"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khairuddin dedah punca PAS gugurkan dia

Ahli Parlimen Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman percaya pendekatannya yang “mesra” dengan kerajaan Selangor selain tidak setuju dengan pendekatan tiga penjuru antara sebab beliau digugurkan daripada jawatankuasa PAS Selangor baru-baru ini.
“Tidak dinafikan, saya mesra dengan kepimpinan kerajaan Selangor kerana exco kita pun ada di sana (dalam pentadbiran).

“Saya cuma berpendirian di mana kerajaan Selangor yang ada hari ini perlu dipertahankan, jika tidak kita akan serah Selangor kepada Umno jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Bukankah ini mandat yang rakyat beri kepada kita pada penggal PRU 2008 dan 2013, malah menteri besar Selangor serta exco-exco PAS kita, telah pun membuktikan Selangor sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan lebih berbanding negeri-negeri yang lain,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Khairuddin juga mengesahkan penyingkirannya telah dibuat secara rasmi "dua bulan" lalu.

“Perkara ini (digugurkan) dah dua bulan lepas, saya pun pelik isu ini jadi hangat sejak dua tiga hari lalu, namun saya masih bersama PAS.

"Soal sama ada khidmat dan peranan saya masih diperlukan atau tidak, itu terserah kepada pimpinan PAS Selangor untuk tentukan,” katanya.

Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan Khairuddin telah digugurkan daripada jawatankuasa perhubungan PAS Selangor sejak dua bulan lalu, selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan beliau dilantik.

Khairuddin pernah menjadi setiausaha PAS Selangor. Ini kali pertama beliau dilantik sebagai seorang ADUN.

PAS memenangi 15 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2013 tetapi dua daripada ADUN parti itu kemudiannya menyertai AMANAH setelah tidak sehaluan dengan kepimpinan pusat.

Parti itu mempunyai tiga daripada sepuluh kerusi exco dalam kerajaan negeri yang diterajui oleh timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Secara rasmi, PAS telah memutuskan hubungan dengan PKR tetapi kedua-dua parti terus bekerjasama di Selangor dengan alasan mereka diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir.

Walau bagaimanapun, PAS telah berulang kali menyatakan bahawa mereka akan meletakkan calon-calon daripada kedua-dua Pakatan Harapan dan BN di Selangor semasa pilihan raya umum akan datang.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: