"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 mantan Ketua Pemuda Pas Malaysia sudah keluar parti

AMNI JAGAT
Dalam kenyataan media Dato’ Mahfuz Omar semalam telah membawa kepada genapnya empat bekas Ketua Pemuda Pas bertindak untuk meninggalkan parti yang mereka paut sebelum ini. Perkara itu berlangsung sekitar tiga tahun kebelakangan ini yang mana ia tanpa disedari telah mencipta suatu polemik bahawa permasalahan di dalam Pas dilihat ketara rekahnya.

Senarai empat bekas Ketua Pemuda PAS itu adalah, Haji Mohamad Sabu (Pemangku 1995-1996), Haji Salahuddin Ayub (2003-2009), Suhaizan Kaiat (2013-2015) dan yang terbaru Dato Haji Mahfuz Omar (1999-2003).

Hakikatnya, kesemua pemimpin pemuda ini adalah pelopor yang mewujudkan generasi di zaman mereka (sekitar 1995 – 2015) dan ini telah membuktikan bahawa Pas hari ini adalah sebuah parti yang dilihat sebagai parti ketandusan pemimpin yang membawa suara pemuda di zaman kebangkitan parti itu.

Apa yang menjadi persoalan, perkara ini adalah sebuah tamparan yang hebat kepada kepimpinan parti Pas hari ini yang ditunjangi oleh Dato Seri’ Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS. Tamparan yang dimaksudkan adalah berkenaan dengan tadbir urus parti yang dipandu beliau boleh dikatakan sebagai pincang dengan berlaku insiden seperti keluarnya mereka yang sebelum ini adalah pemimpin utama anak muda di dalam Pas.

Sememangnya, strategi yang cuba digarap oleh Pas hari ini dilihat seperti tidak berjaya memenangi hati ahlinya apatah lagi hati rakyat. Justeru dari apa yang berlaku ini, ia telah membuktikan bahawa Pas seperti hilang arah dalam membentuk konsep mempertahankan ahli dan perkara ini telah menjadi bukti bahawa PAS sekian hari telah didatangi dengan bayangan pemberontakkan dari ahli mereka sendiri.

Dalam hal ini, Pas perlu muhasabah dalam menilai pencapaian matlamat yang dikejar. Hari ini dapatlah dikonsepkan bahawa cita-cita Pas untuk menjadi ‘king maker’ semakin tipis apabila siri perletakkan jawatan serta keluar ahli mereka dari parti itu telah membataskan segala impian tersebut.

Justeru, apa yang boleh disimpulkan pada hari ini, Pas hanyalah sebuah parti yang akan menjadi pengacau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan membawa pertembungan dua kumpulan dari Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan. Kenapa ianya sebagai pengacau? Jawapannya, kerana Pas sendiri tidak ada strategi yang yakin terhadap rakyat.

Jika benar-benar Pas mempunyai strategi yang mantap sudah tentu dan pastinya ahli Pas atau pimpinan mereka tidak mengambil tindakan untuk keluar parti. Abdul Hadi perlu melihat akan perkara ini sebagai suatu yang utama.

Jangan hanya mengira hari untuk berhadapan dengan PRU sahaja, malah beliau perlu mengira sama ada Pas akan menjadi pengacau yang akan membantu memenangkan Barisan Nasional akibat dari undi yang terpecah.

Dari peristiwa yang membabitkan empat bekas Ketua Pemuda Pas ini bolehlah digambarkan sebagai Pas sudah semakin tidak relevan untuk memimpin negara kerana generasi penyambung kepimpinan telah pun disingkirkan. Apakah tindakan Pas hari ini mengikut adab Islam atau konsep Islam? Tepuk dada tanyalah iman dan akal bukan ketaksuban.

Tiada ulasan: