"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Mungkin hanya saya orang PAS yang masih sayang Mahfuz' - Subky Latif

Bekas wartawan veteran disegani Subky Latif merasakan mungkin hanya beliau di kalangan anggota PAS kini yang masih sayang pada Datuk Mahfuz Omar, susulan tindakan anggota parlimen Pokok Sena itu yang dilihat bercanggah dengan kepimpinan dan akhirnya keluar daripada parti minggu lalu.

Namun, kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu lagi, sayangnya terhadap PAS melebihi sayangnya terhadap Mahfuz yang menganggotai parti itu sejak 1984.

"Orang PAS yang sayang pada Mahfuz dari dulu memang ramai. Tapi mungkin yang sayang padanya lagi saya saja. Tapi sayangkan PAS lebih daripada sayang Mahfuz.

"Dia (Mahfuz) pun sayangkan PAS...Jika sayangkan PAS (kemudian) tinggal-tinggalkan (parti), maka jadilah ia sayang yang tidak difahami," katanya dalam tulisan terbarunya di Harakahdaily hari ini.

Mahfuz (gambar) akhirnya keluar PAS secara rasmi pada 31 Disember lalu, selepas sekian lama dilihat sering mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan kepimpinan PAS, antaranya berhubung soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dua tahun kebelakangan.
Mungkin kerana pertentangan itu, kebanyakan pemimpin PAS tidak terkejut dengan langkahnya. Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang misalnya menganggap Mahfuz sebagai "ibarat orang dah lama mati (tetapi) baru ditanam".

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyifatkan Mahfuz sebagai 'harumanis' - jolokan kepada anggota PAS yang cenderung kepada Pakatan Harapan dan AMANAH - yang telah "busuk".

Sebelum Mahfuz, seorang lagi pemimpin PAS Kedah iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah menyertai BERSATU pada 27 November lalu.

Namun, berbeza dengan pemimpin lain yang segera mengecam Mahfuz susulan tindakannya keluar parti, tulisan Subky membayangkan yang beliau masih menghormati Mahfuz, walaupun tetap dalam nada mengkritik.

Antaranya berhubung apa yang disifatkannya sebagai usaha Mahfuz untuk membolehkan PAS kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang, selepas pembubaran Pakatan Rakyat dan tewasnya kumpulan profesional dalam muktamar pemilihan 2015.
"Mahfuz isytihar cuti daripada PAS untuk berfikir dan cari jalan supaya PAS kembali ke pangkuan Pakatan.

"Tetapi dia tidak bertemu dan berbincang dengan PAS (tetapi dengan HARAPAN). Dia seru PAS dari jauh sama seperti PAS seru Umno dari jauh supaya masuk PAS," katanya.

Tetapi dalam tempoh itu, katanya lagi, Mahfuz kelihatan lebih kritis terhadap PAS berbanding pembangkang lain seperti Pengerusi BERSATU Tun Mahathir Mohamad, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Lebih dua tahun dia memerah otak...Lebih dua tahun memikir sehingga PAS tidak memikirkan dia tidak bersama PAS lagi.

"Dia bukan lagi berfikir panjang, tetapi lambat membuat keputusan," katanya lagi.

Bagaimana mahu kembali?

Subky berkata, Mahfuz adalah tokoh PAS yang terakhir akan berbuat demikian susulan perpecahan dalaman pda 2015 yang membawa kepada penubuhan AMANAH.

Justeru, katanya lagi, soal pemimpin keluar parti baginya sudah tidak penting sekarang berbanding usaha untuk membolehkan mereka kembali.

"Perhatian sekarang bukan lagi yang hendak keluar, tetapi bagaimana dan bila yang keluar itu hendak masuk balik.

"Ini ramai yang tidak fikir, tetapi inilah yang saya fikir. (Terutama) apabila saya terima untuk menjadi pengerusi 'sidang Assabiqun', wadah orang lama PAS yang baru diwujudkan," katanya tanpa menyatakan dengan lebih lanjut tentangnya.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: