"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Calon tewas lapor SPRM dakwa JPP sabotaj kem Rafizi

Adam Abu Bakar

Iswardy Murni berkata, beliau turut membuat laporan polis dan menyerahkan surat bantahan kepada JPP PKR.
PUTRAJAYA: Seorang calon yang tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan wujud konspirasi dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk mensabotaj calon kem tertentu dalam parti itu.

Iswardy Morni, 41, yang tewas dalam perebutan jawatan ketua PKR Bahagian Petra Jaya membuat laporan itu kerana hilang kepercayaan terhadap JPP.

Beliau kalah dengan perbezaan 32 undi kepada penyandang Ketua PKR Bahagian Petra Jaya, Baharuddin Mokhsen.

“Macam ada sesuatu untuk ganggu proses pemilihan di Bahagian Petra Jaya. Hal ini kerana ia pemilihan parti dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ada konspirasi menentang saya dalam pemilihan. Disebabkan itu saya buat laporan kepada SPRM kerana saya dari kem Rafizi Ramli,” katanya di luar ibu pejabat SPRM hari ini.

Beliau turut mengadu penukaran tarikh pemilihan di bahagian Petra Jaya tanpa sebarang notis atau makluman yang menjadi antara punca beliau kalah.

“Pada awalnya, tarikh pemilihan pada 10 November, namun pada malam 9 November, saya diberitahu (pemilihan) diadakan pada 11 November pula, kemudian saya sahkan dengan JPP, mereka katakan kembali pada tarikh asal.

“Jadi, pada 10 November, saya ke pusat pengundian bersama penyokong untuk proses pemilihan parti, tetapi pada tarikh itu saya pergi langsung tidak ada orang, termasuk anggota JPP.

“Hal ini kerana pemilihan diadakan pada 11 November, ramai pengundi saya tidak boleh hadir pada masa tersebut sebab pertukaran tarikh tanpa sebarang makluman. Ia tidak adil bagi saya dan pengundi.”

Katanya, beliau sudah membuat laporan polis dan menyerahkan surat bantahan kepada JPP.

“Ini adalah tindakan susulan. Kita mahu tunjukkan keseriusan kita dalam isu ini. Saya hilang percaya pada JPP,” katanya sambil menambah tiada keperluan membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Sarawak ialah negeri terakhir mengadakan proses pengundian. Sebanyak 29 bahagian menjalankan pemilihan pada 10 dan 11 November lalu.

Petra Jaya mempunyai 1,508 ahli yang layak mengundi.

Tiada ulasan: