"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Langsung: Rosmah dituduh terima RM189 juta dari ahli perniagaan - Malysiakini

LANGSUNG | Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dan bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor akan didakwa di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-duanya akan didakwa dengan pertuduhan rasuah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad.

Pembantu Rosmah, Rizal Mansor juga akan dihadapkan ke mahkamah berasingan di hadapan hakim Azura Alwi. Manakala ahli perniagaan, Tan Eng Boon akan didakwa di hadapan hakim Rozina Ayob.

Ku Nan akan diwakili peguam yang diketuai Tan Hock Chuan manakala K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung:

Ahli perniagaan Tan tak perlu serah pasport

3.40pm - Ahli perniagaan Tan Eng Boon yang didakwa bersubahat dengan Tengku Adnan dalam kesalahan rasuah.

Tan, 70, didakwa menyerahkan cek RM1 juta pada 27 Dis 2013 kepada Tengku Adnan. Seorang penterjemah membacakan dakwaan ke atas Tan dalam bahasa Mandarin. Tan kemudian mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan.

Dalam debat penghujahan panjang berhubung proses ikat jamin, pendakwa meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM3 juta atas alasan Tan mempunyai risiko melarikan diri kerana sering ke Singapura untuk urusan perniagaan.

Peguam Tan, Faisal Moideen berhujah bahawa jumlah yang diminta pihak pendakwaan bersifat menghukum kerana kes berkenaan melibatkan RM1 juta dan tertuduh memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

Faisal juga berhujah bahawa anak guamnya tampil di mahkamah tanpa perlu ditahan dan tidak melarikan diri dari perbicaraan lain di Johor Bahru di mana dia menyerahkan RM700,000 wang ikat jamin.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib bagaimanapun tidak bersetuju dan menjelaskan kes itu berbeza.

"Kini dia berdepan (maksimum) 20 tahun penjara. Bagi seseorang yang berumur 70 tahu, yang mendengar dakwaan ke atasnya yang boleh menyebabkannya dipenjara untuk sisa hidupnya, ini situasi yang berbeza," kata Ahmad.

Hakim Azura Alwi akhirnya menetapkan ikat jamin RM700,000 dan mengarahkan Tan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran rumahnya setiap bulan dan mengemukakan semua dokumen perjalanan antarabangsanya, kecuali Singapura, seminggu lebih awal sebelum berlepas.

14 projek disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Ku Nan

3.30pm: Berikut adalah projek-projek pembangunan di Kuala Lumpur yang disebut dalam kertas pertuduhan kedua terhadap Tengku Adnan:

1. Cadangan usahasama dengan DBKL untuk membangunkan rumah mampu milik di atas sebidang tanah di Taman Metropolitan Kepong.

2. Cadangan untuk membeli 1.15 ekar tanah untuk tujuan membangunkan rumah mampu milik di Seksyen 85A, Bandar Baru Sentul.

3. Cadangan untuk membeli 6.846 hektar tanah di Bukit Jalil untuk membangunkan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) dan pangsapuri.

4. Cadangan untuk membeli 48,106 kaki persegi tanah di Batu 4, Jalan Kelang Lama untuk membangunkan bangunan pejabat.

5. Cadangan untuk membeli 3.75 ekar tanah di Kampung Pandan untuk membina rumah mampu milik.

6. Cadangan untuk membeli 8,719 ekar tanah di Kampung Pandan untuk membina rumah mampu milik.

7. Cadangan untuk membeli 1.8 ekar tanah di Jalan Padang Tembak untuk membina rumah mampu milik.

8. Cadangan untuk membeli tanah seluas 1.07 ekar di Taman Desa untuk membina pangsapuri dan rumah mampu milik.

9. Cadangan untuk membeli 11,341 kaki persegi tanah di Setapak untuk membina pangsapuri dan rumah mampu milik.

10. Satu cadangan untuk membangunkan 1,208 unit pangsapuri dalam dua fasa.

11. Cadangan untuk membeli 42.43 ekar tanah di Taman Desa untuk membina rumah mampu milik.

12. Cadangan untuk membeli 4.5 ekar tanah bersebelahan dengan Jalan Kuchai Lama 6 untuk membina rumah mampu milik.

13. Cadangan untuk membeli tanah seluas 8,500 meter persegi di Taman Metro Prima untuk membina rumah mampu milik.

14. Cadangan untuk membeli 3.138 ekar tanah di Petaling untuk membina rumah mampu milik.


Ikat jamin Rizal ditetapkan RM1 juta
3.10pm: Hakim Rozina Ayob menetapkan ikat jamin RM1 juta terhadap Rizal, yang akan dibayar dalam dua kali ansuran. Bekas pembantu kepada Rosmah itu juga diarahkan untuk menyerahkan pasportnya.

DPP Kamal Bahrain Omar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memohon untuk membicarakan kes Rizal bersama Rosmah. Ia akan didengar semasa prosiding praperbicaraan pada 29 Nov.

Ikat jamin RM1 juta untuk Ku Nan

3.05pm: Peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan bersetuju dengan ikat jamin RM1 juta yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan memerintahkan bekas menteri itu menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatiknya.

Hakim menetapkan 12 Disember untuk sebutan kes itu.

Rizal didakwa terima rasuah untuk Rosmah, diri sendiri

2.57pm: Empat pertuduhan dibacakan terhadap Rizal Mansor.

Pihak pendakwaan mendakwa Rizal meminta atau menerima rasuah daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dalam empat peringkat.

Menurut pertuduhan pertama, Rizal meminta RM187.5 juta untuk Rosmah dari Saidi sebagai dorongan untuk membantunya memenangi kontrak kerajaan. Bagi tuduhan kedua Rizal didakwa meminta sebanyak RM25 juta untuk dirinya sendiri. Kedua-dua kesalahan itu berlaku antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi tuduhan ketiga, Rizal didakwa menerima bayaran sebanyak RM5 juta bagi pihak Rosmah pada 20 Dis 2016 sebagai ganjaran untuk membantu Jepak Holdings memenangi kontrak kerajaan.

Bagi pertuduhan terakhir, Rizal didakwa menerima bayaran sebanyak RM500,000 untuk dirinya sendiri pada 23 Dis 2016.

Kesemua empat kertas pertuduhan berkaitan projek Kementerian Pendidikan iaitu Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1,250,000,000 yang dianugerahkan kepada Jepak Holdings tanpa proses tender terbuka.

Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, Rizal boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan bagi setiap kesalahan.

Rizal memohon perbicaraan bagi kesemua empat pertuduhan.


Ku Nan didakwa terima cek RM3 juta
2.55pm: Pertuduhan alternatif dibacakan terhadap Tengku Adnan membabitkan jumlah RM1 juta

Dia meminta dibicarakan untuk pertuduhan alternatif tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan dituduh menerima, atas kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan cek RM2 juta daripada pengasas Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Ini berlaku dengan pengetahuan Aset Kayamas, Sinerjuta Sdn Bhd, Fiber Vista Sdn Bhd, Era Ecoland Sdn Bhd, Garuda Searah Sdn Bhd, dan Ujana Mutiara Sdn Bhd yang mempunyai hubungan kerja dan sedang menjalankan beberapa projek dengan kementerian.

Ia juga merupakan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu melibatkan jualan tanah di Kuala Lumpur.

2.50pm - Pertuduhan pertama terhadap Tengku Adnan adalah seperti berikut:

Pada 27 Disember 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, dia didakwa selaku menteri wilayah persekutuan memperoleh cek bernilai RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon.

Ia berlaku dengan pengetahuan Nucleus Properties Sdn Bhd - kini dikenali sebagai Paragon City Development - yang mempunyai hubungan rapat dengan kementerian, untuk membangunkan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

2.45pm: Hakim menetapkan 10 Disember sebagai sebutan kes terhadap Rosmah.

2.40pm Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Geethan Ram memberitahu mahkamah bahawa pasport Rosmah telah diserahkan dalam kes lain dan bersetuju dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Hakim membenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Geethan meminta ikat jamin dibayar secara berperingkat.

Umar Saifuddun membantah dan meminta ikat jamin dibayar sekali gus.

Hakim memutuskan ikat jamin sebanyak RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya dibayar dalam masa tujuh hari.


2.37pm - Bagi pertuduhan pertama terhadap Rosmah, dia dituduh menerima RM187.5 juta antara Mac dan April 2016.

Jumlah itu adalah 15 peratus daripada kontrak dari Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bayaran itu bertujuan membantu syarikat itu mendapatkan tender langsung daripada Kementerian Pendidikan berhubung projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dituduh menerima RM1.5 juta dari Saidi pada 7 Sept 2017, sekali lagi untuk membantu Jepak Holdings memperoleh kontrak berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan di bawah perenggan 16 (a) (A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Rosmah mengaku tidak bersalah.

2.35pm Rosmah masuk dalam kandang tertuduh apabila hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad memulakan prosiding.

DPP Umar Saifuddin memperkenalkan pihak pendakwaan.

2.30pm Rosmah berjalan masuk ke mahkamah bersama anaknya Norashman dan duduk di barisan kedua galeri awam.

Mahkamah akan bermula bila-bila masa dengan timbalan pendakwa raya, Umar Saifuddin mengetuai pendakwaan.

2.20pm: Anggota parlimen Larut dari Umno, Hamzah Zainuddin juga muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

2.14pm: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa tiba di mahkamah bersama-sama bekas menteri dan anggota parlimen Umno, Shahidan Kassim.

Shahidan dilihat berjalan perlahan.

2.11pm: Sejurus ketibaan Rosmah, bekas pembantunya Rizal Mansor tiba di perkarangan kompleks mahkamah KL.

Dia berpakaian kemeja batik berwarna biru gelap dan seluar hitam dengan sepasang cermin mata hitam. Rizal dilihat tergesa-gesa berjalan ke mahkamah.

2.05pm: Rosmah tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur bersama-sama dengan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak.

Kedua-dua mereka melangkah keluar dari sebuah kenderaan warna hitam.

Najib tiba dengan memakai sut biru gelap dan tali leher berwarna biru. Beliau kelihatan tenang dan tersenyum kepada media. Manakala Rosmah pula memakai baju kurung hijau kekuningan, mengekori Najib.

1.57pm: Bekas setiausaha agung Umno, Tengku Adnan tiba di mahkamah hari ini dengan memakai baju batik berwarna biru. Beliau diiringi beberapa orang pengawal peribadi.

Tiada ulasan: