PRU14 | Laporan polis dibuat mengenai sebuah video berbahasa Cina yang menampilkan elemen ritual keagamaan 'membuang sial' yang menjampi dan menyumpah enam pemimpin BN bukan Islam, lapor media tempatan.
Beberapa ketua cawangan parti MCA di Kuantan membuat laporan polis bersama mengenai video itu semalam, petik The Star.
Enam orang pemimpin BN yang dikatakan di dalam video itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalan presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, ketua pemuda Datuk Chong Sin Woon, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, naib presidennya Datuk Dominic Lau dan Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.
Dalam laporan polis tersebut, mereka meminta pihak polis menyiasat video berkenaan di bawah Akta Antiberita Tidak Benar dan undang-undang lain yang berkaitan.
"Kami juga bimbang tentang keselamatan para pemimpin yang disebut dalam video itu, kerana mereka telah diancam," jelas wakil MCA, Foo Kok How, seperti dipetik The Star.
Enam pemimpin yang dinamakan dalam video itu merupakan calon pilihan raya umum 9 Mei ini.
Dalam klip video yang berjudul "Rakyat Mengadu" itu, kata-kata kutukan dan sumpah seranah digunakan dalam ritual yang diberi nama da xiao ren itu.
Video itu memaparkan seorang lelaki yang mengetuai bacaan 'mentera' dan membakar colok 'sembahyang Cina'.
'Mentera sumpahan rasuah'
Berikut antara terjemahan bahasa Melayu, 'mentera sumpahan' yang disertakan dalam video itu:
"Pukullah pegawai rasuah, tangan patah dan kaki patah.
"Pukullah pegawai rasuah keluar dilanggar kereta.
"Pukullah pegawai rasuah awaklah bastard."
Ritual tersebut melibatkan peserta memukul kertas lukisan manusia dengan kasut atau selipar.
Da xiao ren adalah ritual kepercayaan Tao untuk "membuang sial" dan menyumpah orang jahat yang menghalang kejayaan kehidupan atau pekerjaan seseorang.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan