"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan suka basuh malam-malam, makan dalam kereta Al

Alyaa Alhadjri

PARLIMEN | Remeh namun 'berbisa' dan boleh mengancam kebahagiaan. Itu yang dapat difahami daripada penjelasan Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.

Menurut timbalan menterinya, Hannah Yeoh, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menunjukkan ada hal-hal yang lazim dan kecil boleh menyumbang kepada masalah rumahtangga sehingga membawa perceraian.

Antaranya, isteri gemar membasuh baju pada waktu malam, suka mengikuti rombongan beramai-ramai dan tabiat makan dalam kereta.

Penjelasan itu menyebabkan anggota Dewan Rakyat ketawa.

"Saya pun basuh baju malam-malam," kata Yeoh secara spontan, sebelum dicelah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming: "(Timbalan) menteri, jangan basuh baju malam-malam,"

"Apa nak buat, sidang parlimen selalu habis malam," jawab Yeoh sambil tersenyum.

Beliau juga berkata punca lain yang membawa perceraian ialah berbeza fahaman politik, pasangan berdengkur semasa tidur dan suami atau isteri suka membeli-belah.

5 tahun pertama kritikal

"Saya baca sebab-sebab (perceraian) ini kerana saya nak tunjukkan bahawa banyak faktor remeh dijadikan sebab untuk bercerai," katanya.

Terdahulu Yeoh menjawab soalan Amin Ahmad (PH-Kangar) yang bertanya mengenai kes perceraian melibatkan pasangan yang baru lima tahun berkahwin serta punca-puncanya.

Kata Yeoh mengikut statistik kementerian ada 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan saja antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain sedang dikumpul.

"Bagi orang bulan Islam pula, statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan ada 14,440 kes perceraian di bawah usia perkawinan lima tahun bagi 2013 hingga 2017.

"Dalam tempoh berkenaan Johor paling tinggi iaitu 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan 2,771 kes dan Selangor 1,858 kes," katanya.

Yeoh yang juga anggota parlimen Segambut berkata tempoh lima tahun pertama perkahwinan sangat mencabar kerana kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2014, lebih satu per tiga kes perceraian berlaku dalam jangka waktu itu.

Katanya antara punca-punca utama perceraian pada perkawinan pertama lelaki ialah tiada persefahaman (56.2 peratus), isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar (10 peratus).

Bagi wanita pula katanya 38 peratus menyatakan punca utama perceraian kerana tiada persefahaman, diikuti suami curang (20.5 peratus), dan suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

"Jadi langkah diambil kerajaan untuk memantapkan institusi perkahwinan dan keluarga ialah melaksanakan program pra dan pascaperkahwinan bagi memberikan asas kukuh membina keluarga bahagia, terutama bagi pasangan baru berkahwin," katanya.

Tiada ulasan: