"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

1 nama 1 tarikh lahir di macam-macam negeri - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan kewujudan banyak nama pengundi yang mencurigakan dalam senarai pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berucap di depan hampir 200 orang perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam hari ini, Dr Mahathir berkata persamaan itu dirasakan aneh kerana mempunyai banyak persamaan.

Membacakan nama-nama itu dari senarai yang ada padanya bekas perdana menteri berkenaan berkata, antara nama paling popular dan mempunyai persamaan ialah Fatimah Ismal yang ada 206 orang di Kedah, 210 di Kelantan, 104 di Pahang dan 360 di Terengganu.

“Selain itu nama Ismail Abdullah, Ismail Ahmad, disemua ada negeri ada nama yang sama.

"Ada 804 Ismail Ibrahim, 763 Fatimah Abdullah, 670 Abdullah Ismail, 654 Ismail Ahmad, 608 Ismail Abdulah, 521 Ismail Awang," katanya disambut dengan ketawa perwakilan serta pemerhati persidangan kali pertama BERSATU itu.

Ditubuhkan Ogos tahun lalu BERSATU mengadakan perhimpunan tahunannya hari ini ketika parti berkenaan berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya jika gagal membuat mesyuarat agung.

BERSATU ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Sekarang sudah padam

Kata Dr Mahathir senarai itu juga mencurigakan kerana senarai yang disebutkannya itu bukan saja mempunyai persamaan pada nama, malah pada hari lahir.

“Nama sama, lahir pada hari yang sama, tetapi (ada) di macam-macam negeri,” katanya yang mengundang sorakan “Tolak SPR!” daripada perwakilan yang hadir.

Turut kedengaran, suara perwakilan riuh-rendah berteriak “SPR tipu", “Tolak Najib, Rosmah” dan “Hidup Tun”.

Untuk rekod isu senarai pengundi yang meragukan bukanlah sesuatu yang baru. Malah ia pernah dibangkitkan parti pembangkang ketika Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri.

Untuk rekod salah seorang pegawai kanan SPR pada zaman Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, kini menjadi naib presiden BERSATU.

Abdul Rashid pernah menjadi setiausaha SPR sebelum jawatannya dinaikkan menjadi pengerusi badan pengendali pilihan raya Malaysia itu.

Selepas membuat dakwaan itu Dr Mahathir bagaimanapun berkata senarai tersebut telah dipadam kerana SPR mengetahui mereka "menipu rakyat".

“Sekarang dah dipadam, nama dipadam, alamat dipadam. Kenapa dipadam? Kerana saya tahu dia (SPR) dah tipu.

“Saya perlu dedahkan ini kerana saya ingin tanya kepada SPR mengenai perkara ini,” katanya.

Satu rumah kongsi 15 orang

Dr Mahathir turut mendedahkan beberapa hal pelik turut ditemui antaranya pada satu rumah terdapat terlalu ramai pengundi dan berbilang bangsa pula.

“Dalam satu rumah terdapat tiga bangsa, rumah tak ada langsung pun ada, ada nama yang sama cuma kad pengenalan lain sikit.

“Di Negeri Sembilan - di Nilai - satu rumah ada 15 orang. Di Nilai juga ada dua Melayu, 13 India, satu Cina duduk satu rumah," katanya sambil membacakan alamat kediaman di Taman Kenangan.

Katanya di 'rumah' itu ia didiami 12 orang pengundi Melayu bersama 12 India.

"Dalam sebuah rumah di No 8 Jalan Wangsa semuanya 14 orang di sebuah rumah, iaitu 12 Melayu dan dua India,” katanya yang menyebabkan perwakilan riuh rendah bersorak.

Persidangan hari ini turut dihadiri pemimpin kanan Pakatan Harapan, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
-malaysiakini

Tiada ulasan: