"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gopal mohon Najib, Irwan diikat jamin RM3j seorang

Peguam kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendawaan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar, meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM3 juta seorang ke atas kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela Najib Tan Sri Shafee Abdullah membantah.

Kata Shafee bekas perdana menteri itu sudah membayar ikat jamin sebanyak RM4.5 juta bagi dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Tambahan pula kata Shafee Najib juga sudah menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah selepas dikenakan tuduhan berhubung penyelewengan RM4.5 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Shafee turut menegaskan ikat jamin yang dikenakan hanya bertujuan bagi memastikan seseorang tertuduh hadir semasa perbicaraan, dan bukan untuk menghukum.

Justeru Shafee menggesa mahkamah mengambil kira jumlah keseluruhan ikat jamin yang sudah dikenakan ke atas Najib.

Dia juga berkata pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui Najib tidak berisiko tinggi untuk melarikan diri.

Semalam pula katanya Najib dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditunjukkan tuduhan-tuduhan yang akan dikenakan hari ini.

Apabila diarah hadir di mahkamah pada jam 8.30 pagi hari ini, kata Shafee, Najib datang lebih awal daripada waktu itu.

Jutseru katanya Najib wajar dibenarkan diikat jamin tanpa perlu membayar wang tambahan atau penjamin dan tertakluk kepada ikrar bahawa beliau terikat dengan syarat yang dikenakan sebelum ini.

Irwan beri kerjasama baik

Kata Shafee, anak guamnya itu juga memberitahu tuduhan pertama dan kedua yang dikenakan hari ini sama sekali tidak berasas kerana keputusan mengenainya dilakukan secara bersama dengan Mohd Irwan bagi mengelakkan kecuaian dan kesan buruk.

"Anak guam saya berasakan bahawa tuduhan-tuduhan ini sangat menggerunkan dan beliau tidak sabar-sabar untuk melalui perbicaraan yang baik," katanya.

Sementara itu peguam bela Mohd Irwan, Datuk K Kumaraendran berhujah bekas pegawai kanan kerajaan itu sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi selasam 20 tahun.

Katanya bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu juga tidak mampu menyediakan wang yang besar sebagai ikat jamin.

Lagi pun kata dengan diarah membayar ikat jamin yang tinggi ia mungkin hanya akan menyebabkan Mohd Irwan terpaksa berada dalam penjara sementara menunggu perbicaraan.

Menegaskan Mohd Irwan tidak berisiko tinggi melarikan diri, Kumaraendran berkata mahkamah sebalikya perlu menetapkan ikat jamin yang rendah dan anak guamnya itu akan menyerahkan pasport antarabangsanya.

Ketika disoal siasat SPRM dalam 10 pertemuan berasingan, kata Kumaraendran, Mohd Irwan memberikan kerjasama yang baik walaupun tiada notis rasmi diserahkan, kecuali semalam.

Justeru, kata Kumaraendran, mahkamah dicadang supaya menetapkan ikat jamin untuk Mohd Irwan sebanyak RM500,000.

"Jumlah itu memadai bagi memastikan beliau hadir di mahkamah. Sebarang jumlah yang lebih tinggi hanya akan bersifat menghukum," katanya.

Gopal bagaimanapun berhujah, jumlah yang dipohon itu tidak boleh dianggap keterlaluan jika melihat kepada tuduhan yang dikenakan ke atas Najib dan Mohd Irwan.

Tambahan pula, katanya, Irwan mendapat bayaran berjuta-juta ringgit bagi pelbagai jawatan yang dipegangnya sebelum ini.

Perbicaraan itu diadakan di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad.

Tiada ulasan: