"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Khairuddin Takiri, implikasi undang-undang 2 darjat, kata peguam

SITI NUR ZAWANI MISCON

Keputusan Peguam Negara melepaskan Menteri Pembangunan Komoditi dan Perladangan, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyebabkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa undang-undang dijalankan secara dua darjat.

“Secara rumusan, keputusan Peguam Negara menimbulkan lagi pelbagai persoalan lanjut yang membuatkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa kononnya undang-undang dijalankan secara dua darjat,” kata peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdullah.

Beliau tampil memberikan penjelasan beberapa persoalan berkaitan dengan perundangan, berhubung keputusan Peguam Negara yang menggugurkan kes menteri dari Pas itu.

Beliau berkata, adakah borang 14b yang dijadikan alasan penguguran kes Khairuddin itu terpakai dalam isu kuarantin kendiri kepada seorang menteri yang pulang dari luar negara.

Menurutnya, borang tersebut adalah dengan sendirinya bertajuk ‘Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi konteks jangkitan 2019’, secara khusus terpakai kepada kontak kepada pesakit Covid-19.

Bagaimanapun katanya, perintah kuarantin kendiri yang wujud pada ketika itu adalah arahan kerajaan yang menetapkan sesiapa kembali dari luar negara, wajib menjalani kuarantin kendiri sama ada kontak atau tidak.

“Selain itu adakah di bawah seksyen 15(1) Akta 342, menetapkan mana-mana pegawai mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan atau tidak borang tersebut.

“Dari pembacaan seksyen tersebut secara ringkas, tidak pun wujud budi bicara atau hak kepada mana-mana pegawai yang melaksanakan tugas itu untuk tidak mengeluarkan borang kepada sesiapa.

“Tapi kalau ada budi bicara, kenapa dilakukan memihak kepada menteri ini. Adakah kerana diminta atau diarahkan pihak-pihak tertentu?,” soalnya dalam satu rakaman video hari ini.

Semalam Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak polis untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi atas alasan tidak diserahkan borang menjalani kuarantin diri.

Perkara itu diputuskan selepas tiga bulan kertas siasatan bertukar tangan antara Peguam Negara dan pihak polis yang kemudiannya memutuskan No Further Action (NFA).

Pada masa sama, Haniff bertanya sekiranya Khairuddin sendiri yang meminta kepada pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak memberikan borang arahan kuarantin kerana tidak ingin tertakluk kepada kuarantin kendiri.

“Atau adakah kerana beliau menteri dan pegawai KKM berpendapat tak perlu keluarkan borang?”kata beliau.

Tiada ulasan: