"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis: Tular video, mesej lucah ganggu siasatan kes Ebit Lew

Hakimie Amrie Hisamudin

GOMBAK: Video dan pesanan teks tidak senonoh yang menjadi tular di aplikasi Telegram didakwa membabitkan pendakwah popular Ebit Lew telah mengganggu siasatan yang sedang dijalankan, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata, polis telah membuka kertas siasatan sebelum ini untuk membantu dakwaan gangguan seksual yang dibuat ke atas pendakwah dan dermawan selebriti itu.

“Ini menunjukkan ada gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan pihak polis atas kes tersebut,” kata beliau, merujuk kepada penularan video dan pesanan teks berkenaan di media sosial.

Sehubungan itu, Abd Jalil menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah itu agar memaklumkan polis, bukan menyebarkannya di media sosial.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil terus ke Bukit Aman bagi membantu (pihak polis) melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan mengenai pesanan teks dan video terbaru yang dimuat naik di aplikasi Telegram itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ebit sebelum ini berkata, dakwaan ke atasnya bersifat fitnah dan kejam, dan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat hal berkenaan.

Abd Jalil menasihatkan orang ramai agar berhati-hati di media sosial dan tidak menggunakan platform ini untuk menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat atau mengancam keharmonian negara.

Sementara itu, Abd Jalil turut mendedahkan polis menumpaskan geng rompakan bersenjata dikenali sebagai Gang Amir@Kecik yang merompak beberapa kedai barang kemas di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Mei tahun ini.

Katanya, polis menjalankan 13 serbuan di Lembah Klang dalam Op Dulang mulai 13 hingga 20 Sept.

Seramai 23 rakyat Malaysia, termasuk dua wanita, berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan-serbuan berkenaan, namun dua lagi ahli geng yang menggunakan senjata parang dan kapak itu masih bebas.

Siasatan mendapati geng berkenaan mencuri barang kemas yang dianggarkan bernilai RM879,000.

Polis setakat ini menemui barang kemas bernilai RM393,348 yang dipercayai dicuri daripada empat kedai di Setapak, Seri Kembangan, Kepong dan Gombak.

Mereka juga merampas sebilah parang, tiga buah motosikal, tiga biji helmet dan 15 buah telefon bimbit, antara lainnya.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: