"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa 'ustaz', kongsi kisah hitam dorong mangsa lain tampil buat laporan polis

M Fakhrull Halim

“Mangsa takkan pernah lupa,” itu ayat terakhir dalam hantaran media sosial seorang wanita yang mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki bergelar ustaz.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sha menyifatkan kejadian hitam itu sebagai episod yang memberi kesan besar dalam hidupnya, sehingga dia sendirian menanggung derita bertahun-tahun lamanya, sedangkan ustaz itu tampak gembira bagai tiada apa berlaku.

Katanya, tujuan dia berkongsi semula kisah silam itu adalah untuk menggalakkan mangsa gangguan seksual tampil membuat laporan polis, meskipun jika setelah lama kejadian itu berlalu.

Ini ekoran negara dihebohkan dengan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang personaliti agama dan pendakwah terkenal.

Katanya, dalam kes berkenaan, dia difahamkan ada mangsa yang malu dan takut untuk tampil membuat laporan polis, dan ada pula yang takut menerima kecaman ramai jika berbuat demikian.

Meskipun kejadian yang menimpanya membabitkan ustaz berbeza, namun akuinya, dia sendiri bergelut untuk tampil ke depan.

Itulah yang menggerakkan hatinya untuk berkongsi kisah hitam sendiri - untuk memberi semangat kepada mangsa yang masih mencari-cari kekuatan untuk tampil ke hadapan, seperti dirinya sendiri beberapa tahun yang lalu.

Pernah cuba bunuh diri

Bahkan, akuinya, dia pernah cuba membunuh diri kerana berasakan hidupnya sudah tiada erti, semuanya gara-gara dihantui episod silam itu.

“‘Eh, takkanlah pakai niqab tapi nak bunuh diri?’ Ya. Sayalah orangnya. Hanya mangsa yang akan faham apa yang dia hadap, apa yang dia tanggung. Jangan tengok pada fizikal mangsa tapi selami keperitan mental yang dialami,” coret Sha dalam hantaran itu.

“Kenapa saya cerita balik? Cerita ini bukan untuk saya, tapi untuk mangsa yang lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

“Sebab sekarang ini, orang banyak hentam pada mangsa, buka pemangsa. Kesian pada mangsa, macam mana dia nak ke depan?” soalnya.

Dia sendiri hanya menemui kekuatan untuk membuat laporan polis pada tahun 2019, tiga tahun selepas kejadian cabul itu didakwa terjadi pada 2016.

Selepas kejadian itu, kata Sha, dia terkejut, tergamam, trauma dan buntu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya menangis dan enggan keluar daripada rumah, enggan makan, dan dihantui perasaan seolah-olah dirinya tidak berguna.

Lebih-lebih lagi, pada waktu itu, dia kurang kesedaran berkenaan gangguan seksual menyebabkan tidak tahu arah tuju hendak ke mana.

Katanya, dia mengambil masa yang lama untuk mengumpul kekuatan dalam dirinya, sebelum akhirnya membuat laporan polis pada 2019. Tetapi pada waktu itu, ustaz berkenaan sudah pun berada di luar negara.

'Kenapa baru sekarang?'

Antara yang menjadi ketakutan dalam kalangan mangsa sehingga enggan membuat laporan polis, kata Sha, adalah takut diperli dan diherdik pihak polis kerana terlalu lambat membuat laporan.

Begitupun, kata Sha, dia sendiri tidak berdepan masalah itu ketika membuat laporan polis.

Soalan tentang ‘kenapa baru sekarang’ membuat laporan memang ada dibangkitkan, tetapi ia lebih kepada sebahagian daripada proses mengambil keterangan, dan bukanlah disoal bagi tujuan menyindir.

Pun begitu, katanya, mungkin lain orang mungkin lain pula pengalamannya.

Ketakutan seterusnya, kata Sha, adalah kerana mangsa bimbang tidak akan dipercayai apabila membabitkan pemangsa yang berlatarbelakangkan agama, selain takut dipersalahkan.

“Kemudian kita pendamkan, kita tak boleh bercakap. Bila kita bercakap, orang takkan percaya, sebab orang kenal ustaz itu,” katanya berkongsi pengalaman sendiri.

Nasihat Sha buat mangsa gangguan seksual, terutamanya yang telah lama memendam perasaan akibat peristiwa yang telah lama berlaku - jangan takut. Semua rekod perbualan, atau hantaran media sosial boleh dijejak pihak polis, biarpun setelah ia dibuang.

“Memang orang akan cakap macam-macam, tapi sebenarnya polis lindungi kita, dia tak bagitahu (dedahkan) identiti kita. Jangan risau, kalau kita dah padam pun perbualan ke, video ke, peti suara ke, mesej ke, di Instagram ke, boleh jejak balik,” katanya.

Dia sendiri masih menyimpan mesej pengakuan ustaz berkenaan yang meminta maaf atas kejadian yang berlaku itu, begitupun permohonan maaf itu hadir dengan kata-kata bujukan betapa sesungguhnya ‘semua manusia pernah membuat kesilapan’.

“Kita manusia biasa - itulah alasan dia. Dan tak mustahil dia akan buat benda yang sama kepada orang lain (pada ketika itu),” kata Sha lagi yang telah mendirikan rumah tangga pada 2017.

Tiada ulasan: