"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buang Mahathir bunuh perjuangan Bersatu, tegas Armada

MALAYSIA DATELINE
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menegaskan pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, sayap Pemuda Bersatu tersebut menolak surat Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebelum ini.

“Armada mengiktiraf bahawa pengerusi Bersatu adalah dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad dan ia adalah selari dengan keputusan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya.

Tegasnya, RoS termaktub di bawah “Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu yang tidak diiktiraf oleh parti serta mempunyai pertindihan kepentingan dalam isu ini.”

Setiausaha Agung parti dalam kenyataan media pada 25 Februari lalu mengatakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak peletakan jawatan Mahathir yang dibuat pada hari sebelumnya.

“Kenyataan itu menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah sebulat suara menolak perletakan jawatan Dr Mahathir dan kedudukan beliau sebagai pengerusi Bersatu masih lagi kekal,” katanya.

Sehubungan itu, Armada menyarankan agar pemilihan parti yang telah ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dipercepat sebagai langkah penyelesaian yang terbaik.

“Sesungguhnya, mereka yang memberi usul untuk membuang Dr Mahathir dari parti inilah yang sebenarnya ingin membunuh roh dan perjuangan parti Bersatu.

“Jalan penyelesaian terbaik dalam bab ini adalah dengan mengembalikan kuasa kepada akar umbi untuk memilih masa hadapan parti melalui pemilihan parti,” ujarnya.

Tambah Armada, pemilihan Bersatu perlu disegerakan dalam masa terdekat bagi menjamin kelangsungan parti tersebut.

Tiada ulasan: