"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Omar 'laris'' di Lembah Klang

Nik Omar bawa pencerahan buat pengundi 'tak pasti'
Zulaikha Zulkifli

PRU14 | Nik Omar Nik Abdul Aziz kini menjadi sebutan ramai ekoran keputusannya menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menggantikan wakil PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Anak kedua bekas mursyidul am PAS itu selama ini ialah anggota parti berkenaan - sehinggalah dia dipecat serta-merta apabila bertanding di atas tiket Parti Amanah Negara (AMANAH).

AMANAH ialah satu daripada seteru ketat PAS ketika ini.

Sejak menjadi calon, Nik Omar 53, bukan sahaja berada di sekitar Chempaka, Kelantan untuk berkempen tetapi turut berziarah ratusan kilometer dari rumahnya.

Nik Omar juga 'laris'' di Lembah Klang.

Untuk hari ini sahaja, Nik Omar akan menghadiri dua program iaitu di Shah Alam dan Putrajaya.

Bagi penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi, beliau berpendapat kehadiran Nik Omar di Lembah Klang akan memberi kesan terutamanya kepada pengundi atas pagar atau golongan pertengahan serta pengundi PAS yang masih 'tidak pasti'.

Tidak kepada pengundi tegar

Bagaimanapun, jelas Awang Azman, kemunculan secara tiba-tiba Nik Omar ini tidak akan memberi impak kepada penyokong tegar PAS.

"Bila Nik Omar sertai AMANAH, ia memberi gelombang kedua pada PAS dan impaknya di Lembah Klang ia akan meningkatkan undi AMANAH atau HARAPAN.

"Dia juga mungkin akan berjaya tingkatkan sokongan daripada golongan PAS yang tak pasti dan yang keliru nak sokong PAS atau AMANAH.

"Namun benda ini (kehadiran Nik Omar) memang tak akan beri kesan pada penyokong tegar PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Awang Azman lagi, berdasarkan kaji selidik yang dilakukannya sebelum ini, golongan 'tidak pasti' atau pertengahan di Lembah Klang sekitar 35 hingga 40 peratus.

"Berdasarkan kaji selidik panel penyelidik Universiti Malaya (UM), golongan ini sekitar 35 hingga 40 peratus.

"Dan dengan kehadiran Nik Omar bersama pimpinan HARAPAN akan memberi nilai lebih tinggi kepada golongan berkenaan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar pula menjelaskan, kehadiran Nik Omar di Lembah Klang merupakan tanggungjawabnya sebagai anggota parti untuk membantu HARAPAN mendapat sokongan yang lebih besar.

"Kita tidak mempergunakan dia. Saya fikir Nik Omar melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai ahli AMANAH untuk membantu HARAPAN mendapat sokongan yang lebih besar," katanya.

Perkara sama turut dikongsi Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad yang menganggap kehadiran Nik Omar di Lembah Klang akan dapat membantu menambah sokongan Melayu pada HARAPAN.

"Kita harapkan dia mampu menarik ahli PAS dan penyokong PAS yang masih lagi keliru dengan berjuangan AMANAH, yang menganggap AMANAH ni anti-Islam, musuh Islam.

"Dia mempunyai perwatakan sama seperti Tok Guru Nik Aziz, tawaduknya, kesabarannya, ilmunya, penghayatan ilmunya," katanya merujuk kepada pemimpin PAS yang sangat popular di negara ini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Khalid jika Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menarik undi penyokong Umno, Nik Omar pula diharap mampu menambat hati segmen lain dalam kalangan pengundi.

Untuk rekod seorang lagi anak Nik Abdul Aziz turu bertanding dalam PRU kali ini. Cuma berbeza daripada Nik Omar, PRU ke-14 pada minggu depan bukanlah pengalaman pertamanya.

Lima tahun lalu Nik Abduh, 48, sudah menyertai PRU dan memenangi kerusi parlimen Pasir Mas. Kali ini dia menjadi pertaruhan PAS sekali lagi, tetapi di kerusi Bachok.

Jadual abang Nik Abduh itu di Lembah Klang memang padat.

Nik Omar dijangka akan kembali berkempen di Kelantan pada Isnin depan.

Tiada ulasan: