

Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan.

“Penumpang dinasihatkan supaya sentiasa berpegang pada pemegang tangan dan berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan, khususnya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

MB Negeri Sembilan buat pengumuman khas jam 11 malam ini

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Spekulasi bertiup semakin kencang berkait krisis pentadbiran di Negeri Sembilan, termasuk mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual mengadakan pengumuman khas pada jam 11 malam ini.

Perkara itu dinyatakan dalam jemputan panggilan segera kepada semua media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, sebentar tadi.

“Panggilan segera semua media untuk satu pengumuman khas oleh Menteri Besar Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada jam 11 malam 4 Jun 2026,” menurut jemputan itu.

Inilah yang terjadi: ‘Biasa pergi kerja naik motosikal, tapi…’

KOSMO!

PETALING JAYA – “Bila kau selalunya pergi dan balik kerja naik motosikal, tapi tiba-tiba naik kereta. Campur tengah mamai dan penat balik kerja”.

Itu penjelasan seorang lelaki, yang mendedahkan sebelum ini tanpa sedar telah memasuki laluan motosikal dengan memandu kereta berhampiran sebuah plaza tol.

Menggunakan profil @Boss Sy di media sosial lelaki itu berkata, menjadi kebiasaan buat dirinya menunggang motosikal ke tempat kerja, namun pada hari kejadian dia memilih untuk memandu kereta.

“Sebelum orang lain tularkan dan salah faham, baik aku sendiri tularkan dulu,” katanya pada kapsyen video ketika kejadian berlaku.

Hantarannya itu meraih perhatian orang ramai, malah ada juga yang berkongsikan pengalaman serupa.

“Faham bang. Saya pandu balik hari tu sampai dekat rumah pengawal saya terpergi lorong motosikal Grab,” kongsi @Jranggio.

“Pernah terjadi juga. Tak apa la, hanya orang yang faham ja mengerti,” ujar @Sabhi Afiq.

“Mamai itu benar. Asbab berbelas tahun tak naik motosikal, nampak sekatan jalan raya tangan mamai duk cari tali pinggang keledar,” dedah @Ain. – KOSMO! ONLINE

Amanah nak runding dengan Bersama elak tembung kerusi dalam PRN Johor

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Amanah bercadang untuk berunding dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menghadapi PRN Johor.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, usaha rundingan itu dibuat bagi memastikan tiada pertembungan kerusi antara Bersama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kita raikan hasrat Bersama mahu tanding PRN Johor. Amanah akan usaha berunding dengan Bersama supaya tak berlaku pertembungan kerusi melibatkan banyak parti dan melihat peluang yang ada untuk bentuk kerajaan atas semangat reformasi,” katanya kepada FMT.

Faiz berkata, parti itu turut menyasarkan bertanding lebih 20 kerusi, termasuk Puteri Wangsa yang diberikan kepada Muda pada PRN lepas.

“Pimpinan PH telah dimaklumkan agar Puteri Wangsa diberikan kepada Amanah. Kerusi itu asalnya kuota Amanah pada PRN 2022, tetapi diserahkan (kepada Muda) atas semangat dapatkan sokongan kerjasama,” katanya.

Beliau menambah, proses agihan kerusi antara rakan komponen PH sudah 90% selesai, dengan hanya beberapa kerusi perlu diteliti semula supaya ia dpt dimenangi PH.

Dalam pada itu, walaupun akan dicabar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Faiz yakin PH mampu menambah jumlah kerusi di Johor pada PRN akan datang, mengambil kira sentimen rakyat yang ‘selesa dengan kerajaan pusat’.

“Mood itu akan dibawa ke peringkat negeri (dan) jadi gelombang baharu dalam PRN Johor,” katanya.

Terdahulu dilaporkan Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan bahawa Bersama akan bertanding pada PRN Johor, dengan kerusi ditandingi akan diputuskan selepas perbincangan dengan wakilnya di negeri itu.

“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi Johor, walaupun Bersama berusia kurang dari sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu,” kata mereka.

Susulan pengumuman itu, penganalisis politik meramalkan bahawa langkah itu akan ‘memakan’ undi PH dan memecahkan lagi undi Melayu, sekali gus mencetuskan persaingan sengit antara blok politik utama.

DUN Johor dibubarkan pada Isnin lepas, membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

BN sebelum itu membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022.

Pada PRN itu, PH menang 12 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

Kes kurung, rakam video bogel wanita: 3 dihukum penjara

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Tiga individu yang didakwa memeras ugut, mengurung, mencederakan wanita serta memaksa berbogel sebelum merakam video masing-masing dipenjara, denda dan sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Mereka ialah Mohamad Salehuddin Ali, 34, yang dipenjara tiga tahun dan tiga sebatan, Nur Syuhaidah Saharan, 34, pula dipenjara dua tahun enam bulan, manakala Aliza Khamis, 45, didenda RM2,000.

Mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh sabitan untuk Nur Syuhaidah, manakala Mohamad Salehuddin bermula dari tarikh ditangkap.

Mohamad Salehuddin berhadapan empat pertuduhan, Nur Syuhaidah (tiga pertuduhan), manakala Aliza (satu pertuduhan) mengaku bersalah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Nur Syuhaidah ketika ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kluang selepas air kencing positif dadah amphetamine dan methamphetamine buat kali ketiga.

Mengikut pertuduhan pertama, Aliza, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin didakwa mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana melakukan pengurungan salah ke atas wanita berusia 33 tahun.

Seksyen 340 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 342 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin pula didakwa merakam mangsa dalam keadaan bogel menggunakan telefon bimbit dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Manakala pertuduhan ketiga, Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin melakukan pemerasaan terhadap mangsa sama hingga memaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM4,200 serta telefon bimbit.

Untuk pertuduhan keempat, Mohamad Salehuddin mencederakan mangsa dengan menumbuk muka, badan, kaki, perut, dada berulang kali menggunakan tangan dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Heights, di sini, antara jam 7 hingga 11 pagi, 13 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa menerima panggilan daripada salah seorang tertuduh dan memintanya datang ke rumah.

Sebaik tiba di rumah, tertuduh mengunci pintu menggunakan mangga yang menyebabkan mangsa tidak dapat keluar. Tidak kemudian, tertuduh lelaki bersama dua rakan sejenayah yang masih bebas memasuki rumah terbabit.

Tertuduh kemudian memukul mangsa dengan tangan dan pada masa sama, wanita terbabit dibawa ke sebuah lagi rumah sebelum dikurung dalam bilik.

Ketika itu, mangsa diminta menanggalkan pakaian dan tertuduh mengambil telefon bimbit lalu merakamnya. Selepas kejadian itu, mangsa dilepaskan dan segera ke balai polis untuk membuat laporan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nelayan dijel 3 bulan ugut cincang ibu saudara

AMRAN ALI
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.- Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!
MELAKA – Perbuatan seorang nelayan mengugut untuk mencincang ibu saudaranya kerana berang ditegur terbabit dalam penyalahgunaan dadah membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Yusri Yahaya, 57, yang mengaku sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menakutkan secara jenayah kepada ibu saudaranya, Alimah Salleh, 73, dengan ugutan mahu mencincang dengan cara membunuhnya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di Batu 9 Pantai Kundur, Tanjung Kling di sini pada 4 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dikatakan tidak berpuas hati ditegur oleh ibu saudaranya kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Tertuduh kemudian datang ke rumah warga emas itu dengan membawa sebatang besi serta mengugut untuk mencincang dan membunuhnya.-KOSMO! ONLINE

PRN Johor: Umno di Johor

Mohsin Abdullah

Ada pemerhati juga penganalisis politik berpendapat dalam situasi BN lawan PH lawan PN lawan Bersama – yang untung PN.

Pada 16 Mei lalu, apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungannya bertekad tanding solo di semua 59 kerusi DUN pada PRN akan datang, persoalan yang bermain di minda saya ialah “Umno Johor ni kuat ke”?

Bila cakap pasal BN, khususnya sejak kebelakangan ini, kita merujuk kepada Umno. Ia yang dominan dalam gabungan itu. Lain komponen lesu.

Sesungguhnya diakui saya tidak mengikut perkembangan politik di Johor untuk sekian lama. Lantas timbul persoalan yang disebut tadi. Maka persoalan itu saya bawa kepada beberapa pemerhati dan penganalisis politik pada hari sama Onn buat pengumuman nak tanding solo.

“Secara asas Johor masih kubu Umno,” kata seorang pemerhati politik. Jawapan agak berbeza saya dapat daripada Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre.


“Tak cukup kuat, tapi akan jadi sangat taktikal nanti. Maybe mereka dah calculate DUN by DUN then decide untuk go solo,” itu pandangan beliau.

Dan ini pula jawapan penganalisis Sivamurugan Pandian. Kata beliau “They are strong if Johor state is not with Melaka and NS elections”.

Semua jawapan menarik, tetapi saya tidak minta huraian. Cuma apabila Onn pada 2 Jun lalu umum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuasa kuasa serta-merta, saya rasa perlu meminta penjelasan lanjut Yusri dan Siva.

“BN maybe stronger if Johor goes to the polls separately from Melaka and Negeri Sembilan. It allows the party to focus its full machinery, resources and leadership attention on one state,” menurut Siva.

Ada benarnya kata-kata Siva. Saya teringat zaman BN memerintah negara suatu ketika dahulu. Apabila ada PRK, ia akan menumpukan perhatian terhadap pilihan raya itu. Pembangkang yang bertanding pada PRK itu akan merasai “the full might of the BN machinery dan juga the full blast of the BN leadership onslaught”.

Sering BN menang PRK. Saya tak pasti sama ada PRN diadakan berasingan dengan PRU zaman pemerintahan BN. Oh di Sabah dan Sarawak ada.

Apa pun, dalam kes PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi , jika BN merasa ia boleh tumpu sepenuh perhatian terhadap Johor, begitu juga Pakatan Harapan (PH). Malah Perikatan Nasional (PN) juga, kedua-dua gabungan itu “will also not be distracted by other elections”.

Ketika saya menulis artikel ini, spekulasi bertiup kencang DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan untuk membuka laluan kepada PRN. Diberitakan semalam, Menteri Besar, Aminuddin Harun mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan lebih satu jam. Satu sidang media menteri besar pula dijadualkan kemudian, tetapi dibatalkan.

Sehingga kini, tiada perkembangan. Malah, Aminuddin menolak semua spekulasi.

Berdasarkan itu “as it is PRN Johor will stand on its own”. Berbalik kepada persoalan Umno kuat di negeri itu ke? Yusri menghurai apa yang beliau kata tempoh hari.

Begini katanya. Pada PRN 2022, BN memang disebabkan:

1) Faktor Najib Razak (secara jujur, saya pelik ini boleh jadi faktor kemenangan BN, tetapi begitulah realitinya)
2) Turnout rendah (ertinya jumlah orang keluar mengundi keseluruhannya rendah)
3) Turnout pengundi Cina rendah (maksunya pengundi Cina yang dikatakan ramai pengundi PH tidak keluar mengundi atas beberapa sebab. Tak perlu diulang hurai)

Menurut Yusri, PRU15 pada 2022, BN hanya menang sembilan kerusi dengan mengumpul sekitar 32 undi popular sahaja dan “jika merujuk prestasi terakhir kerusi Parlimen pada PRU15, BN/Umno tidak selesa sebenarnya”.

Ringkasnya, Umno tidak boleh terlalu yakin kali ini. Tetapi, apa yang mendorong BN begitu berani nak tanding solo di semua kerusi DUN? Bak kata P Ramlee: “Tunjuk lawa konon”.

Kata Yusri, BN/Umno berani ambil risiko barangkali dengan beberapa pertimbangan seperti: “Awalkan PRN, asingkan daripada pilihan raya lain, mungkin mereka jangka BN akan dapat sedikit kelebihan dengan semangat Bangsa Johor, pengundi bukan Melayu kurang keluar mengundi dan sebagainya”.

Tetapi, sama ada pilihan raya diadakan atau tidak di negeri lain, “is beyond their control”. Dan mengenai pengundi Cina tidak keluar mengundi, adakah itu akan berulang kali ini atau mungkinkah PH akan cuba memastikan penyokong mereka pergi ke “voting stations this time around”?

Yusri berkata, oleh kerana PN sekarang bermasalah, Umno harap akan berlaku sedikit sebanyak “swing votes” daripada PN kepada mereka. Soal PN kita cerita sebentar lagi.

“Walaupun mungkin tewas undi popular, BN/Umno akan cuba kutip jumlah kerusi secukupnya untuk bentuk kerajaan di kerusi-kerusi Melayu yang mereka target, ambil kesempatan sistem ‘First Past The Post’.”

Bercakap pasal kerusi Melayu, jelaslah Umno akan berebut dengan PN. Dua-dua mengaku parti Melayu Islam tulen.

Kata pemerhati politik yang saya sebut pada awal penulisan ini tadi, pada PRN lalu, situasi ketika itu yakni ada undi protes terhadap Umno dan penyokong PH tidak keluar mengundi memberi sedikit kelebihan kepada PN – tetapi masih tidak cukup untuk kalahkan Umno.

“PN punya sedikit kelebihan pada undi anak muda dalam kalangan Gen Z, tetapi lebih kepada sentimen dan persepsi bukan prestasi. Cuma PAS tak berapa kuat di Johor,” kata beliau.

Jika PAS “tak berapa kuat” di Johor, adakah Bersatu lebih kuat? Orang Johor rela Bersatu yang bersongkok berbanding PAS yang bersarban?

Tetapi, persoalan besar adakah PN akan menyajikan calon PAS dan Bersatu? Atau mengambil kira masalah mereka dewasa ini – PAS go solo, Bersatu go solo?

Oh hampir terlupa Bersama. Siva dan Yusri berpendapat, parti itu wajar bersama-sama memeriahkan pesta demokrasi di Johor. Boleh beri impak tak?

“I think so, if the narrative is right to attract young voters, although Muda managed only one from seven seats they contested in the last PRN. Even if Bersama can win one or two seats is sufficient I think,” menurut Siva.

Dan Bersama sudah pun mengesahkan bertanding PRN Johor. Ada pemerhati berpendapat, Bersama sertai PRN Johor untuk “test market”.

Ada pemerhati juga penganalisis politik pula berpendapat dalam situasi BN lawan PH lawan PN lawan Bersama – yang untung PN. Jika begitu keadaannya, itu bukan “test market” – itu kacau daun namanya.

Bagaimanapun, jika equation di atas membabitkan Bersatu joining in the fray on its own, kesimpulannya kelam-kabut. Belum keputusan lagi.

Ramai juga kata apa yang berlaku di Johor mencerminkan apa yang akan berlaku pada PRU16? Betul ke?

Menjelang PRN Johor: Adun Endau keluar Bersatu, kembali kepada Umno

FMT Reporters

Alwiyah Talib yang juga ketua Bersatu Mersing berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri, tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Alwiyah Talib
Alwiyah Talib pertama kali menang kerusi DUN Endau pada PRU14 bersama Umno, sebelum meninggalkan parti itu pada Mei 2018 dan menyertai Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ketua Bersatu Mersing Alwiyah Talib, yang juga Adun Endau, mengumumkan keluar parti dan kembali menyertai Umno.

Beliau berkata, keputusan itu, yang turut melibatkan peletakan semua jawatannya dalam parti, dibuat atas kehendak sendiri tanpa pengaruh mana-mana pihak.

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan DUN diwakilinya, tambahnya.

“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama Umno,” katanya dalam sidang akhbar di Mersing hari ini.

Sekalipun meninggalkan Bersatu, pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada pengundi DUN Endau tidak akan berubah, tegasnya.

“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.

Beliau berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan demi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.

Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional bersama Umno

Bagaimanapun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa Adun Johor lain meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru.

Alwiyah kemudian dilantik sebagai ketua Bersatu Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu.