"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pencuri tabung masjid pura-pura baca al-Quran

IPOH: Seorang lelaki warga Kemboja yang berpura-pura membaca al-Quran bagi mengaburi mata jemaah sebelum mencuri wang dalam tabung sebuah masjid di Bandar Meru Raya, di sini, ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata suspek berusia 31 tahun itu tidak menyedari perbuatannya di Masjid Al-Ansar, Hala Meru Impian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam masjid berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira 4.05 pagi memaklumkan nampak suspek sedang mencuri wang tabung masjid melalui pengawasan CCTV.

“Semasa anggota polis tiba di masjid tersebut, suspek dilihat duduk bersebelahan tabung masjid sambil membaca al-Quran di kawasan kaki lima masjid berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui wang tunai RM160, selain 4 utas tali kabel dengan pelekat di hujungnya, dipercayai digunakan untuk mencuri wang dari tabung masjid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ali berkata, suspek mengaku mencuri wang tabung masjid itu sebelum dibawa ke Balai Polis Jelapang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: