"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN Johor goyah, kini Aminolhuda perlu diberi peluang

HARUN ZAKARIA
Krisis kemelut politik di Johor masih belum reda walaupun ada yang menganggap perkara itu seperti telah selesai. Namun sebahagian pemain politik kini sudah dapat mengagak apakah yang akan berlaku di negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia itu.

Desas-desus wujud Adun dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri yang masih kurang senang dengan pemerintahan diketuai oleh Umno kian kuat berkumandang.

Dapat diketahui Adun tersebut juga telah dipinang untuk beberapa jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya. Namun, prinsip Adun berkenaan sukar untuk digugat bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) kembali.

Secara umum kita mengetahui bahawa PH Johor telah melantik Aminolhuda Hassan sebagai Ketua Pembangkang dan ia sebagai simbol bahawa Adun Parit Yaani itu kini mengetuai barisan PH di Johor secara tidak langsung.

‘Salute’ boleh berikan kepada DAP yang mampu memeberi peluang kepada AMANAH walaupun mereka mempunyai Adun Melayu (sekiranya ia syarat untuk menjadi Ketua Pembangkang) Sheikh Omar Bagharib Ali dan ia menunjukkan jiwa besar parti tersebut.

Inilah semangat setiakawan dalam gagasan yang terbina atas dasar kejituan mendahulukan rakyat di negeri ini. Berbalik kepada individu bernama Aminolhuda, tidak salah untuk kita katakan bahawa selayaknya Pengerusi AMANAH Johor ini diberi peluang menjadi Menteri Besar jika gerakan PH negeri berjaya mendapatkan semula pentadbiran negeri tersebut.

Hal ini jelas sepertimana ‘fatwa Muhyiddin Yassin’ seperti kata Amni Jagat dalam tulisannya yang sebelum PRU-14 berjanji bahawa MB Johor akan diberikan kepada tiga parti AMANAH, PKR dan PPBM yang memenangi kerusi paling banyak.

Aminolhuda (tengah) ketika sidang media PH negeri pada Februari lalu.

Ternyata keputusan PRU-14 telah membuktikan AMANAH paling banyak memenangi kerusi dengan sembilan kerusi berbanding PPBM (8) dan PKR 5 kerusi. Jelas, perancangan jahat Muhyiddin dengan menghalalkan cara memasukkan tiga Adun Umno ke dalam PPBM membuatkan kononnya parti itu mendapat kerusi yang banyak berbanding AMANAH dan PKR.

Oleh kerana semangat setiakawan, AMANAH yang diketuai Aminolhuda tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberi peluang kepada PPBM untuk menjadi MB di Johor. Perkara itu turut berulang dengan isu peletakan jawatan Osman Sapian sebagai MB pada April tahun lalu. Sekali lagi, Aminolhuda memegang semangat setiakawan dengan menyokong lantikan MB dari PPBM iaitu Sahruddin Jamal.

Aminolhuda sebagai Penyelaras PH Johor telah lama berkorban demi kesejahteraan PH serta rakyat dengan membunuh sifat mementingkan diri sendiri dan berjiwa besar terhadap semangat tersebut.

Kini, sudah tiba masanya untuk beliau dihargai serta diberikan peluang untuk mengemudi barisan kepimpinan baharu dalam pembentukan semula gerakan mendapatkan mandat rakyat semula.

Pengalaman bekas Exco kerajaan negeri itu bukannya baru sekarang wujud. Beliau telah lama berkhidmat serta mengorbankan masa, keringat dan sebagainya demi perjuangan sewaktu beliau dalam Pas lagi.

Harus dikenangkan jasa Aminolhuda yang mengemudi barisan Pas di Johor untuk membawa prinsip mendaulatkan rakyat dengan bersama kepimpinan yang lain menubuhkan AMANAH ketika itu. Selain itu, beliau juga antara jurutera politik di Johor yang mengagaskan PH ketika itu bersama-sama PKR dan DAP.

Dalam perbincangan berkenaan dengan kerusi antara ketua-ketua PH Johor, beliau turut berusaha mendapatkan kerusi serta memberi peluang kepada pemuda, pemudi dan wanita di negeri untuk bertanding.

Ini menunjukkan kewibawaan beliau dalam menguruskan parti sehingga Johor menjadi tempat di mana parti AMANAH memenangi kerusi Dun terbanyak di Malaysia.

Kepimpinan beliau terserlah utuh dan perlu juga dinyatakan di sini, sewaktu menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda turut memikirkan soal pembangunan insan dengan ideanya mewujudkan Universiti Johor.

Ketokohannya kini sudah memadai untuk menyatakan bahawa beliau layak untuk dilantik sebagai MB Johor sekiranya perubahan berlaku di negeri berkenaan.

Sememangnya AMANAH di Johor memiliki pemimpin yang hebat dan bermanfaat kepada rakyat seperti Datuk Seri Salahuddin Ayub, Sr Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat, Dr Sulaiman Mohd Nor, Ir Khairuddin A Rahim, Nor Hayati Bachok, Ir Dr Faizul Amri Adnan dan ramai lagi.

Kini hanya menanti detik untuk gerakan mengambil alih kuasa semula berlaku dan apa yang pasti PN di Johor hari ini hanya menanti untuk berpecah.

Kepimpinan yang diketuai oleh Hasni Mohamed hari ini dilihat lemah dalam menguruskan kesesuaian di antara komponen mereka.

Tiada ulasan: