"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabaran terbesar politik Malaysia:Masa depan negara bagai telur di hujung tanduk

LIEW CHIN TONG

Masa depan negara bagai telur di hujung tanduk, dan cadangan pemerintahan darurat oleh pentadbiran Muhyiddin adalah bermulanya kehancuran yang entah bila penghujungnya. Ada banyak cara lain yang lebih baik untuk menangani wabak Covid-19, tetapi pemerintahan darurat bukanlah jawapannya.

Banyak juga cara lain untuk menguruskan perbezaan politik.

Dalam sejarah sepanjang dua puluh tahun lalu, negara pernah berdepan kebarangkalian pemerintahan darurat pada malam keputusan pilihan raya 2008.

Saya dilantik buat kali pertama sebagai Ahli Parlimen pada 8 Mac 2008 ketika tsunami politik membadai sehingga Barisan Nasional buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga sejak 1969, selain kehilangan negeri Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pemerintahan Darurat?

Pada malam itu, beberapa pimpinan Umno meminta Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menimbulkan kacau bilau dan melaksanakan darurat. Mujurlah, meskipun lemah, Pak Lah menolak idea tersebut dan meneruskan sidang media pada jam 2 pagi pada 9 Mac 2008 untuk menerima keputusan PRU dengan hati terbuka.

Dalam usaha menubuhkan kerajaan negeri Perak pada minggu-minggu selepas 8 Mac 2008, wujud usaha menubuhkan kerajaan Melayu pakatan Umno-PAS yang disokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang – namun ditolak Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Nik Aziz secara bersendiri telah melengahkan pakatan PAS-Umno selama satu dekad. Selepas kematian beliau, impian para pimpinan konservatif menjadi kenyataan. Muafakat Nasional ditubuhkan secara rasmi pada 2019 walaupun Umno dan PAS telah berpakat dalam diam sejak 2014.

Pada 2015, kerajaan Najib mengemukakan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang membenarkan Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan. Ia merupakan satu-satunya undang-undang yang digazet tanpa perkenan diraja. Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong jelas memperlihatkan rasa tidak sedang terhadap cubaan memberikan kuasa darurat kepada Perdana Menteri.

Pada 9 Mei 2018, beberapa orang Raja Melayu, pimpinan politik utama, dan pimpinan polis serta Angkatan Tentera telah mengiktiraf mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan. Tiada sebarang insiden pada malam PRU14, dan sebuah kerajaan baharu ditubuhkan keesokan harinya.

Walaupun mentadbir secara kleptokratik dan dengan tebal muka, Najib pun tidak berani melampaui batas dengan mengumumkan darurat dalam demikian banyak krisis politik yang beliau hadapi.

Bagaimana demokrasi berfungsi

Rakyat Malaysia yang telah berusaha keras untuk memastikan demokrasi terus hidup tidak pernah merasakan krisis yang lebih teruk berbanding yang terjadi pada 23 Oktober 2020. Ia lebih teruk daripada mana-mana pengalaman saya pada zaman ini.

Jika mana-mana Perdana Menteri dan parti yang menyokongnya dapat mengisytiharkan darurat hanya atas kemungkinan tewas dalam pengundian Belanjawan di Parlimen, akan wujud kemungkinan salah guna yang lebih dahsyat.

Ini bermakna mereka yang berkuasa boleh berbuat apa sahaja setiap kali kuasa mereka diancam. Jika kerajaan sedemikian boleh mentadbir tanpa kebertanggungjawaban kepada pengundi dan rakyat, pilihan raya sudah tiada erti lagi; apatah lagi pilihan raya yang adil dan bebas.

Tetapi kita tidak boleh terburu-buru memadamkan lampu demokrasi berparlimen tanpa mencari jalan keluar daripada kebuntuan politik. Ada banyak cara untuk kerajaan berfungsi dengan baik dalam sebuah demokrasi berparlimen. Kalau pun anda tidak mempunyai majoriti, anda masih boleh mentadbir sebagai kerajaan minoriti dengan perjanjian ‘confidence and supply’ bersama parti-parti lawan.

Apa maksudnya? Ia adalah satu set perjanjian sah tanpa perlu membeli Ahli Parlimen. Parti pembangkang yang bersetuju dengan perjanjian tersebut tidak akan menjadi penyebab kerajaan tumbang dan akan menyokong Belanjawan selagi mana pandangan mereka dipertimbangkan.

Institusi parlimen telah wujud selama ratusan tahun di United Kingdom dan negara-negara lain disebabkan masyarakat mereka mempunyai percanggahan. Percanggahan tersebut, tidaklah pula menyebabkan pertengkaran dan pergaduhan di jalanan, tetapi dibawa ke Parlimen untuk mencari jalan kompromi dan penyelesaian.

Jika kerajaan mahu meluluskan rang undang-undang namun tidak mempunyai majoriti, ia boleh menghantar rang undang-undang itu kepada sebuah jawatankuasa dwipartisan untuk mendapat pandangan pembangkang. Jika kedua-dua pihak bersetuju, contohnya, terhadap 70 peratus daripada cadangan rang undang-undang terbabit, kerajaan mempunyai pilihan sama ada mengajukan bahagian yang telah dipersetujui kepada Parlimen dan menangguhkan bahagian-bahagian yang tidak dipersetujui; atau pun mengambil risiko tidak meluluskan langsung rang undang-undang terbabit.

Kini, kerajaan Perikatan Nasional yang tidak pernah diundi oleh rakyat sedang berdepan kemungkinan kalah dalam PRU akan datang. Jika darurat diisytihar, adakah ini bermakna mereka akan terus memerintah dalam keadaan darurat buat selama-lamanya?

Pada Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu gembira apabila diberitahu bahawa beliau sangat popular dan boleh menang besar jika PRU diadakan. Sekarang ini, saya rasa penasihat-penasihatnya mungkin telah memberitahu beliau bahawa gabungannya tidak boleh menang lebih daripada 120 kerusi, bahkan mungkin kurang lagi daripada itu.

Menyelamatkan demokrasi

Dari sudut undi popular, Malaysia berada pada kadar 50-50 sejak tahun 2008. Pada tahun 2008, BN menang 51% undi popular, manakala pada tahun 2013 ia mendapat 47%. Pada 2018, dalam konteks pertembungan tiga penjuru, Pakatan Harapan menang 48% undi popular.

Daripada memilih untuk berkuasa secara separa diktator, tugas utama Perdana Menteri dalam demokrasi ialah untuk bekerjasama dengan pembangkang secara dwipartisan. Zaman menghancurkan pembangkang dengan penganiayaan dan pemerintahan darurat telah berakhir. Rakyat tidak akan membenarkan ia berlaku.

Mitos bahawa rakyat Malaysia tidak peduli tentang politik dan rela menyaksikan pemerintahan darurat selagi mana kelangsungan ekonomi mereka tidak terganggu adalah satu pendapat yang salah. Jika kita tidak peduli tentang hak-hak demokratik, tidak mungkin 83% pengundi keluar mengundi pada 9 Mei 2018.

Sebarang usaha untuk melaksanakan pemerintahan darurat akan meninggalkan parut yang dalam selain perpecahan yang teruk dalam kalangan masyarakat. Ia menjadikan pilihan raya dan keputusan rakyat langsung tidak bermakna. Marilah kita menjauhi daripada jurang kehancuran dan menyelamatkan demokrasi daripada ujiannya yang paling getir sejak 2008.

Tiada ulasan: