DINSMAN
Tidak tahu siapakah yang mula menyebutnya. Tahu-tahu orang sudah ramai menyebut Malaysia baharu. Yang dimaksudkan ialah Malaysia selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, dan tumbangnya kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah Malaysia selama 61 tahun sejak Merdeka 1957.
Satu hal yang paling ketara dengan Malaysia baharu, mengikut pemerhatian saya, ialah kerajaan baru Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini agak terbuka dan membenarkan kebebasan bersuara, sehingga kita mendapati kritikan-kritikan disuarakan terhadap pihak kerajaan begitu berleluasa sekali terutamanya di media sosial fesbuk.
Fenomena kebebasan bersuara ini adalah satu fenomena baru dalam sejarah Malaysia, yang jelas merupakan satu perubahan besar hasil kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 itu.
Apakah kebebasan bersuara yang sedang dizahirkan dan dinikmati oleh rakyat Malaysia baru ini sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia keseluruhannya kini, masih terlalu awal untuk kita rumuskan.
Namun apa pun, saya perhatikan ledakan kritikan-kritikan itu seperti suatu permainan baru yang diberikan kepada anak-anak yang sedang belajar bermain dengan alat-alat mainan baru, yang mereka pun belum kenal benar apakah jenis permainan itu dan apakah kesan dari permainan itu kepada mereka dan kepada masyarakat seluruhnya.
Apakah pihak kerajaan Malaysia baharu pimpinan Perdana Menteri 93 tahun Dr Mahathir sekarang memang bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan cabaran daripada dasar kebebasan bersuara ini? (Sedangkan waktu dia memerintah 23 tahun dulu hal ini tidak dibenarkannya).
Nampaknya di pihak pimpinan khasnya kabinet Pakatan Harapan mereka memang bersedia dalam keadaan yang terpaksa menghadapi cabaran-cabaran kritikan itu.
Keadaan ini seperti menimbulkan satu suasana yang agak bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil.
Malah ada suara yang meminta menteri pendidikan dan menteri agama meletak jawatan pun, dengan hujah, alasan dan kritikan tertentu.
Dan ada yang meminta menteri kewangan dan menteri pengangkutan juga berbuat demikian. Dan sebelum itu menteri sumber manusia juga.
Demikianlah rakyat Malaysia baharu yang tiba-tiba sahaja menjadi berani bersuara.
Dan setakat ini keberanian bersuara itu masih berkisar di sekitar mengkritik pihak kerajaan yang dikatakan tidak mematuhi janji manifesto, menipu rakyat dan sebagainya.
Belum ada keberanian yang membawa nilai-nilai positif ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih bermakna. (Setakat yang sempat saya perhatikan).
Keadaan menjadi bergelora, kucar-kacir dan tidak stabil itu berbetulan pula dengan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang baru dan belum berpengalaman, malah ada yang terlalu muda dan dikatakan masih berperangai kebudak-budakan pun.
Hanya Tun Mahathir yang banyak dan kaya pengalaman mentadbir negara. Seorang lagi ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi beliau dalam keadaan kurang sihat.
Di samping itu ada dua orang yang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan negeri, iaitu Lim Guan Eng bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Azmin Ali bekas Menteri Besar Selangor.
Keadaan kurang berpengalaman dalam mentadbir negara ini bagi saya bukanlah suatukelemahan atau kekurangan.
Saya berpendapat itu adalah satu kebaikan untuk Malaysia baharu; agar menteri-menteri itu tidak terikat dengan cara dan gaya serta nilai-nilai pentadbiran lama.
Biarlah kita melakukannya dengan cara dan pendekatan yang baru, berdasarkan nilai-nilai yang baru.
Satu lagi isu yang penting untuk diangkat daripada sekian banyak isu yang timbul dan ditimbulkan dalam tempoh lima bulan Malaysia baru ialah sikap dan pemikiran agama dalam kalangan orang Melayu, yang nampaknya mengalami kejutan akibat daripada beberapa kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh menteri berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Saya sebenarnya suka dengan beberapa kenyataan dan tindakan Dr Mujahid yang menimbulkan kejutan itu, yang saya melihatnya sebagai satu permulaan yang baik dan berani, ke arah sikap dan pemikiran Islam yang lebih wajar dan sesuai dengan tuntutan al-Quran dan sunnah.
Memang ia mengejutkan dan menimbulkan kontroversi, malah serangan-serangan terhadap menteri berkenaan, yang didakwa dibuat atas nama kesucian Islam dan sebagainya.
Itu tidak menghairankan, malah memang dijangka, kerana memang itulah masyarakat Islam di negara kita.
Dan masyarakat Islam di negara kita itu perlukan peningkatan pemahaman terhadap teks Islam yang sahih, yang akan membawa kepada perubahan pemikiran dan sikap mereka dalam banyak perkara. Malaysia baharu yang sebenarnya tidak akan tercapai selagi sikap dan pemikiran tertentu di kalangan masyarakat Melayu-Islam kita tidak berubah.
Dalam konteks ini saya melihat Dr Mujahid memerlukan satu pasukan ilmuwan Islam yang berwibawa untuk membantunya.
Ini suatu tugas dan tanggungjawab besar, yang tidak mungkin dilaksanakan oleh seorang menteri dengan timbalannya sahaja.
Beliau memerlukan ramai tenaga untuk membantunya.
Seperti terbukti apabila Dr Mujahid menyentuh sedikit soal LGBT dan soal mencegah maksiat, pelbagai pandangan dan kritikan telah timbul, yang sebahagiannya menampakkan kurang kefahaman terhadap teks Islam yang sahih itu.
Dan di sana sebenarnya ada banyak lagi isu atau perkara yang perlu diangkat untuk ditingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam kita, secara yang bebas daripada fahaman politik kepartian.
Satu masalah yang menjadikan perkara ini sukar untuk dilakukan ialah sikap dan pemikiran yang taksub dengan kumpulan atau tokoh/pemimpin tertentu tanpa memahami sendiri ajaran agama berkenaan.
Ketaksuban ini menolak sebarang hujah dan penerangan. Dan inilah wajah kebanyakan watak dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam kita.
Memang cabaran yang wujud di sekeliling Dr Mujahid (dan lain-lain menteri Malaysia baru) adalah sukar.
Manakala suasana kebebasan bersuara yang dilahirkan oleh Malaysia baharu pula menggalakkan semua orang mengeluarkan pendapat dan kritikan, tanpa perlu memikirkan kewajaran dan kesahihannya terlebih dahulu.
Inilah wajah Malaysia baharu yang masih samar-samar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan