"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM sahkan Hamid Bador sebagai ketua polis negara baru

Faiz Zainudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan Abdul Hamid Bador akan dilantik sebagai ketua polis negara yang baru.

“Mungkin dia (Hamid Bador) akan jadi IGP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Buruh Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya sama ada surat pelantikan itu telah dihantar kepada Hamid yang kini mengalas tugas sebagai timbalan ketua polis negara, katanya, Agong juga bersetuju dengan pemilihan tersebut.

“Saya fikir Yang di Pertuan Agong sudah tandatangan (surat pelantikan).

Hamid, yang pernah mengetui Cawangan Khas, bersara pada awal 2015 selepas mempersoalkan penglibatan kerajaan terdahulu melibatkan pelbagai skandal.

Pada Mei tahun lepas, beliau dilantik semula oleh kerajaan Pakatan Harapan ke dalam jawatan yang ditinggalkannya pada 2015.

Bulan lalu, beliau mengambil alih tugas sebagai timbalan ketua polis negara selepas persaraan Noor Rashid Ibrahim.

Perlantikan Hamid sebagai ketua polis negara selepas Mohamad Fuzi Harun akan bersara wajib pada Jumaat ini (3 Mei).

Desas-desus mengenai pelantikan Hamid sebagai bakal ketua polis negara mulai tersebar sejak Februari lalu menerusi WhatsApp.

Kiriman mesej yang tular itu menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih Hamid sebagai ketua polis negara dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Acryl Sani Abdullah Sani sebagai timbalan ketua polis negara yang baru.

Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan timbalan pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas IS.

Cari pengganti pengerusi Suhakam

Mengulas mengenai pengganti Razali Ismail sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mahathir berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.

“Itu kita akan lihat dan mereka akan dapat pemimpin yang baru kerana Razali minta berhenti,” katanya sambil memaklumkan sehingga kini belum ada calon baru akan dilantik.

Sebelum ini, Razali mengesahkan beliau menghantar surat letak jawatan kepada Agong dan perdana menteri, serta memaklumkannya kepada suruhanjaya itu.

Peletakan jawatan itu dibuat 2 minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir pada 27 April lalu.

Tiada ulasan: