"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demi nak jadi PM, sanggup rosakkan parti, kata Tun M kepada Muhyiddin

BORHAN AHMAD

Di tengah-tengah desakan dan pujukan agar Bersatu dibubarkan dan ahlinya menyertai Umno semula, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sanggup membiarkan partinya rosak asal dapat menjadi perdana menteri.

Dalam kenyataan beliau melalui lamannya chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata, beliau hairan dengan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang menjelaskan Muhyiddin tidak terlibat dengan melepas Riza Aziz, menantu kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Setakat yang saya tahu tiada sesiapa pun yang menuduh Perdana Menteri.

“Ini sama dengan dakwaan berkali-kali bahawa ia Tan Sri Muhyiddin tidak hendak jadi Perdana Menteri.

“Tidak perlu protes kerana tidak ada siapa yang mencadang Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi akhirnya biar rosak parti asal dapat jadi Perdana Menteri,” kata bekas perdana menteri dua kali itu.

Sebuah laman pro Umno, Suara Merdeka dalam komentar mereka mencadangkan agar Bersatu menuruti jejak langkah Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang membubarkan parti mereka untuk menyertai Umno semula.

Menurut laman itu, Semangat 46 lagi kuat berbanding Bersatu kerana pernah disertai oleh tokoh-tokoh besar Umno ketika Team B bertempur melawan Team A pimpinan Tun Dr Mahathir.

“Bubarkan Bersatu, contohi Semangat 46 kembali ke pangkuan Umno?” bunyi tajuk berita laman itu.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyebut, cita-cita Bersatu adalah untuk menjadi parti untuk orang Melayu dan bumiputera selepas rosaknya Umno.

Dalam rayuannya sempena sambutan dua tahun kemenangan PH yang disertai Bersatu pada 9 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, wawasan dan cita-cita Bersatu adalah untuk menjadi parti Melayu yang menggantikan Umno gagal apabila parti itu bekerjasama dengan parti itu ketika membentuk kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN)

“Kita harus ingat, kita tubuh Bersatu bukan sebagai parti campuran, seperti parti-parti lain. Kita tubuh Bersatu untuk orang Melayu dan Bumiputra. Sebabnya, Umno tidak lagi mengutamakan Melayu dan Bumiputra. Itu sebab kita tubuh Bersatu.

“Bila kita hancurkan Bersatu, kerana tindakan Umno, maka hilanglah parti Melayu uang berhasrat berjuang untuk bangsa, negara dan agama kerana Umno bukan lagi macam itu. Umno sekarang ini hanya berjuang untuk Datuk Seri Najib tetapi kita terjebak kerana tidak diberitahu,” kata Mahathir dalam ucapan itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpendapat, Muhyiddin Yassin masih boleh kekal sebagai perdana menteri jika beliau menyertai semula Umno.

Menurut Tajuddin, caranya ialah dengan membawa presiden Bersatu itu menyertai Umno – parti yang pernah menyingkirkannya suatu ketika dulu.

Kata Tajuddin dengan cara itu tidak perlu lagi kedua-dua parti bersaing sesama sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, seperti dinyatakan beberapa pemimpin kanan Umno sebelum ini.

Ini berikutan cakap-cakap bagaimana caranya kedua-dua parti mahu bersaing dalam pilihan raya umum akan datang sedang mereka berada dalam pasukannya yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN).

Mengulas isu ini, Tun Dr Mahathir berkata, Bersatu bakal terkontang kanteng dalam pilihan raya umum akan datang.

“Apabila datangnya pilihan raya, Bersatu berharap Umno tidak akan mencabar di kawasan-kawasan yang Bersatu bertanding. Tetapi Umno berkata mereka akan bertanding di semua kawasan biasa mereka termasuk yang diduduki oleh Bersatu sekarang termasuk di kawasan wakil rakyat Bersatu yang keluar dari Umno.

“Jadi apa kedudukan Bersatu. Di satu pihak mereka tidak dapat sokongan Umno, di satu pihak lain mereka tidak dapat sokongan parti PH.

“Jadi tinggal Bersatu ini terkontang kanteng, tiada daratan. Tidak tahu di mana mahu tinggal. Dan sudah tentu jika ada pilihan raya, tidak mungkin Bersatiu kekalpun, besar kemungkinan Bersatu akan kalah teruk,”kata bekas perdana menteri itu.

Tiada ulasan: