"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai SPRM curi RM25juta, polis buka kertas siasatan

MALAYSIA DATELINE

Pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dengan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ketika penggulungan perbahasan Titah Agong di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat petang ini.

“Siasatan oleh polis telah dibuat dan dibuka, tetapi saya tidak dengar siasatan dalaman yang dibuat oleh SPRM,” katanya ketika menjawab pencelahan oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo. 

Dalam pencelahan itu Gobind meminta KDN menjalankan siasatan terhadap pegawai kanan di SPRM termasuk merehatkan Ketua SPRM Datuk Seri Azam Baki. 

“Kes yang melibatkan pegawai kanan SPRM yang perlu disiasat oleh polis, pegawai kanan Azam Baki harus direhatkan.

“Kita tidak mahu pegawai kanan yang masih dalam kedudukan mendapat ancaman dan tekanan saksi SPRM, bukankah perlu direhatkan supaya siasatan ini diperlu dipercepatkan,” kata beliau. 

Bagaimanapun Hamzah akan memastikan siasatan dijalankan secepat mungkin demi kepentingan rakyat sepertimana kerajaan yang mementingkan soal integriti.

“Saya akan ambil maklum cadangan YB supaya perkara ini dilakukan biar kita buat sedikit siasatan supaya kita boleh ambil keputusan seterusnya,” kata Hamzah.

Berikutan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) ramai pihak mendesak Azam Baki harus bertanggungjawab di atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang bekas ketua jabatan SPRM itu dan beliau perlu digantung tugas dalam tempoh siasatan tersebut.

Bahkan Azam Baki dikatakan perlu berundur atau berehat seketika sepanjang proses siasatan berlangsung bagi memastikan siasatan telus dilaksanakan demi mencari kebenaran.

Tiada ulasan: