"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mapim: Jika benar ada khianat, SPRM umpama pagar dah reput

Haspaizi Zain

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diumpamakan seperti "pagar yang sudah reput" jika benar ada kakitangan badan itu melesapakan AS$6 juta (24 juta) milik individu yang disiasat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perkara sebegitu tidak boleh dikompromi kerana agensi terbabit memang diamanahkan untuk membanteras rasuah.

"Tidak ada yang boleh dikompromi jika yang pihak diberi amanah membanteras rasuah dalam sebuah agensi khas tiba-tiba dianggotai oleh mereka yang mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata berita mengenai beberapa pegawai kanan SPRM ditahan kerana disyaki melesapkan sebahagian daripada wang tunai AS$6 juta yang menjadi barang kes dalam simpanan mereka bukan sahaja mengejutkan malah mencalar imej mereka.

"Jika terbukti berlaku, ini bukan setakat harap pagar, pagar makan padi, tetapi ia sudah sampai keperingkat pagar yang ada sudah reput dan mudah dibolos dari luar dan dalam kawasan padi itu sendiri," katanya merujuk kepada peribahasa Melayu yang terkenal.

Pada 20 Sept lalu SPRM mengesahkan menahan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap "seorang bekas ketua jabatan."

Menegaskan mereka tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah, SPRM juga berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

Tak guna ada gedung besar

SPRM juga menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan. 

Polis Diraja Malaysia pula mengesahkan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan. 

Bagaimanapun tindakan SPRM menahan dan menyiasat sendiri kes tersebut dibidas pelbagai pihak yang berpendapat ia sepatutnya dilakukan badan bebas serta telus.

Mohd Azmi berkata dengan kemungkinan berlaku kepincangan seumpama itu dalam SPRM tiada lagi yang boleh diharapkan oleh orang ramai untuk membersihkan Malaysia daripada penyakit rasuah.

"Kes yang berlaku perlu segera diambil tindakan kerana SPRM akan berdepan dengan imej yang parah jika kes ini berlarutan menjadi perbahasan rakyat.

"Tidak guna SPRM memiliki gedung pejabat yang besar dan nampak hebat akan tetapi imejnya sebagai agensi pencegah rasuah tidak diyakini rakyat.

"Kami menegaskan jika SPRM sendiri tidak diyakini integritinya dalam menguruskan gejala rasuah, seluruh integriti urus kelola kerajaan akan turut dipersoalkan," katanya lagi.

Mohd Azmi juga berpendapat ketika ini kerajaan tidak menunjukkan keazaman yang kuat untuk membanteras amalan rasuah bersifat institusional.

Sebaliknya, kata Mohd Azmi, kerajaan terus berdolak-dalik untuk membanteras amalan rasuah politik dan ia kian menghakiskan keyakinan rakyat untuk melihat Malaysia boleh bersih daripada rasuah.

"Politik wang terus menggejala di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: