"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagus Peguam Negara PN tak akan dakwa menteri, sindir Shahrir Samad

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemimpin Umno menyindir tindakan Peguam Negara yang mengarahkan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Datuk Khairuddin Aman Razali, atas alasan menteri itu tidak diberikan borang menjalani perintah kuarantin.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, jika diikutkan, individu lain yang dikenakan kuarantin juga tidak mempunyai apa-apa borang.

Beliau secara sinis berkata, tugas Peguam Negara di bawah kerajaan Muhyiddin nampaknya adalah untuk mempertahankan menteri-menteri.

“Bagus Peguam Negara PN ni. Tak akan dakwa Menteri PN di atas sebab menteri tidak diserahkan borang-borang tertentu. Ikutkan mereka yang kena kuarantin, tak ada borang pun.

“Tapi agaknya memangnya tugas Peguam Negara mempertahankan menteri-menteri.

“Tommy Thomas gugurkan kes Lim Guan Eng, kes LTTE dan kes pembantu rumah warga Indonesia yang mati di luar rumah, semua kes yang lagi besar.

“Peguam Negara PN pula (gugurkan) setakat kes Menteri yang tidak kena kuarantin,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Hari ini, Peguam Negara menggugurkan kes Khairuddin yang juga Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi, selepas tiga bulan kertas siasatan dibuka dan bertukar tangan antara peguam dan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), polis menerima arahan agar tiada tindakan lanjut diambil terhadap Menteri terbabit.

“Kertas siasatan telah rujuk ke pejabat peguam negara dan arahan untuk kes ini ‘no further action (NFA), atas alasan menteri tak diserahkan dengan borang 14b di bawah seksyen 15 (1) akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Tiada ulasan: