PRU14 | Calon DAP bagi parlimen Bakri Yeo Bee Yin berterima kasih kepada seorang penyokong yang menderma RM500 pada program ceramah di Parit Sakai, Muar semalam.
Menurut Yeo Bee Yin, penyokong berkenaan merupakan lelaki Melayu berkopiah yang memakai baju Melayu hijau dan berselipar.
Lelaki berkenaan, kata Yeo, berjumpa beliau selepas majlis sebelum menyerahkan sampul berwarna hijau dan memaklumkan ada RM500 di dalam sampul berkenaan sebagai sumbangan untuk dana kempennya.
Yeo berkata, dia terkejut kerana Parit Sakai adalah kawasan penduduk dengan pendapatan sederhana, maka pemberian RM500 daripada seorang individu adalah sangat besar.
"Oleh kerana saya terlalu terkejut, saya tidak respon dengan baik. Saya hanya tahu cakap terima kasih, terima kasih banyak-banyak.
"Apabila saya buka sampul hijau itu selepas itu, saya terharu tengok keadaan duit itu. Duit ini nampak bukan macam duit dari bank ataupun ATM tetapi duit lama yang dilipat seperti telah lama disimpan.
"Bagi saya, kemungkinan wang sumbangan pak cik itu dari hasil kerja keras beliau," katanya di Facebook.
Guna sebaik mungkin
Yeo juga memohon maaf kerana terlupa mendapatkan nama individu berkenaan namun berharap pesannya dapat sampai kepadanya.
"Walaupun badan kian letih, suara sudah kian hilang dengan aktiviti-aktiviti kempen berterusan selepas pembubaran parlimen, tetapi sokongan pak cik merupakan suntikan yang cukup kuat buat saya untuk teruskan perjuangan untuk lima hari yang akan datang.
"Pak cik, pasukan pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bakri akan gunakan duit ini dengan sebaik yang mungkin untuk memastikan kemenangan HARAPAN pada 9 Mei.
"Saya juga akan sentiasa ingat tindakan pak cik pada masa depan bahawa di atas bahu kita adalah harapan rakyat seperti pakcik untuk melihat negara tercinta kita bangkit semula dan kembali ke landasan yang baik, kehidupan rakyat boleh diperbaiki serta aspirasi dan potensi generasi akan datang boleh dipenuhi di tanah air kita," katanya.
Kerusi Bakri dipertahankan oleh Er Teck Hwa dari DAP pada PRU lalu.
Yeo merupakan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara pada penggal lalu namun akan bertanding di kerusi parlimen Bakri bagi PRU ke-14 dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon MCA dan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan