HUSIN MAHAT
Muafakat yang dicapai di antara tokoh, wadah dan kecenderungan yang berbeza dalam Pakatan Harapan (PH) mengejutkan pemerhati politik.
Oleh itu para pemimpin PH digesa memperkukuhkan pemuafakatan dengan menghindari kenyataan melampau dan terlanjur yang boleh menjejaskan maufakat yang dibina.
Ini penting bagi memastikan usaha melakukan perubahan politik negara tidak terjejas demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.
Dalam satu kenyataan semalam, penasihat umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prinsip luhur permuafakatan PH terus dipertahankan manakala permasalahan lain yang tidak mendesak dirungkai melalui mesyuwarah.
“Pakatan Harapan telah mula bertapak dengan meyakinkan, dan terbukti mampu menggembleng semua kekuatan lama dan baru.
“Malah ia telah mengejutkan pemerhati politik yang curiga akan kemungkinan tercapainya muafakat di kalangan tokoh, wadah dan kecenderungan yang berbeda,” katanya.
Kesemua ini, katanya berlaku kerana tumpuan utama parti-parti komponen PH adalah menyelamatkan negara dari kebobrokan akibat keangkuhan kuasa, merebaknya rasuah dan kronisme, serta pembolotan dan ketamakan kleptokrasi.
Apa yang tambah meruncing, ujar beliau adalah mekarnya aliran perkauman melampau dan kefanatikan agama yang mengenepikan asas risalah Islam yang menjadi rahmat bagi sekelian alam.
“Saya gesa semangat permuafakatan segera dipahat dalam wadah Pakatan Harapan dengan mengenepikan kenyataan melampau dan terlanjur.
“Prinsip luhur inilah yang yang perlu didahulukan, manakala permasalahan lain yang tidak asasi atau mendesak dirungkai secara musyawarah,” katanya.
PH, jelas mantan timbalan perdana menteri itu memang bertunjangkan empat parti namun kekuatannya adalah suara rakyat terbanyak.
Beliau turut menyeru PH mengekalkan tradisi berunding dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan