"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malaysia Baharu tuntut sikap berbeza terhadap gelaran anugerah

MALAYSIADATELINE
Selama 61 tahun Malaysia Lama, tidak ada bantahan terbuka terhadap penganugerahan gelaran. Walaupun di sekitar 2010-an ini, ada beberapa pemberian gelaran bukanlah dipersoalkan tetapi ditertawakan.

Ia menjadi bahan cemuhan sinis dalam sembang-sembang teh tarik di samping ada juga bayangan sentimen ini dalam posting di media sosial.

Ia tidak menjadi isu besar tetapi dapat difahami bahawa banyak orang tidak senang dengan sebahagian amalan penganugerahan gelaran datuk yang dianggap sudah menjadi begitu lumrah, hingga merendahkan nilainya.

Maknanya amalan itu dikaitkan dengan cara Umno mentadbir negara ini. Mereka yang rasa tidak senang dengan amalan itu adalah juga sebahagiannya merupakan penyokong pembangkang sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Satu lagi perkara yang menyebabkan rasa tidak senang orang ramai terhadap amalan itu hanya timbul pada tahun-tahun kebelakangan ini adalah kerana adanya media sosial.

Sebelum itu, orang ramai tidak mempunyai saluran bebas untuk menzahirkan perasaan mereka.

Tambahan pula, kebanyakan gelaran ini datang dari institusi institusi yang pastinya tidak boleh dipersoalkan.

Namun begitu, penganugerahan di Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah dilakukan oleh institusi gabenor. Tetapi negara ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Kerajaan-kerajan pusat dan negeri yang dikuasai oleh parti politik turut memberi nasihat dalam penyediaan senarai bagi penganugerahan itu.

Sistem penganugerahan ini juga dari awal lagi dicipta oleh kerajaan pimpinan Umno. Tunku Abdul Rahman adalah satu-satunya Perdana Menteri yang datang daripada institusi istana.

Ketika itu pembangkang terdiri daripada Pas, Parti Buruh dan Parti Rakyat. Pas dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy yang merupakan bekas ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Beliau, Parti Buruh dan Parti Rakyat adalah golongan kiri yang tidak begitu menghiraukan soal gelaran.

Begitu juga dengan salah seorang pemimpin utama Umno yang berasal dari PKMM iaitu Tun Ghafar Baba. Beliau menolak sebarang gelaran hinggalah setelah bersara politik.

Ahmad Boestamam, pengasas Parti Rakyat mendapat gelaran Datuk dari Sarawak tanpa beliau ketahui pada awalnya. Beliau diminta datang ke Sarawak tanpa diberitahu mengapa. Ketika itu beliau sudah bersara politik.

Tokoh dari Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas), juga dari golongan kiri, Tan Chee Khoon juga menerima gelaran Tan Sri selepas bersara.

Jadi apabila kerajaan pimpinan Umno tumbang pada 9 Mei lalu dan Pakatan Harapan mengambil alih, orang ramai mengharapkan kerajaan baharu ini adalah lebih baik dan tidak akan mengamalkan perkara-perkara negatif dalam Malaysia Lama.

Pada awal kabinet dibentuk, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta media supaya memanggil dirinya Saudara.

Perkara ini juga berlaku ketika Anwar Ibrahim baru dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1981. Beliau meminta para pemberita memanggil dirinya Saudara.

Tetapi malangnya, ada pemimpin Pakatan Harapan tidak cukup peka dengan sensitiviti orang ramai ini.

Tanda-tanda rasa tidak puas hat terhadap perkara ini dari awal lagi dapat dilihat apabila Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub menerima gelaran datuk dari Pulau Pinang.

Perkara ini menerima rungutan termasuk dari kalangan penyokong AMANAH yang mana beliau adalah timbalan presidennya.

Pulau Pinang pula diperintah oleh DAP. Sedangkan DAP dan AMANAH adalah parti-parti dalam Pakatan Harapan yang dilihat sepatutnya paling tidak menghiraukan soal gelaran.

Lainlah kalau Bersatu dan PKR yang banyak pemimpinnya berasal dari Umno.

Malah ketika Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini tidak ada penganugerahan dan bintang-bintang kebesaran.

Maka tidak menghairankanlah apabila pemberian gelaran dari Melaka kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan mendatangkan kecaman.

Melaka pula diperintah Pakatan Harapan dan ketua menterinya dari AMANAH.

DAP pun menyatakan pendiriannya. Isunya bukanlah bintang kebesaran dan gelaran itu tidak boleh diberikan atau diterima. Tetapi buat masa ini para pemimpin Pakatan Harapan baru saja dilantik dan prestasinya belum teruji.

Sentimen yang sama juga disuarakan oleh A Kadir Jasin dari Bersatu yang mencadangkan supaya dibuat garis panduan.

Tiada ulasan: