Abdullahjones
Selama menulis di sini, di laman Malaysiakini ini, satu perkara yang kami sedari sejak beberapa lama ialah, hampir semua komen yang dicatat datang daripada mereka yang langsung tidak membaca apa yang kami tulis.
Mereka akan membaca tajuk saja lalu dengan segera berlari-lari untuk mengomen. Dan tentu saja menjadi tanggungjawab editor portal ini untuk memberi tajuk yang boleh menggamit kamu untuk menulis komen tanpa perlu ada tanggungjawab untuk membaca apa yang ditulis.
Agaknya kerana kita ini sedang berada pada zaman serba kilat, maka ramai antara kita yang tidak ada banyak masa untuk membaca perenggan demi perenggan untuk memahami isi yang disampaikan.
Biasalah, daripada menggunakan masa yang ada untuk membaca lebih baik menonton TikTok untuk melihat buah dada bergolek-golek. Atau kamu sendiri yang mengoncang buah dada dan punggung leper kamu buat tontonan orang.
Lihat bagaimana kita semua segera mahu menjadi hero membela nasib buruk yang menimpa ibu muda selepas ditangkap kerana mencuri RM40 wang tabung masjid tempoh hari.
Ada yang memaki hamun AJK masjid, dan ada yang berhati mulia mahu membayarkan sepuluh kali lipat daripada nilai wang yang dicuri itu.
Entah ada cerita lain di sebalik cerita itu, namun kita tidak mahu ambil tahu kerana apabila datang saja berita 'kezaliman' masjid, jabatan agama dan sebagainya, maka yang paling cepat pergi mempertahankannya ialah mereka yang mengaku penegak kebenaran agama.
Lihat dengan lebih luas
Lihat bagaimana kita setiap hari mempersoalkan hal bagaimana zakat diagihkan oleh lembaga zakat. Tentang kononnya betapa si miskin dibebankan dengan seribu satu borang hanya untuk mendapatkan sedikit wang bagi meneruskan kehidupan.
Hanya kerana masjid, pejabat agama dan sebagainya itu tidak menggunakan media sosial untuk menghebahkan kebaikan yang dilakukan maka kita menyangka mereka semuanya setiap hari bekerja adalah untuk menambah susah orang ramai.
Kita kini sedang mengasuh diri sendiri untuk memuji atau mengeji apa yang dihidangkan di depan mata. Kita laparkan berita sensasi. Apa saja cerita yang melintas di layar media sosial, kita anggap sebagai kebenaran mutlak.
Kita tidak mahu mengambil masa untuk bertenang seketika bagi melihat sesuatu berita itu dari sudut yang lebih luas.
Kemudian daripada itu, heboh pula berita bagaimana ada masjid yang memberi laluan istimewa kepada VVIP untuk bersembahyang Jumaat dan kita pun marah.
Dalam sibuk-sibuk orang ramai mengamuk, 'grand' imam masjid tersebut pun nampak macam mengamuk juga. Kita yang duduk di tepi-tepi ini pun jadi kecewa dalam banyak tingkat.
Menyediakan tempat khas untuk VIP bukan perkara baru. Kami pernah jumpa masjid yang menyediakan tandas khas untuk VIP. Tandas berkenaan sentiasa berkunci. Menunggu VIP yang tidak kunjung tiba, barangkali.
Tidak diketahui sama ada tandas berkenaan pernah digunakan atau tidak, namun sikap sibuk mahu memuaskan nafsu orang besar-bear oleh orang agama ini agak membimbangkan.
Salah pun usah disentuh
Ustaz, imam, bilal malah siak sekali pun sentiasa dipandang sebagai manusia yang memperhamba diri untuk kepentingan agama. Biasanya mereka adalah orang yang baik-baik. Mereka dipilih berdasarkan akhlak yang terpuji, berlembut dan berhemah dalam usaha memadamkan kemarahan orang ramai.
Dengan sikap begitu sudah tentu mereka adalah yang terbaik. Mereka sepatutnya bukanlah orang yang mendoakan hidayah sambil meletakkan syarat yang bukan-bukan.
Bukan sedikit pembaca portal ini sentiasa menjaja cerita betapa Malaysiakini akan dengan cepat membawa apa saja cerita buruk mengenai Melayu dan Islam.
Menurut pandangan pandai mereka, siapa saja yang menulis di sini ialah si penjahat yang mahu segera memusnahkan kemelayuan penduduknya. Dan juga mahu Islam dihapus terus dari tanah yang tidak pernah sudah dikhianati ini.
Lalu neraka Wail itulah tempat tuju para penulis Malaysiakini yang kerjanya seharian mencari salah bangsa sendiri kerana bangsa ini tidak boleh disentuh walaupun salah.
Relalah mereka mati mereka memperjuangkan agama walaupun setelah tiga hari bersetubuh pun misalnya, mereka masih belum mandi wajib.
Maka jadilah kita satu bangsa yang kerjanya harus memuja dan memuji keagungan bangsa sendiri. Menjaja hebat diri sendiri. Bangsa Melayu ditanah ini sedikit demi sedikit menjadi bangsa tersuci.
Biar sejuta ayat al-Quran yang menceritakan perihal betapa tidak ada kemuliaan atas bangsa, namun tidak diendahkan mereka.
Agama kita rasa hanya molek apabila sesuai dengan nafsu. Atau apabila datang musim pilihan raya.
Yang menghemtam majlis agama, masjid dan imam serta pemuja pemuka-pemuka yang tergagap-gagap apabila bercakap bahasa kebangsaan adalah Melayu itulah.
Namun yang dituduh antibangsa dan agama ialah kami, penulis yang tidak bernilai walau setengah sen ini.
Baser.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan