"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Amar anggap sahabat Nabi bunuh bapa, adalah fitnah, kata Wan Ji

ARIF ATAN 
Mohd Amar anggap sahabat Nabi bunuh bapa, adalah fitnah, kata Wan Ji
Pendakwah Wan Ji Wan Hussin berpendapat Naib Presiden Pas yang juga calon Dun Panchor, Mohd Amar Nik Abdullah memfitnah Saidina Abu Bakar Al-Siddiq dengan mendakwa sahabat Rasullullah itu membunuh bapanya.

Beliau menyifatkan fitnah Mohd Amar itu menambah senarai pemimpin Pas yang terkenal membawa hadis palsu seperti calon Dun Kota Anggerik, Selangor Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dan calon Dun Penanti, Pulau Pinang Ustaz Fawwaz Mad Jan.

Kelmarin, Mohd Amar ketika berucap selepas dari penamaan calon dipetik berkata, “Saidina Abu Bakar (al-Siddiq) bunuh ayah dia sendiri, (iaitu) dalam peperangan Badar.”

Mengulas dakwaan itu, Wan Ji menerangkan dalam sirah Islam, bapa Abu Bakar al-Siddiq bernama Osman bin ‘Amir al-Taimi, yang lebih dikenali dengan panggilan Abu Qahafa.

“Menurut Al-Hakim al-Naisabiru, diriwayatkan dalam kitab Al-Mustadrak bahawa Abu Qahafa memeluk Islam pada tahun pembukaan Kota Mekah.

“Malahan, dalam kajian sejarah membuktikan bahawa Abu Qahafa meninggal dunia pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab ketika berumur 97 tahun.

“Jelas, dakwaan pemimpin tertinggi Pas itu terdapat dua fitnah kepada Sahabat besar itu; iaitu (a) fitnah mengatakan Abu Bakar Al-Siddiq bunuh bapanya, dan (b) mendakwa bapanya dibunuh dalam peperangan Badar,” jelasnya.
Nik Amar Nik Abdullah ketika berucap selepas menamaan calon pada Sabtu lalu.
Wan Ji yang juga Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dipetik berkata demikian dalam artikel bertajuk, ‘Nik Amar fitnah Saidina Abu Bakar bunuh bapanya’ di blog Khabar Siyasah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kesalahan fakta yang melahirkan imej buruk pada sahabat Nabi itu tidak boleh dimaafkan kecuali pemimpin Pas berkenaan menarik balik maklumat tersebut secara terbuka.

Pada masa sama, petikan rakaman ucapan Mohd Amar berdurasi dua minit yang dimuatkan di Facebook miliknya, ‘Dato’ Nik Amar’ tular apabila mengundang kritikan masyarakat Islam tetapi dipersetujui penyokong taksub Pas.

Rata-rata menganggap perbandingan Timbalan Menteri Besar Kelantan tentang usaha menentang parti lain dengan kesanggupan membunuh keluarga sendiri itu sebagai analogi yang berbahaya.

Lebih ekstrem apabila ‘amanat’ Mohd Amar itu dilihat merujuk kepada tindakan anak kedua kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar yang bertanding menentang Pas.

Nik Omar yang menyertai AMANAH dan menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dun Chempaka (N06) di Kelantan akan berdepan dengan calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood dan Fareez Noor Amran dari BN.

“Walaupun yang bertanding melawan kita ini keluarga Tok Guru kita tetap sokongan kita pada perjuangan Islam.

“Kita tidak hirau siapa dia pun. Jangan fikir dia anak Tok Guru, keluarga Tok Guru menyebabkan kita jadi was-was. Kita ni terima keluarga ialah bila duduk dengan perjuangan Islam.

“Kalau Rasulullah SAW dalam perang Badar, perang dengan pak saudara dia, perang dengan sepupu dia, Saidina Abu Bakar bunuh ayah dia sendiri dalam peperangan Badar, maka kita pun kena ambil pendirian itu,” kata Mohd Amar.

Selepas menerima kecaman banyak pihak, Mohd Amar kemudiannya meminta maaf atas apa yang dianggapnya sebagai “kesilapan fakta yang tidak sengaja tentang Abu Bakar membunuh bapanya.”

“Mengikut riwayat sahabat yang membunuh ayahnya ialah Abu Ubaidah. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang cakna tentang isu ini. Semoga Allah merahmati kita,” katanya di Facebook semalam.

Walau bagaimanapun, kenyataanya itu turut mengundang reaksi yang rata-ratanya mengkritiknya lagi kerana riwayat yang dipetiknya itu dikatakan sebagai lemah.

Sejak Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015, ramai pemimpin Pas yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi yang memainkan sentimen agama selain berbau takfiri.

Tiada ulasan: