"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SELAIN JANGGAL DAN TAK SESUAI, MELANTIK HISHAMMUDDIN TPM HANYA MENJADIKANNYA ‘KAYU KERING’ UNTUK MEMBAKAR UMNO

Shahbudin Husin

Walaupun sebelum ini dilaporkan Muhyiddin Yassin sedang menunggu nama daripada UMNO untuk dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, perkhabaran yang berlegar daripada pelbagai sumber mengatakan calon bagi jawatan itu telah pun diputuskan.

Muhyiddin dikatakan telah membuat pilihan berdasarkan pertimbangannya sendiri dan meminta UMNO untuk menyetujuinya.

Disebut-sebut calon yang bakal dilantik itu ialah Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Sembrong dan Menteri Luar Negeri sekarang.

Ada yang menyebut perlantikan itu akan dibuat Jumaat ini, tetapi ada juga yang mengatakan ia akan dilakukan minggu depan sebelum Sidang Parlimen bermula pada 2 November.

Sekiranya perlantikan itu benar-benar menjadi kenyataan, bermakna Presiden UMNO, Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dengan sendirinya terpelanting jauh dan diketepikan untuk mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, walaupun berjawatan kanan dalam parti.

Jika benar, sesuaikah Hishammuddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Atas kedudukan sebagai Perdana Menteri, memang menjadi prerogatif Muhyiddin untuk melantik sesiapa saja sebagai timbalannya.

Tetapi, ketika UMNO berkuasa sekali pun, prerogatif itu tidak pernah digunakan sepenuhnya, sebaliknya tetap mengambil kira hireaki seseorang itu dalam parti di mana Timbalan Perdana Menteri sama ada dilantik daripada penjawat Timbalan Presiden atau Naib Presiden UMNO.

Tidak pernah Ahli MT biasa atau Ketua UMNO Bahagian semata-mata mencipta sejarah melangkau kepala semua otai-otai untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Oleh kerana Hishammuddin tiada kedudukan dalam hieraki kepimpinan, sedemikian itu adalah amat tidak sesuai, sangat janggal dan cacat dari segi tradisi serta kebiasaan UMNO jika Muhyiddin tetap juga ingin melantik Ahli Parlimen Sembrong itu sebagai Timbalan Perdana Menteri

Itu faktor yang pertama dan yang kedua pula, oleh kerana Hishammuddin tiada dalam hieraki UMNO, sudah tentu namanya tidak dicadangkan untuk mengisi jawatan tersebut oleh UMNO.

Dalam syarat-syarat baru yang diputuskan Biro Politik UMNO baru-baru ini, antara ketetapan yang digesa ialah jawatan dalam kabinet mesti mengikut kedudukan seseorang itu dalam kepimpinan parti.

Bermaka, jika Hishammuddin dilantik juga, Muhyiddin secara terang-terangan tidak menghormati UMNO sebagai parti terbesar dalam PN, tidak hornat kepada hieraki dan sekali lagi membuli UMNO.

Dalam keadaan UMNO bekerjasama dalam PN dan Muhyiddin daripada Bersatu, namanya pun bekerjasama, bermakna beliau mesti mengambil kira untuk melantik seseorang yang berada dalam hieraki dan dicadangkan oleh UMNO.

Ketiga, katalah Muhyiddin tetap berpegang kepada pendirian awalnya tidak mahu melantik Zahid Hamidi kerana Presiden UMNO itu masih ada kes mahkamah, walaupun pendirian itu telah pun dicabulinya dengan melantik Bung Mokhtar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, kenapa tidak melantik Mohamad Hassan atau Ismail Sabri Yaakob?

Apakah Timbalan Presiden UMNO atau Naib Presiden UMNO lebih rendah taraf kelayakannya berbanding Hishammuddin yang cuma Ketua UMNO Bahagian Sembrong semata-mata?

Keempat, Muhyddin dan Hishammuddin datang daripada negeri yang sama iaitu Johor.

Meskipun bukan suatu kesalahan, tetapi tidak pernah berlaku dan di luar kebiasaan selama ini seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri datang daripada negeri yang sama.

Apabila pemegang dua jawatan itu datang daripada negeri yang berbeza, apalagi dalam kalau kedua-duanya tidak sama parti, barulah ia menampakkan keadilan dan kesamarataan dalam konteks memastikan pembangunan yang seimbang untuk negara.

Kelima, sebaik UMNO kalah pada PRU14 lalu, Hishammuddin telah mengambil pendirian tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan tahun 2018, sekaligus menyepi seketika daripada sebarang aktiviti parti di peringkat kebangsaan.

Sebelumnya, beliau adalah Naib Presiden UMNO dan sebelum itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Bererti, dalam pasca memulihkan parti sebaik hilang kuasa pada 2018, Hishammuddin bukanlah seorang yang dikira kental jiwanya dan sanggup meneruskan perjuangan di kala UMNO berada dalam kesusahan.

Beliau hanya mula memunculkan diri setelah UMNO mula diterima dan kembali mendapat keyakinan rakyat, manakala tidak sampai dua minggu lalu dilantik sebagai Bendahari Agung BN.

Keenam, Hishammuddin juga dikaitkan sebagai individu yang dikhabarkan berperanan menarik keluar pemimpin-pemimpin UMNO menyertai Bersatu ketika Tun Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

Selain itu, beliau juga dipercayai mengatur sejumlah belasan Ahli Parlimen UMNO mengadakan pertemuan pada waktu malam di rumah Azmin Ali, kononnya untuk berbincang mengenai projek pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, tidak lama sebelum runtuhnya kerajaan PH.

Maka itu, kebersihan dan keikhlasan hati Hishammuddin terhadap perjuangan UMNO, baik di kala senang dan susah, adalah pertikaian terbuka di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri sehingga hari ini yang membuatkan beliau sebenarnya tidak layak untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri mewakili UMNO.

Berdasarkan faktor-faktor yang dibentangkan, perlantikan Hishammuddin, kiranya menjadi kenyataan, bukan saja janggal, tidak kena dari segi tradisi dan kebiasaan, suatu bentuk pembulian, malah akan menjadikan UMNO terus kucar-kacir, berpecah serta lemah untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Sekaligus, ia adalah lorongan untuk Muhyiddin dan Bersatu terus kekal berkuasa dengan lebih lama lagi.

Untuk itu, andai kata khabar pelantikan anak Hussein Onn ini suatu kenyataan, selain UMNO mesti menarik diri dengan segera daripada terus berada dalam PN, Hishammuddin sendiri wajar menolaknya, melainkan beliau tak kisah dijadikan “kayu kering” oleh Muhyiddin untuk ‘membakar’ dan memusnahkan masa depan UMNO. (Shahbudindotcom 29/10/2020)

Tiada ulasan: