"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Cinta pertama’ Pas tidak mungkin padam, Muhyiddin makin tergugat

FAIZ FADZIL

Keputusan Umno untuk terus mengukuhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas, tetapi pada masa yang sama tidak begitu memberikan komitmen kepada Perikatan Nasional (PN) menunjukkan gabungan politik pintu belakang ini semakin rapuh umpama retak menanti belah.

Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semakin tergugat dan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan.

Pas dilihat lebih setia kepada Umno berbanding Muhyiddin kerana telah menjalin hubungan rasmi dengan Umno sebelum berlaku Langkah Sheraton lagi, umpama cinta pertama tidak mungkin padam.

Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik Umno, tetapi kerana Pas yang tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin kerana masih bermain mata dengan Umno.

Walaupun Pas memilih untuk turut menyertai PN, tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil Umno dan Pas sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Pas yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi.

Dalam keadaan Muhyiddin yang tenat sekarang untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri yang diasak oleh pemain politik.

Pengaruh beliau di hati rakyat pula semakin merosot ekoran tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Khairuddin Aman Razali (at-Takiri) daripada didakwa atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin selepas pulang dari Turki.

Sikap Pas yang menikam belakang Muhyiddin bakal menyebabkan jatuhnya ‘Abah’.

Menteri Pas tersebut dikritik teruk oleh rakyat dan memberikan imej negatif kepada Muhyiddin kerana sikap double standard. Kini, rakyat tidak lagi peduli jika Muhyiddin tersingkir.

Pas adalah pihak yang kuat menyokong permohonan darurat walaupun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, sikap Pas yang menikam belakang Muhyiddin bakal menyebabkan jatuhnya Muhyiddin.

Apatah lagi PPBM bertindih kerusi Parlimen dengan Umno dan Pas, sudah pasti PPBM akan diketepikan setelah habis madu kelak.

Hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik Pas dalam politik ini, hanya masa yang menentukan.


*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tiada ulasan: