Majoriti diperoleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkurang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menjelaskan beliau sebenarnya menyokong pembangkang sama ada di peringkat persekutuan mahupun di Sarawak.
Dalam satu kenyataan petang ini, Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu menjelaskan beliau diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pagi ini.
"Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya.
"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri.
"Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen PN kerana PSB tidak menyokong PN," tambahnya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan susunan tempat duduk dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini menunjukkan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti mudah anggota parlimen.
Berdasarkan pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan oleh kakitangan parlimen, seramai 114 ahli parlimen (termasuk Masir) duduk di blok kerajaan.
Ini bermakna Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) mempunyai kelebihan tiga kerusi parlimen berbanding majoriti mudah iaitu 112 kerusi.
Namun, dengan pengumuman Masir, sokongan perdana menteri turun kepada dua majoriti.
Sementara itu, Setiausaha Agung PSB, George Lo berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan PSB adalah parti komponen gabungan GPS.
"Ini tidak betul sama sekali. Kami tidak sokong GPS.
"Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang kami akan bertanding di 65 kerusi menentang GPS.
"PSB akan menjadi alternatif kepada GPS untuk rakyat Sarawak," katanya kepada Malaysiakini menerusi hantaran WhatsApp.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan