"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu kehilangan dana RM1 bilion berkait projek 6 kapal tempur pesisir pantai

Jauhi lembaga pengarah LTAT, Boustead, Patriot beritahu ahli politik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengulangi gesaannya kepada ahli politik supaya tidak melibatkan diri dalam lembaga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings (Boustead).

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, hanya mereka yang berkelayakan harus dilantik memimpin badan berkenaan.

“Ahli politik tidak harus dilantik untuk menjalankan agenda politik naungan kerana ia merupakan kronisme dan amalan berpihak dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah barah yang bakal membawa kepada muflis.

“Oleh sebab itu Patriot sentiasa betegas bahawa hanya mereka yang berkelayakan harus dilantik ke dalam lembaga LTAT dan Kumpulan Boustead,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota tentera yang akhirnya akan menerima padah apabila syarikat berkenaan tidak mencapai prestasi yang baik susulan ketidakcekapan individu yang dilantik.

Arshad juga membangkitkan isu kehilangan dana RM1 bilion berkait projek 6 kapal tempur pesisir  pantai (LCS) yang disebut oleh bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong baru-baru ini.

Liew mendesak kerajaan supaya menyiasat kehilangan dana berkenaan selepas didedahkan bahawa RM5.94 bilion daripada RM9 bilion telah dibayar setakat ini kepada projek LCS walaupun ia masih belum disiapkan.

“Apabila terdapat banyak laporan buruk mengenai anak syarikat Boustead, BHIC Navaltech dan kontraktor Boustead Naval Shipyard mengenai isu projek LCS, pihak pengurusan LTAT dan Boustead Group terus berdiam diri.

“Dana RM1 bilion yang hilang itu mungkin tidak masuk ke akaun Boustead Naval Shipyard dan kelihatan ia telah diselewengkan,” kata Arshad, sekali gus menggesa Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menteri supaya memberi penjelasan segera mengenai isu berkenaan.

“Pihak pengurusan LTAT dan Kumpulan Boustead tidak harus menyembunyikan sebarang kesalahan jenayah jika dana RM1 bilion itu digunakan secara tak sah.”

Beliau berkata, mana-mana pemimpin korporat yang telus akan segera memepertahankan kedudukannya atau sekurang-kurangnya cuba mengurangkan kerosakan yang berlaku.

Beliau juga menyalahkan Mindef dan kerajaan atas masalah yang timbul dalam isu LCS dengan berkata, ia “disebabkan perbuatan berlengah-lengahkan kelulusan kontrak tambahan dan lanjutan masa yang diminta oleh kontraktor”.

Berhubung pengumuman baru-baru ini bahawa LTAT diberikan lanjutan masa sehingga 2 Feb, 2021 untuk memutuskan cadangan pelan penswastaan Boustead, Arshad berkata, ia merupakan lanjutan ke-2 yang diberikan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak LTAT pertama kali mengumumkan pelan penswastaan itu pada Mei.

“Kegagalan membuat keputusan menunjukkan kelemahan pengurusan dan tidak adil kepada pelabur. Pelan penswastaan mempunyai harga tawaran sebanyak 80 sen sesaham.

“Secara tidak langsung, ia menjadi sekatan ke atas kenaikan harga saham Boustead melebihi 80 sen dan menekan harga saham 4 syarikatnya yang tersenarai, iaitu Affin Bank Bhd, Boustead Plantations Bhd, Pharmaniaga Bhd dan BHIC,” katanya.

Pada Julai, Boustead mengumumkan pelan transformasi untuk tempoh 3 tahun akan datang.

“Namun setakat ini, kami tidak diberikan maklumat terperinci mengenai pelan berkenaan. Lembaga pengarah LTAT dan Boustead nampaknya hanya pandai dalam membuat pengumuman, bukannya mengambil tindakan penentu.

“Lembaga gagal memberikan hala tuju jelas kepada kumpulan,” kata Arshad.

LTAT menguasai 59.42% Boustead Holdings Bhd, dengan kepentingan meliputi sektor perladangan dan kewangan.

Tiada ulasan: