ZAKARIA MUSA Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH
Perbalahan terbuka Umno dan Bersatu sudah dijangka sejak kedua-dua parti itu berkomplot membentuk kerajaan pintu belakang, Mac lalu. Tanpa dilandasi prinsip-prinsip bersama tetapi hanya didorong oleh kepentingan sempit, langkah khianat yang didukung oportunis politik itu dilihat terbuka untuk aksi pengkhianatan seterusnya.
Kerajaan tanpa mandat rakyat, tanpa manifesto itu, tanpa dipandu haluan besar bersama gabungan Perikatan Nasional (PN), hanya menunggu masa untuk bercempera. Memang ketamakan tidak pernah berakhir.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bernasib baik apabila kerajaan yang berdiri dengan hanya majoriti tipis dua undi itu terselamat kerana gabungan pembangkang turut bertelingkah. Oposisi gagal mencari kata sepakat untuk menamakan calon perdana menteri. Penyokong kem masing-masing menghalakan serangan sesama sendiri.
Perseteruan di antara kem Dr Mahathir Mohamad dan kem Anwar Ibrahim bagai sukar diredakan lagi. Ia kembali seperti suasana zaman Reformasi, 1998 dahulu. Seolah-olah tiada lagi kepercayaan di antara kedua-duanya. Malah, usaha damai yang digerakkan untuk merapatkan dua negarawan itu diperlekehkan secara terbuka.
Justeru, “kerajaan tebuk atap” yang serba pincang itu masih sukar ditumbangkan disebabkan parti-parti pembangkang gagal menguruskan perbedaan mereka. Tidak perlu disenaraikan kelemahan-kelemahan ketara sepanjang tujuh bulan PN mentadbir; rakyat menyaksikan dan merasai sendiri, apatah lagi pandemik Covid-19 semakin tidak terkawal. Amalan dua darjat menyerlahkan sikap hipokrasi kerajaan apabila orang awam dihukum, manakala menteri dilepaskan walaupun melakukan kesalahan sama.
Rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab memilih pada PRU14, lebih dua tahun lalu, kini seakan-akan pasrah dengan apa sahaja permainan kuasa elit politik. Tumpuan hanya pada 222 ahli Parlimen yang mengatur gerak penuh muslihat. Dalam sifir yang praktikal, hitungannya terarah kepada ahli-ahli Parlimen Umno. Kita memang tiada banyak pilihan lagi. Ini bukan situasi yang ideal.
Apakah dengan pengumuman “gencatan senjata” dan dukungan terhadap kerajaan PN oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, maka usaha peralihan kuasa yang didakwa Anwar sebulan lalu sebagai sudah mempunyai “cukup bilang” kini telah berakhir?
Apakah sokongan selesa dan meyakinkan, dipercayai datang daripada wakil rakyat Umno kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu, terbatal dengan keputusan Zahid itu? Apakah sudah ada persefahaman lebih mesra dan saling mempercayai di antara Umno dan Bersatu, ataupun Muhyiddin telah memberi komitmen positif terhadap tuntutan Umno?
Secara semulajadi, pastinya setiap parti bercita-cita besar mahu memperkukuh dan mengembangkan kedudukan masing-masing. Umno, Bersatu dan Pas umumnya merupakan parti Melayu yang berebut pengaruh serta sokongan di konstituensi yang sama.
Maka tidak pelik jika timbul persaingan tajam di antara ketiga-tiga parti itu. Apatah lagi di antara Bersatu dan Umno; Bersatu lahir untuk menggantikan Umno yang sudah menyimpang daripada perjuangan asal. Bersatu hanya mampu tumbuh subur apabila pengaruh Umno dapat disekat. Manakala Umno hanya mampu pulih semula jika Bersatu dihalang pengembangannya.
Umno pernah menerajui kerajaan, dalam gabungan parti yang dikuasainya hampir secara mutlak selama lebih 60 tahun, maka sudah tentu rimas dengan posisi terhad-terbatas bersama Muhyiddin. Congak atas kertas, muafakat bersama Pas memadai untuk Umno kembali kepada kedudukan asal.
Kerjasama dengan Bersatu yang khianat terhadap Pakatan Harapan (PH) memang membolehkan Umno bersama kerajaan (walaupun kalah PRU14) tetapi ia terpaksa bersaing untuk kembali sebagai parti Melayu terbesar. Dalam keadaan dibuli Bersatu dan diketepikan daripada posisi strategik kerajaan, Umno melihat jalan mati di depannya.
Umno masih mempunyai ahli Parlimen teramai, 39 orang, meskipun selepas 15 wakil rakyatnya menyertai Bersatu. Namun, jumlah yang signifikan itu tidak diterjemahkan secara seimbang dalam komposisi jemaah menteri PN.
Malah, pembentukan Kabinet Sabah selepas pilihan raya negeri baru-baru ini menjadi bukti terkini pergeseran Umno-Bersatu tidak pernah reda, sebaliknya tambah membara.
Dalam sistem berkerajaan di Malaysia, kuasa seorang perdana menteri adalah segala-galanya. Bidang cakupannya cukup meluas. Cuma semasa pentadbiran PH tempoh hari, mesyuarat Majlis Presiden dapat juga berfungsi sebagai semak-imbang.
Itu pun, keberkesanannya sering dipersoalkan. Majlis Presiden PH mempunyai struktur dan keanggotan yang jelas. Walhal, PN hanya kerjasama longgar. Pemimpin-pemimpin kanan Umno secara konsisteh kerap meluahkan sikap yang cukup negatif terhadap PN.
Dalam Kabinet Muhyiddin yang tiada jawatan timbalan perdana menteri itu, diwujudkan empat menteri kanan. Menteri kanan terkanan disandang Azmin Ali, mewakili Bersatu.
Menteri kanan Umno berada di lapisan bawahnya. Menteri Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga dilantik, manakala seorang lagi menteri Bersatu mengisi satu lagi slot menteri kanan. Jelas, kerajaan Muhyuddin-Azmin mengutamakan Bersatu dan menyisihkan seteru ketat, Umno.
Gencatan senjata yang diisytihar Zahid semalam hanya perdamaian sementara dan bersifat taktikal. Penularan Covid-19 menjadi alasan utama. Namun, sebaliknya ia mendedahkan bahawa konfrontasi Umno-Bersatu, yang berada dalam sebuah kerajaan sama, terpaksa dikendurkan demi muslihat politik.
Maknanya, bukan sangat atas kepentingan rakyat dan negara. Bayangkan bagaimana kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan, dalam keadaan anggota pentadbirannya saling bersengketa dan bermusuhan. Mereka sebenarnya masih dalam mood “berperang”, cuma mungkin tiada lagi serang menyerang dalam keadaan terbuka.
Soalan yang timbul daripada sikap politik Umno, yang dizahirkan Zahid itu, apakah usaha memartabatkan kembali mandat rakyat seperti dilakukan Anwar sudah berakhir atau menemui jalan buntu?
Benarkah Anwar dipermainkan atau dipergunakan oleh ahli-ahli Parlimen Umno sebagai umpan bagi mendapatkan habuan lebih besar daripada Muhyiddin? Atau, kisah mendebarkan ini belum akhir?
Zahid sendiri tidak boleh mengawal ahli-ahli Parlimen Umno, yang berpecah kepada beberapa fraksi itu? Justeru, episod tarik-menarik ini akan terus berlanjutan, walaupun mungkin dalam tempo berbeda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan